Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Tuesday, October 25, 2011

KEAJAIBAN TENAGA CINTA

Kalaulah kemenangan yang di impikan oleh Rasulullah
SAW sebatas kemenangan politik semata-mata maka
baginda tidak memerlukan waktu yang panjang kerana
sejak dari awal baginda memiliki garis keturunan yang
berpeluang untuk beroleh kekuasaan.

Tidak ada cercaan, tidak ada derita dan tidak perlu
berdarah-darah kerana kedudukan baginda di tengah-
tengah kaumnya memberi peluang yang besar bagi
baginda untuk berkuasa.

Baginda sedar betul apakah ertinya berkuasa. Jika
kendali kekuasaan adalah hawa nafsu dan kedurjanaan,
maka kekuasaan seperti itu akan menenggelamkan
nilai-nilai peradaban dan melumatkan seluruh bangunan
kehidupan.

Mungkinkah kebahagiaan akan mampu diukir di atas
puing-puing kehancuran dan rosak binasanya nilai
moral?
Baginda menaruh harapan besar dari kekuasaan dan
menginginkan perubahan yang besar, namun apa ertinya
kekuasaan jika tidak ada perubahan?
Baginda sedar bahwa baginda adalah pendakwah sebelum
pemimpin. Bagindapun sedar bahwa tentangan kepada
seorang pendakwah jauh lebih besar dari seorang pemimpin.

Membangun cita-cita besar memerlukan :
- Dukungan individu.
- Kecukupan dana.
- Persediaan kemudahan.

Tuntutan daya dukung semakin besar apabila cita-cita
semakin besar. Terasa berat untuk menegakkan cita-cita
apabila sokongan tidak ada dalam genggaman.
Jika hanya bergantung kepada daya dukung material
semata-mata, maka tidak ada harapan bagi kemenangan.

Namun sejarah sering mempertontonkan kepada kita bahwa
sesuatu kerja boleh menjadi fantastik yang mungkin dianggap
tidak waras apabila ianya bermodalkan kekuatan cinta.
Seberat apapun kerja tidak akan terlontar perkataan tidak
boleh serta tidak ada keluh kesah apalagi putus asa bagi para
pencinta.

Cinta telah menjadikannya bertenaga dan kerja besar menjadi
rasional.
Bukankah seorang ibu rela menggadai nyawa demi lahirnya si
buah hati kerana dorongan cinta?
Bahkan ada seorang ibu yang rela bersemuka dengan seekor
harimau demi menyelamatkan darah dagingnya dari terkaman
haiwan liar ini.
Andainya fanatik cinta kepada makhluk mampu mendatangkan
keajaiban, apatah lagi cinta kepada Al Khaliq sesungguhnya
lebih dahsyat dan mengkagumkan.

“Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah
tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya
sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang
yang beriman Amat sangat cintanya kepada Allah”.

Cinta Rasulullah SAW pada Ar-Rahman dan kekuatan
baginda pada kebenaran serta kasih sayang baginda pada
masalah umat menjadi modal besar sebuah kejayaan.
Baginda rela membayar cintanya dengan pengorbanan
sehingga kakinya yang bengkak tidak terasa, saat indah
bercinta dengan Ar-Rahman di tengah keheningan malam.

Pujuk rayu dan tarikan-tarikan kekuasaan sehingga
kepada ancaman dan bahaya tidak dipedulikan demi
cintanya pada kebenaran.
Anak saudara mana yang tidak cinta kepada bapa
saudaranya yang telah mendidik dan membesarkannya,
namun ketika cinta yang diberikan perlu menggantikan
cintanya pada dakwah dan perjuangan, maka kalimah
penolakanlah yang terlontar :
“Demi Allah wahai bapa saudaraku andaikan Quraish
meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di
tangan kiriku agar aku meninggalkan dakwah ini, sungguh
aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah memenangkanku
atau aku binasa kerananya”.

