Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Wednesday, July 14, 2010

BAGAIMANA SEMUT BERTAWAKKAL

Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut
tentang berapa banyak makanan yang di
perlukannya untuk hidup dalam setahun.
Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan
sebanyak sebiji butir gandum.
Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut
dalam satu botol dengan diletakkannya gula
sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu
kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun
dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya,
baginda dapati hanya separuh sahaja daripada
gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan
oleh semut tersebut.
Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh
makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut
pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji
buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol
rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia
yakin Allah pasti akan mencukupkan rezkinya.
Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman)
dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat
cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia.
Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu
mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun?
Apa akan terjadi kepadaku?

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika
di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika
berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan
itulah semut mengambil langkah berjimat cermat
yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada
apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya
jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu
bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Sampai di situ penceramah memberi ’moral’ pada ceritanya.
Begini ucapnya:

”Inilah sifat tawakakal dan ikhtiar yang kita boleh
pelajari dari semut. Jangan sekali-kali bergantung
kepada sesama makhluk dalam soal rezki.
Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak
yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau
simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk
sekian-sekian tahun…
jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakkallah
kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan
sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan.
Jadilah seperti semut itu.”

Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam.
Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja
tetapi pengajarannya sangat luar biasa.
Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah. Berapa
kerat manusia yangbenar-benar mengambil
panduan daripada ajaran Islam ketika berdepan
dengan krisis dan kemelesetan ekonomi.

Ada seruan yang menganjurkan hidup berjimat
ketika ekonomi meleset padahal Islam menganjurkan
jimat cermat tanpa mengira situasi dan kondisi.
Orang yang membazir adalah ’saudara’ syaitan tidak
kira samada semasa ekonomi meleset atau stabil,
samada dalam keadaan harga minyaknaik atau
sebaliknya.
Ada pula yang meuar-uarkan agar dilakukan
perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang…
Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah
cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah-ubahnya?

Jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih
tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya,
tafsiran yang merujuk kepada ‘musabbabil asbab’
(faktor penyebab) bukan hanya ‘asbab’ (sebab).
Hakikatnya, apa yang berlaku ialah dengan izin
Allah jua. Dan tentu ada maksud Allah izinkan
semua ini berlaku. Apakah pengajaran untuk
sikaya, simiskin, peniaga, pengguna, rakyat dan
penguasa di tengah kemelesetan ekonomi ini?

Bukankah kita telah diberitahu oleh Al Quran
dan Al Hadis bahawa ujian daripada Allah
adalah untuk meningkatkan keimanan kita?
Dan ujian juga boleh meningkatkan tahap
kebijaksanaan, kesabaran dan kekreatifan kita
untuk menyelesaikan masalah.
Pokok pangkalnya, apakah musibah ini
menggugat keyakinan kita kepada Allah yang
bersifat Al Wahhab (Maha Pemberi), Al Ghani
(Maha Kaya) dan Ar Razzak (Maha Pemberi Rezki)
misalnya?

Bagaimana pula kita kembali kepada Allah
(raja’na ilallah) dalam menghadapi ujian ini?
Apakah kita mula mendidik hati kita dengan
sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah
Islamiah?
Apakah kita mula bermuhasabah tentang sistem
ekonomi semasa, apakah telah benar-benar
disusun mengikut syariah? Apakah orang kaya
dan pengusaha mula tergerakuntuk mengamalkan
akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala
orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?

Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam,
tetapi itulah yang ’mengganggu’ pemikiran dan
rasa hati bila mendengar cerita semut dan
nabi Sulaiman oleh penceramah itu. Pada saya,
pasti ada ’mesej’ dan ’signal’ daripada Allah untuk
semua golongan masyarakat di sebalik ujian
ini. Mustahil Allah lakukan semua ini dengan
sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil
peringatan oleh para hamba-Nya

Wassalam

No comments:

Post a Comment