Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Friday, July 23, 2010

JADILAH IBUBAPA YANG GEMBIRA

Minda saya kembali aktif setelah mengendalikan dari program
Asuh Fitrah-Memupuk Potensi. Alhamdulillah dengan peluang
yang diberi. Mengendalikan Asuh fitrah sebenarnya muhasabah
selain daripada perkongsian yang sangat bermakna bagi diri saya.

Asuh fitrah banyak mematangkan dan mengajar saya erti
perjuangan. Minda saya masih terbayang muka ibu bapa
muda yang hadir pada program itu. Sesuatu pada diri mereka
yang mengingatkan ketika saya bergelar ibu muda.

Kalau saya boleh berkongsi sedikit, saya dapati golongan
ibu bapa muda memerlukan perkongsian ikhlas pengalaman
kita yang lebih berusia. Mereka memerlukan sentuhan sebenar
perjalanan suka duka kita sebagai ibu atau bapa. Kita semua
sama saja, mengharungi cabaran sebagai ibu bapa dengan
belajar dan belajar dan belajar (learn, unlearn and relearn).
Dan kita masih membuat kesilapan dan menjadikan masalah
sebagai peluang kita untuk belajar dan lebih mengenali diri.
Tapi apa yang penting kita harus terus berkongsi bagi mendidik
antara satu sama lain dan mendidik masyarakat. Itulah perjuangan.

Anak adalah anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Sebagai
ibu bapa kita mahukan yang terbaik untuk anak dan memang sedia
berkorban apa sahaja. Dalam merealisasikan impian murni ini kita
kadang-kadang terperangkap dalam kitaran hidup yang rutin dan
memenatkan .

Kita alpa sedikit keperluan diri kita. Kita juga lupa “ to have fun”.
Tanpa kita sedari kadang-kadang kita tersedut masuk ke lubuk
pusaran hidup yang mula menjadi ganas.

Saya dapati ibu-ibu selalunya jauh lebih mudah terperangkap
berbanding golongan bapa. Mungkin saya mengaitkan diri dengan
suami saya yang lebih simple cara hidupnya dan “a kampung boy”.
Atau kadang-kadang saya menjadi mangsa stigma masyarakat
yang mengharapkan saya berkorban dan melakukan semua
seperti istilah “superwoman”.

Dalam hidup ini kita perlu mencari keseimbangan dan menuju
kematangan. Kehadiran seorang anak sebenarnya menyediakan
lebih ruang untuk diri kita mencari keseimbangan, bergembira
dan menjadi lebih matang. Dalam lain perkataan kita juga membesar
bersama anak-anak. Mengasuh anak-anak seharusnya sesuatu
yang menyeronokkan dan kita masih boleh melakukan apa yang
dahulunya menjadi kegemaran atau hobi kita. Malah dengan
kehadiran anak-anak ia jauh lebih mudah dan seronok.
( Ya, betul. Mengapa tak percaya…. )

Cuma kita perlu lebih kreatif melayari kehidupan dalam institusi
keluarga dengan sumber manusia yang ada iaitu kita suami isteri
dan anak-anak yang mewarnai kehidupan dengan pelbagai corak
setiap hari.

Stres kerja rumah, pejabat dan kerja dakwah boleh diatasi bersama
keluarga. Antara yang boleh kita lakukan adalah:-

1. Bermain –Fitrah anak belajar melalui bermain. Kita juga perlu
bermain dengan anak-anak bagi mengisi masa berkualiti. Anak akan
merasai di sayangi, dihargai dan gembira. Kerinduan anak kepada
kita juga terubat.

Kita juga perlu bermain bagi mengubat rindu, memberi dan menerima
kasih sayang anak dan menghilangkan stress.

Bermain apa sahaja permainan dalam atau luar rumah yang sesuai
dengan tahap anak, masa dan persekitaran. Permainan tradisi
jangan dilupakan.