Dengan cinta, baginda menyeru semua orang agar terbebas
dari siksa yang menyakitkan, kerabat dekat atau jauh,
kenal ataupun tidak kenal tanpa ada yang terabai.
Harta, tenaga, waktu dan pembiayaan baginda habiskan
semata-mata untuk menebus rasa cinta.
Tidak kenal waktu, tidak kenal jarak, tidak kenal panas
terik baginda melangkah menyeru semua umat manusia
dengan bahasa cinta.

Gelombang cintanya telah memanjangkan ayunan
langkahnya menyusuri seluruh negeri mencari setiap
insan yang bersedia untuk membalas cintanya.
Namun setiap orang curiga, memfitnah, mengancam
hingga kepada menyiksa di mana mereka meragukan
cinta tulus dari seorang pendakwah.

Baginda sentiasa membalas setiap cercaan dan derita
dengan pemakluman dan doa, tiada sumpah seranah
buat kejahilan umat, apalagi dipanjatkan doa akan
turunnya azab yang mem-binasakan.

Cintanya kepada umat membuatkan :
Baginda kurang memberi perhatian terhadap keperluan
dirinya sendiri.
Baginda rela tidak makan asalkan umatnya makan.
Baginda rela mengalahkan segala kepentingannya demi
kemaslahatan umat.
Baginda sering menangis menadah tangan bermohon
kepada Ar-Rahman agar umatnya berjalan di atas
kebenaran dan terhindar dari azab yang menyakitkan
“Allahumma Ummati…”, Ya Allah Ummatku, kemudian baginda menangis.

Cinta baginda memang cinta sejati bahkan baginda tidak
hanya mengungkapkan cintanya di kala miskin dan
membenci di kala berkuasa.
Bukankah pembukaan Makkah merupakan puncak
kemenangan dan itulah saatnya untuk melampiaskan
dendam, namun di tengah kuasa dan kejayaan itu,
senandung cinta tidak pernah luntur dari lisan baginda.

Ketakutan pendukung kebatilan hilang seketika demi
mendengar ucapan pembebasan baginda sebagai
ungkapan cinta nan tulus dari seorang pendakwah
dan ‘murabbi‘ :

“Pergilah kamu, kamu semua bebas”.

Hati yang keras tiba-tiba hancur luluh.
Mata yang kering seketika berlinang dengan air mata.
Kebencian yang terpendam dalam seketika keluar
berganti cinta kasih.

Maka, sejurus itu, cinta telah berbalas dengan cinta,
‘Allahu Akbar’ ! manusia berduyun-duyun datang
pasrah dengan penuh keridhaan masuk ke dalam
barisan Ar-Rahman.
Cinta tersebut telah diwarisi kepada para sahabat,
tabi’in dan generasi penerus mereka para pendakwah
dan ‘murabbi’. Berbekalkan Al Qur’an dan semangat
cinta, mereka pecut kuda-kuda mereka menuruti
langkah mengungkapkan rasa cinta dan berkongsi
bahagia dengan semua umat manusia.

Tidak terlontar perkataan letih, tiada kelesuan juga
tiada perasaan kebosanan bahkan bahagia kian hari
kian memuncak.
Tidak ada satupun halangan yang boleh menghambat
langkahnya untuk mengungkap cintanya.

Ketiadaan dana, kenderaan dan kemudahan bukan
alasan bagi mereka. Semangat mereka telah menyiapkan
wasilah melebihi wasilah material. Meskipun keadaan
alam kadang-kadang menyekat langkah mereka, namun
semangat mereka tidak pernah padam.

Lihatlah ungkapan semangat Uqbah bin Nafi’ ketika
langkahnya terhalang di tepi lautan Atlantik, beliau
mengatakan :
“Ya Allah ku persaksikan dihadapanmu, kalaulah bukan
kerana lautan ini, akan ku buka seluruh negeri dan akan
ku Islamkan mereka semuanya” .
Mereka menolak cinta mereka dibatasi oleh wilayah dan
jumlah bahkan mereka ingin menjadi pendakwah dan
‘murabbi’ di seluruh dunia.

