Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Tuesday, November 30, 2010

MOGA CINTA BERSINAR SEMULA (3)

Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan
cinta suci yang menghubungkan cinta antara
suami dan isteri. Yakni cinta kepada Allah!
Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah,
Dia akan terus menyuburkan cinta kita suami
isteri. Dan hanya dengan memburu cinta kepada
Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan
dikekalkan-Nya.

Cinta itu umpama lautan, ramai orang yang
memburunya ditenggelamkan. Dunia ini
menipu daya, ramai pula manusia yang
ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu
dunia dengan menggadaikan sesuatu yang
menjadi miliknya yang sangat berharga.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai golongan
jin dan manusia! Apakah belum datang kepadamu
rasul-rasul daripada golongan kamu sendiri yang
menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan
memberi peringatan kepadamu terhadap
pertemuanmu dengan hari ini? Mereka berkata:
“Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri”.
Kehidupan dunia telah menipu mereka dan
mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri,
baawa mereka ialah orang yang kafir.”
(Surat al-An’am 6:130).

Dunia tidak salah, selagi kita memburunya
dengan niat yang betul. Kita jadikan dia alat
untuk memburu kebahagian akhirat. Jadilah
dunia umpama kebun yang kita tuai di akhirat.
Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.
Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan
berlama-lama disitu… ia hanya jambatan. Tidak
ada orang yang membina rumah di atas jambatan.
Rumah kita yang hakiki ialah di dalam syurga.

Jika ada rasa-rasa itu dalam jiwa ketika memburu
karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua
aktiviti keduniaan, insya-Allah cinta dan kasih
sayang tidak akan diabaikan. Orang yang ada dalam
hatinya cinta kepada Allah, sentiasa ada ruang yang
lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih
lagi suami, isteri dan anak-anaknya. Dengan cinta
itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita
daripada neraka akhirat. Dan neraka di akhirat itu
hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya
menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada
neraka dunia.

Apakah neraka dunia itu? Neraka dunia itu ialah
hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah
yang besar. Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan
hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit
harganya. Dan hambarnya perbualan di dalam
rumah mewah ibarat istana. Yang ketawa ria ialah
pelakon-pelakon dalam filem yang kita tonton,
tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu,
entah apa puncanya!

Lihatlah Rasulullah s.a.w. Betapa pun Baginda
sibuk, tetapi masih ada masa berlumba lari
bersama Aisyah, isterinya. Betapa besar
perjuangannya, tetapi masih mampu meluangkan
masa bersama isteri yang hendak melihat tarian
dan permainan pedang di suatu Hari Raya. Ketika
Baginda kaya, dikorbankannya harta, ketika
Baginda miskin, dihadapinya dengan sabar kerana
dalam hatinya tetap ada cinta. Yakni cinta yang
lebih besar, cinta kepada Allah!.

Justeru, masih bersinar atau sudah pudar cinta di
dalam rumah tangga kita? Jika sudah pudar, ayuh
muhasabah kembali di mana puncanya. Ayuh, lihat
kembali “dimana Allah” dalam rumah tangga kita.
Di mana solat jemaah, dimana tazkirah, di mana
sedekah, di mana bacaan al-Quran…. Di manakah
semua “ayat-ayat cinta” itu dalam rumah yang
mungkin sudah semakin luas, kereta semakin
mahal, makanan yang semakin lazat, kewangan
yang semakin banyak?

Pandang wajah isteri, renung wajah suami. Tatap
lama-lama. Bila kali terakhir kita bertentangan
mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni
dan syahdu? Atau kita hanya melihat sekadar
imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa
cinta, kasih, mesra, kesihan, simpati, empati dan
lain-lain perisa hati? Apakah kita secara tidak
sedar telah bertukar mejadi “haiwan berteknologi”
dalam belantara dunia materialisme yang semakin
ketandusan cinta?

Lalu, di kejauhan hati ketika sibuk menguruskan
kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami
atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang
paling kudus untuk pasangannya. Atau ketika dia
pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam
penuh mesra dengan hati yang terus berkata-kata,
“inilah temanku di dunia untuk menuju syurga!”.

Carilah cinta kita yang semakin kabur. Jangan di
biarkan ianya terus hilang. Insya-Allah kita temui
semula cinta itu di tempat, pada suasana dan
pada masa ketika kita mula-mula menemuinya
dahulu. Bukankah kita bertemu kerana Allah?
Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?
Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan
nikah di rumah Allah?

Kembalilah ke sana. Carilah kekuatan itu semula.
Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk
hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang paling
waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan
dunia tanpa cinta. Renungilah mata isteri atau
suamimu, carilah cinta itu di situ. Masih ada?
Atau telah tiada?

Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita
gilap semula cinta yang semakin kabur agar ia terus
sinar dan menyinari manusia lain!.

No comments:

Post a Comment