Aktiviti luar yang agak fizikal dan lasak juga baik selepas balik kerja.
Berlari bersama anak kecil misalnya sangat menggembirakan dan
dapat mengeluarkan peluh dan toksin.

Kita akan rasa lebih bertenaga menjalankan kerja-kerja rumah
selepas itu. Emosi anak akan lebih stabil dan kita dapat menyiapkan
kerja dengan lebih tenang. Anak dan kita akan tidur dengan lebih
lena dan bangun lebih segar untuk memulakan hari esok.

2. Aktiviti bersama alam

Sentiasa memelihara hubungan dengan alam. Anugerah alam
ciptaan Allah SWT berupaya menenangkan, menyemai iman dan
penawar bagi manusia. Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga
pokok bunga bukan sahaja menyihatkan malah membantu memupuk
anak memelihara alam.

Nature walk dengan anak. Boleh guna deria untuk merasai kehadiran
Allah SWT. Mungkin boleh bawa balik apa-apa untuk letak di sudut
alam dalam atau luar rumah. Kanak-kanak seronok dan mereka
belajar secara natural.

Bagi saya berjalan di tepi pantai, mengutip cengkerang untuk hiasan
akuarium keluarga dan duduk di atas buai di bawah pokok mangga
rumah kami sambil melihat kehijauan taman kecil ciptaan kami
sekeluarga antara aktiviti alam yang cukup mendamaikan.

Saya juga suka memandu sambil melihat alam sekeliling dengan
alunan Al-quran, nasyid, zikir.


3. Memelihara binatang

Kanak-kanak biasanya sangat sukakan binatang. Hobi memelihara
haiwan peliharaan menyeronokkan dan mengeratkan hubungan
kekeluargaan. Ia juga membantu menyemai sikap tanggungjawab
anak menjaga kebajikan haiwan yang mereka sayangi.

Bagi saya melihat ikan-ikan berenang di dalam akuarium kecil
rumah kami sambil menghirup secawan kopi adalah satu masa
istimewa setiap hari.

4. Aktiviti kreatif

Mewarna, melukis, menconteng, menampal, kolaj, membuat kraf,
bermain doh dan apa sahaja aktiviti kreatif. Yang penting aktiviti
dilakukan dengan bebas mengikut kreativiti masing-masing.

5. Bercerita/berbual

Cerita dan berbual apa saja dan di mana sahaja. Sambil
bergolek-golek di atas katil misalnya. Bukan sahaja anak
kecil malah anak remaja saya masih suka aktiviti begini.

6. Nyanyian dan pergerakan kreatif

Anak kecil suka dinyanyikan. Menyanyi bersama juga aktiviti
yang menyeronokkan. Boleh saja menari atau mengayakan apa
sahaja pergerakan mengikut alunan lagu atau muzik. Seperti
permainan tradisi, nyanyian tradisi jangan dilupakan.

7. Rehlah keluarga

Berkelah, balik kampung, berjalan malah shopping juga
merehatkan minda.


8. Rutin Harian seperti memasak dan mengemas boleh menjadi
seronok sekiranya kita kreatif. Libatkan seisi keluarga. Baru-baru
ini buat pancake bersama anak saya Izzuddin 8 tahun. Saya hanya
membimbing. Anak lebih seronok membancuh dan memasak
dengan pengawasan penggunaan dapur.

9. Hobi.

Apa sahaja hobi. Saya masih lagi menjahit kadang-kadang.
Menjahit berupaya menenangkan fikiran saya.

10. Recharge. Take time out.

Ya. Ambil masa untuk diri dan pasangan. Kita masih perlu masa
sendiri dan bersama pasangan.

Sulami lah kehidupan dengan aktiviti-aktiviti yang seronok,
menenangkan, menyihatkan dan lebih bermakna bersama keluarga.
Saya namakan ini masa berkualiti. Hargailah apa yang kita ada.

Manfaatkan alam dan kehidupan yang indah ini. Moga kita kembali
fokus dan bertenaga. Amin.

Wallahua’lam.
Rosnah ahmad

No comments:

Post a Comment