Begitulah ‘muassis’ (perintis) dakwah ini, Imam Hasan
Al-Banna membahasakan cintanya :
“Kerana itu kita berusaha agar dakwah sampai ke setiap
rumah muslim, suaranya didengar di setiap tempat, dan
fikrah kita tersebar serta menembusi perkampungan,
desa, bandar, pusat bandar dan bandar besar … Kita
tidak pernah letih dan tidak akan mengabaikan satu
wasilah sekalipun”.

Lihatlah bagaimana semangat juang mereka telah
menghantarkan mereka ke negeri yang tidak pernah
mereka kenali sebelumnya.
Meskipun mereka tidak pernah ikut ‘daurah murabbi’,
namun rasa kemuliaan diri mereka sebagai pendakwah
dan ‘murabbi’ telah membuatkan mereka percaya kepada
diri mereka.

Membina umat yang bekerja membuatkan mereka
merasa bahagia dan oleh kerananya mereka tidak
perlu kepada ‘taklimat’ dan ‘motivasi.’ Mereka tidak
perlu kepada arahan kerana kesedaran mereka telah
mengarahkan diri mereka untuk menjadi ‘murabbi’.

Mereka sering mengungkap senandung cinta mereka :
“Aku berkeyakinan bahwa jiwa terbaik adalah
jiwa-jiwa mulia yang merasakan kebahagiaan saat
membahagiakan dan membimbing orang lain”.

Hari ini, esok dan akan datang, sepanjang zaman umat
manusia masih memerlukan sentuhan cinta seorang
pendakwah dan ‘murabbi’.

Pandanglah umat dengan hati yang jernih, lihat dan
saksikan mereka, kini mereka menanti dan berharap
dakapan cinta dari seorang pendakwah.
Mereka memerlukan cahaya, mereka memerlukan air
ketenteraman yang akan membahagiakan, mereka
ingin bebas dari kenistaan jahiliyah dan mereka
menangis menanti datangnya hidayah namun mereka
tidak memiliki daya.

Adakah seorang pendakwah itu bakhil dengan hidayah
padahal dia datang kepadanya dengan percuma, hidayah
bukanlah monopoli perseorangan akan tetapi milik
semua orang.
Mereka adalah sebahagian dari tubuh kita, mereka
saudara kita. Jumlah mereka bukan satu bukan dua
akan tetapi jutaan, patut kah kita membiarkan mereka?

Wahai pewaris risalah suci!!,
Patutkah cinta para Nabi padam di tangan kita yang
menamakan diri kita sebagai pendakwah?
Patutkah kita cinta kepada mereka di saat kita tidak
berpunya dan tidak lagi mencintai mereka kerana kini
kita sibuk dengan harta dan kuasa?

Ya Allah, kurniakanlah rasa cinta kami kepada umat ini
sehingga mereka mampu menyahut seruanMu dan
bangkit memenuhi panggilanMu. Jadikanlah kami
pendakwah dan murabbi yang membina manusia
dengan cinta kerana dengan dorongan cinta sejati
itulah kami mengharapkan hati-hati manusia dapat
dipaut untuk menuju jalanMu yang lurus dan
menyelamatkan mereka dari azab yang mengerikan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAN AHMAD

Thursday, September 8, 2011

MANUSIA SELEPAS RAMADHAN

Malam-malam kita tidak lagi seperti sebulan
yang lepas, yang syahdu di bawah lantunan
kalam Ilahi dari para imam-imam tarawih.

Penghujung malam kita pun tidak seperti se-
belumnya lagi, yang larut dalam tahajjud panjang,
lalu menggamit keberkatan sahur, sambil berzikir
dan beristighfar di sela-sela sisa waktunya.

Saat waktu Subuh tiba, saf-saf di masjid terlihat
lebih padat dibandingkan waktu Subuh di luar
Ramadhan. Selepas solat, sebahagian makmum
lebih memilih untuk duduk berzikir menanti
waktu syuruq, mereka berlumba-lumba mengejar
pahala haji dan umrah yang disempurnakan
dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat.

