Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Friday, July 9, 2010

KISAH PEMUDA MALAS SOLAT

Islam itu mudah apabila , pertama, menjalankan
syari’at Islam boleh secara bertahap. Dalam hal
ini, seorang muslim tidak serta-merta diharuskan
menjalankan kewajiban agama dan amalan-amalan
sunnah secara serentak. Ada tahapan yang mesti
dilalui: mulanya kita hanya diperintahkan untuk
melaksanakan kewajiban-kewajiban pokok agama.
Setelah yang pokok-pokok berhasil dilakukan dengan
baik dan rapi, kalau punya kekuatan dan kesempatan,
maka dianjurkan untuk menambah dengan
amalan-amalan sunnah.

Bagaimana?
Pertama, membenarkan Islam diamalkan secara
berperingkat- peringkat seperti kita mendidik
seseorang untuk bersolat. Saya berikan contoh
dari cerita seorang lelaki yang baik tetapi tidak
bersolat.

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah
Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat
liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan
langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat,
apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama
yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah
penduduk setempat mengadu kepada ulama yang
datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak
memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini.
Malah makin menjadi-jadi.

“ Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat
merupakan tiang agama kita” kata salah seorang
pendakwah kepada pemuda tersebut.

“ Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat
ye “ jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang
ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke
tempat mereka. Aduan yang sama diberikan.
Setelah mendengar dengan teliti aduan para
penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk
bertemu dengan pemuda ini.

“ Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya
dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini bila
melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab
“ Sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung
niat saya ingin memaksa kamu seperti yang
kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar.
Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut
berkenaan solat . Perkara yang dilaksanakan
hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim.
Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal,
sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan
Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang
tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu
datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk , terus
memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang
haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung
ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin
bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah
keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah
menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu
hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan
berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang
diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat tersebut
telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh.
Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama
menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya
berkata dengan lembut “ Ahmad, aku ada mendengar
suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah
bersembahyang. Betulkah begitu?”Tersentak Ahmad
bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“ Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak
mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang
ada padaku inilah yang menghalang untukku
melakukannya”jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan
permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“ Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk
kamu dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?”
Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh.
Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih
untuk disempurnakan.

“ Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya
Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja” Jawab
Syeikh sambil tersenyum.

“ Baik ,dulu kamu pernah ceritakan kepadaku
bahwa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan
kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke
kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya
Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

”Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang
kamu telah bangun setiap awal pagi , apa kata jika
kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu
dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat
subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak
terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan
kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan
Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya
jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang
terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan
meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam
hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan
berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat
bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh
tahun hadapan.Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon
jaminan daripadanya.

“ Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan
senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat
pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar
Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk
melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai
di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira
bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan
janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad
hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak
didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan
perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh
secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad.
Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dulu
Ahmad.Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal
menunaikan solat subuh?”.Ahmad menjawab
dengan yakin : “ Berkat doamu tuan Syeikh,
Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan
solat jemaah subuh di masjid ini”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar
menunaikan janjimu.”

“ Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”

“ Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti
akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan
rasakan ianya suatu paksaan .Tetapi anggap ianya
suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada
yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang
mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa
disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?”
Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“ Benar apa yang tuan katakan.Perkara yang kita
lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan
kita laksanakan”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?”
Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“ Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan ,
kemudian aku sambung kembali kerja sehingga
hampir Asar”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan ?
Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah
makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh
meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”

“ Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku
mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit
basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai
wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat
zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak
lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu
agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh.
“ Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah
mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira
dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad.
Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut.
Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji
untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh
bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah
bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke
lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat
waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib.
Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad
hendak berangkat pulang setelah menunaikan
solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil
Ahmad.

“ Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah
maju?” Syeikh memulakan bicara.

“ Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“ Baguslah begitu.Aku sentiasa doakan hasilnya semakin
bertambah.”Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“ Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau
pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa
lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini
berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu
berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang
patut diberikan.

“ Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu
mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak
menunaikannya”

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang
lebih baik daripada kami semua?”Tanya Tuan
Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh” jawab Ahmad
dengan penuh semangat.

“ Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau
tidak lagi kurang berbanding kami.Malah engkau
akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh
memberikan jawapan yang cukup berhikmah
kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik
Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang
yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk
memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan
hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan
demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap,
harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam
sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang
menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan
mengatakan bahawa semua sudah lari daripada
jalan dakwah.Lari daripada jalan kebenaran.

No comments:

Post a Comment