Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Friday, December 31, 2010

JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR

Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah,
iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya
kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah
berdialog dengan Allah (dialog yang telah
dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya
kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya
bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang
adanya Hari Pembalasan.. Hendak diukur dari
segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan
ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah
hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma
satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat
menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi
Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang
hormat kepada Allah dalam mentaati Allah.
Syaitan tidak boleh menerima takdir ini..
Mengapa dia yang dijadikan daripada api
(sedangkan Adam hanya daripada tanah),
mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah
dan hirarki kepimpinan tidak terpilih menjadi
khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’
baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan
takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita
siapa yang mampu menidak dan meminggirkan
takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradat
Nya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba
menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis.
Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana
gugur sifat kehambaannya!

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita.
Mengapa aku mendapat suami yang begini?
Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua
ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat?
Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa
aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha.
Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang
paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa
nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu
Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita
tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran
dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan
takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah.
Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya
ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang
iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang
hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir
itu dengan rela. Katakan, ya Allah… sungguh sakit,
sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu,
Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding
diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku
kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.
Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada
Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya.
Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah
apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir
dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita
tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang
menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula
yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi
yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi
kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan
’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil
berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di
sedari atau tanpa disedari…

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah.
Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah)
yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan
fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat,
akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup
tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-
mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada
perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan
kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku
telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti
berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang
terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya,
hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati
(iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang
terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa
dirinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di
sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih
tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak
akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut
llah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya –
samada yang kelihatan positif atau negatif pada
pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai
bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud
baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa
Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu
petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya
pendek.

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum
mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal
Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-
tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu
mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala
yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah
yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan
merasa senang dan bahagia dalam menghadapi
sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati
ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian
hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang
menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati
yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-
sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk
meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak
dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu.
Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu
akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang,
kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan
menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu
adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita
semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu
pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia,
akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit,
ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah
untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau
belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah
kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan…
itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu
waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit,
tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar
di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang
berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah
yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan
akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula
yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan
itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya
membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah
kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah
kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa,
antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan
kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat
menambah tumpuan dan penghadapannya kepada
Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan
kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti
sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Dengan ini nafsu
akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada
ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara
langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat
ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu
yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila
nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan
jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan
terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin
Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia
harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba
yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan)
gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan
Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah
yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat
kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom
tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari
amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila
hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang
ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan
sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui,
sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya.
Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit,
miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita
faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua.
Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin
(rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan
kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah
ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran.
Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat
sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan
seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata,
”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia
bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas
dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan
kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya
belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah
cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila
kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana
yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan
berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi
jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh
yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik
dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak
ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah,
bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah
ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni
mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru
akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari
dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba
yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan
ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu
petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka
sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara
menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku
samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya.
Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab)
tetapi matahati mereka dapat menjangkau
’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:

”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku.
Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA
akan mengubat, melapang dan memberi
kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak
tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah
yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk
diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang
pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan
menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku
bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

No comments:

Post a Comment