Solat kita pun tidak segagah di bulan Ramadhan
lagi di mana kita lebih bersemangat memburu lima
waktu berjamaah di masjid. Mengejar untuk meng-
khatamkan Al Qur’an berulang kali, berlama-lama
di masjid untuk satu, dua atau bahkan tiga juz Al
Qur’an setiap hari.

Suasana petang hari kita tidak lagi disibukkan
dengan zikir petang dan doa. Sebelum ini kita
larut dalam detik mustajab menjelang masuknya
waktu Maghrib, menikmati dua ganjaran kebahagiaan;
bahagia kerana berbuka dan bahagia kerana puasa
kita menjadi ‘wasilah bertemu’ dengan Allah swt.

Setelah semua keindahan suasana itu berlalu, lantas
bagaimana dengan hari ini, selepas Ramadhan?
Bukankah Rabb yang menjanjikan ganjaran berlipat
kali ganda selama Ramadhan juga adalah Rabb yang
sama ketika di luar Ramadhan?

Ada kata-kata yang menarik yang menyedarkan kita
akan perkara ini :
"Kun rabbâniyyan, wa lâ takun ramadhâniyyan"
(Jadilah hamba Rabbani bukan hamba di bulan
Ramadhan)
Jangan menjadi manusia Ramadhan, yang kuat
ibadahnya kerana berada di bulan Ramadhan sahaja,
kerana setelah bulan itu berlalu, ia tidak akan me-
ngalami perubahan hidup untuk menjadi lebih bertaqwa.

Namun jadilah manusia selepas Ramadhan yang :
- Memiliki nilai keperibadian diri.
- Merasai perhambaan kepada Allah yang tidak
kenal henti.
- Bertakwa tanpa batas.
- Menepati sasaran yang diharapkan dari penggem-
belengan yang dilakukan selama sebulan.
- Nilai ibadahnya terus meningkat sekali pun ia telah
berada di luar bulan Ramadhan.

Para sahabat menyiapkan diri mereka selama enam
bulan untuk menyambut kehadiran tamu agung ber-
nama Ramadhan.

Pastinya mereka bermati-matian untuk beribadah
sepenuh masa selama sebulan penuh itu seumpama
bertemu dengan seorang yang dirindui di mana kita
ingin berlama-lamaan bersama dengannya, menjamu,
memberinya layanan sebaik mungkin dan sudah tentu-
nya kita akan merasakan kesedihan yang amat sangat
ketika perlu berpisah dengannya.

Perkara yang sama dirasakan oleh para sahabat Nabi
di penghujung Ramadhan di mana mereka tidak
gembira dengan baju baru, kueh-mueh dan makanan
sempena Aidil Fitri sepertimana masyarakat secara
umumnya menyambut, tapi mereka justeru bersedih
kerana tamu agung itu sudah pergi meninggalkan mereka.
Mâ ba’da Ramadhân? (Apakah agenda selepas Ramadhan)?

Inilah masa-masa yang paling mencemaskan bagi para
sahabat Nabi. Mereka takut akan amalan yang tertolak
di mana puasa, qiyam yang panjang, tilawah yang
berulang kali khatam, infak harta, pengorbanan jiwa
raga dari satu medan perang ke perang lainnya, serta
segunung amalan ibadah lainnya yang mereka lakukan
selama Ramadhan, semuanya itu telah menjadi sebuah
kekhuatiran terbesar bagi diri mereka.

Mereka lebih banyak bermuhasabah dalam sebuah
tanda tanya :
“Apakah amal ibadahku di bulan Ramadhan sebelum
ini diterima oleh Allah swt.?”

Para sahabat merawat Ramadhan dalam hati mereka
dengan rasa ‘khauf’ (takut) dan ‘raja’ (pengharapan).

