Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Friday, August 6, 2010

RAMADHAN YANG DI NANTI OLEH PENGHUNI
LANGIT DAN BUMI

Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah
menganugerahkan makhluk-Nya satu bulan yang
dilimpahi segala kebaikan dan keistimmewaan
yang tak terperikan. Seluruh makhluk di langit
dan di bumi teruja menanti ketibaan bulan mulia
penuh barakah itu. Bulan yang satu-satunya
disebut namanya di dalam kitab suci al-Quran
dan dikaitkan pula dengan perisitiwa turunnya
kitab itu sendiri!

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah)
bulan Ramadhan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia dan menjadi keterangan-keterangan
yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang
salah….” Al-Baqarah 2:185.

Mereka yang mengetahui dan menghargai
anugerah yang agung ini pastinya ternanti-
nanti penuh rindu dan mengharap agar di
pertemukan dengan Ramadhan dan berazam
untuk meraih sebanyak-banyaknya kebaikan
dan kelebihan yang dijanjikan.

Renungkan betapa alam buana ini dipersiapkan
untuk menanti ketibaan Ramadhan!

1. Pintu-pintu langit dibuka sepanjang bulan
Ramadhan sebagaimana dinyatakan di dalam
sepotong Hadis yang bermaksud: “Apabila tiba
malam pertama Ramadhan, dibuka semua pintu
langit, tidak akan ditutup satupun daripadanya
sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan”
Riwayat al-Munziri daripada Abi Sa’eid al-
Khudri di dalam ‘at-Targhib wa at-Tarhib’.

2. Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-
pintu neraka, dipasung syaitan-syaitan.
(Maksud Hadis riwayat Muslim daripada
Abu Hurairah r.a.)

3. Setiap malam penghuni langit menyeru penghuni
bumi sehingga tersembul fajar: “Wahai pencari
kebaikan, mara dan bergembiralah! Wahai pencari
kejahatan, undur dan berhentilah! Siapakah yang
ingin memohon ampun, lalu dia diampun?
Siapakah yang ingin bertaubat, lalu dosanya
dihapuskan? Siapakah yang ingin meminta, lalu
permintaannya ditunaikan?” (Maksud Hadis
riwayat al-Munziri daripada Abdullah bin
Mas’ud r.a.

Itu merupakan sebahagian persediaan ahli langit
untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Maka
apakah persediaan ahli bumi?

1. Perlu memahami dan meyakini peluang yang
sangat besar serta tawaran yang cukup hebat ini.
Rasai dan syukuri betapa bertuahnya diberi
peluang menyambut Ramadhan sekali lagi,
peluang yang mungkin terakhir. Maka tanamkan
azam seutuhnya di dalam diri untuk mengisi
Ramadhan dengan segala kebaikan yang termampu.

2. Ingat selalu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan
dia mengetahui batasan-batasannya dan
memelihara diri daripada melakukan perkara
yang tidak sepatutnya dilakukan, akan dihapuskan
daripadanya dosanya yang lalu” Riwayat Ibn Hibban
dan al-Baihaqiy daripada Abi Sa’eid al-Khudriy r.a.
Dosa terhapus bermakna selamat dari siksa api neraka!

3. Siapkan senarai amalan yang hendak dibuat
dengan kefahaman setiap kebaikan diberi pahala
berlipat kali ganda. Nabi s.a.w. bersabda maksud
nya: “Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah
dengan satu kebaikan (yang sunat), baginya pahala
seperti melakukan yang wajib pada bulan selainnya.
Sesiapa yang menunaikan satu amalan yang wajib,
baginya pahala seperti menunaikan 70 amalan
yang wajib pada bulan selainnya. Ramadhan adalah
bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”.
Riwayat al-Munziri

4. Ingat memperingati dan berlumba-lumba mengejar
kebaikan selari dengan gesaan Rasulullah s.a.w. di
dalam Hadis yang bermaksud: “Telah datang kepada
kamu Ramadhan, bulan barakah yang dicurahkan
Allah ke atas kamu. Dia menurunkan rahmah,
menghapuskan dosa dan memaqbulkan doa. Allah
melihat kepada kamu yang berlumba-lumba
(melakukan kebaikan) di bulan Ramadhan dan
Dia berbangga di hapadan malaikat-Nya. Maka
perlihatkanlah kepada Allah dirimu yang baik.
Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang
yang dihalang daripada mendapat rahmah-Nya
di bulan Ramadhan”. Riwayat al-Munziri daripada
Ubadah bin as-Samit.

5. Mohon doa sebanyak-banyak di waktu yang di
janjikan mustajab pada setiap hari bulan Ramadhan,
iaitu ketika berbuka. “Tiga golongan yang tidak di
tolak doa mereka, orang yang berpuasa ketika ia
berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang
yang dizalimi” Maksud Hadis riwayat Ahmad
daripada Abu Hurairah r.a.

6. Jagalah anggota, khususnya mata, telinga dan
lidah dari melakukan perkara yang haram. Nabi
s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai.
Maka janganlah kamu mencarut dan jangan
berkelakuan bodoh. Jika seseorang memerangimu
atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya
‘sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali.
Demi Tuhan yang jiwaku di dalam tangan-Nya,
bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di
sisi Allah Ta’ala daripada wanginya kasturi.
Allah berfirman yang bermaksud : dia telah
meninggalkan makanan, minuman dan nafsu
syahwahnya kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku
dan Akulah yang akan memberi ganjarannya.
Dan setiap satu kebaikan itu sepuluh kali ganda
seumpama dengannya” (Maksud Hadis riwayat
al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

Marilah sama-sama kita berdoa agar diri kita
termasuk dalam golongan mereka yang menghargai
anugerah yang hebat ini serta berjaya memperoleh
syurga yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berpuasa.
Amien........

Ustazah Maznah Daud

No comments:

Post a Comment