Mereka sekuat tenaga berusaha untuk istiqamah dalam
amalan ibadah mereka. Jika mereka lengah sedikit,
maka ini memberikan tanda bahwa amal ibadah mereka
selama Ramadhan telah sia-sia kerana di antara ciri-
ciri diterimanya amal ibadah seseorang dalam bulan
Ramadhan adalah :

Keringanannya dalam mengerjakan kebaikan dan
ibadah.
Jauhnya mereka dari melakukan kemaksiatan kepada
Allah swt.
Enam bulan selepas Ramadhan, mereka masih bersedih
memikirkan kepergian Ramadhan. Mereka memohon
dengan sungguh-sungguh agar amalan ibadah selama
sebulan penuh itu diterima oleh Allah swt sedangkan
di separuh tahun sisanya, mereka kembali bergembira,
bersiap diri menyambut kehadiran Ramadhan yang akan
datang iaitu tetamu agung yang sentiasa mereka rindui.

Begitulah putaran roda kehidupan para solehin ter-
dahulu di mana rentang waktu dari Ramadhan ke
Ramadhan berikutnya diisi dengan ’taqarrub ilallâh’
seakan-akan menutup semua celah untuk ‘futur’
(merasa lemah) dalam beribadah.

Rindu mereka adalah rindu keimanan. Begitu pula
kesedihan mereka adalah kesedihan kerana iman
sehingga hari-hari berjalan dengan penuh kekhusyukan,
hati mereka tenang, diisi dengan mengingati Allah dalam
apa keadaan sekalipun.

Ini adalah kerana Allah swt telah memberi jaminan :
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati
menjadi tenteram.” (QS Ar Ra’du : 28)
Mereka memiliki keperibadiaan yang layak untuk
diteladani.

Lalu bagaimana dengan kita?
Sudahkah ibadah kita melebihi mereka sehingga lebih
merasa hebat dan yakin kalau amalan Ramadhan kita
diterima?
Sedarlah bahwa ibadah kita pastinya masih jauh dari
kesungguhan para sahabat itu sehingga rasa ‘khauf’
dan ‘raja’ yang kita miliki sepatutnya lebih besar
berbanding mereka.

Sesungguhnya ini bukanlah suatu perkara yang
bersifat ‘fiksyen’. Kita baru sahaja meninggalkan
stesen ‘ruhi’ di mana kita sudah memenuhkan
kembali tenaga diri kita. Bateri yang ‘fully charged’
yang kita miliki seharusnya mampu untuk bertahan
bagi sebelas bulan berikutnya.

Ramadhan memang sudah pergi kerana datang dan
pergi sudah merupakan sebahagian dari sunnatullah
dalam kehidupan ini.
Memang dalam sebelas bulan ke hadapan, tidak ada
puasa wajib seperti di bulan Ramadhan lagi, tapi
sekarang kita masih memiliki amalan puasa yang lain,
puasa sunnah 6 hari Syawal misalnya,yang keutamaan-
nya telah dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah
hadis :
“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu
menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan
Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama
satu tahun.” (HR Muslim)

Masih ada puasa lainnya seperti puasa sunnah Isnin
dan Khamis, puasa ‘Arafah, puasa ‘Asyura, puasa Nabi
Daud dan sebagianya. Qiyamullail juga masih boleh kita
lakukan. Solat sunnah ini menempati tingkatan kedua
selepas solat fardhu sebagaimana yang disabdakan
oleh Rasulullah saw :
“Solat yang paling utama sesudah solat wajib adalah
qiyamullail.” (Muttafaqun ‘alaih)
Baginda juga menyebutnya sebagai ‘tradisi dari orang-
orang soleh’.

Amal ibadah yang menjadi amalan rutin kita selama
sebulan Ramadhan diharapkan memang sudah menjadi
sebuah kebiasaan sehingga ketika Ramadhan telah
berakhir, kita tidak mengalami kesulitan untuk me-
mulainya kembali.

Ketika masih terasa hangat aura Ramadhan kita, mari
kita sama-sama hidupkan kembali amal rutin baik kita
itu. Menjadikan amalan-amalannya sebagai sebuah
kebiasaan sekali pun sedikit di mana yang penting kita
memiliki amalan pengharap dan rutin dalam melaksana-
kannya kerana barangsiapa yang memiliki amalan rutin
yang baik, ia tidak akan selamanya mengalami kerugian
sekalipun terkena uzur di mana pahala akan tetap
mengalir untuknya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari bahwa Rasululullah saw telah bersabda :
“Apabila seseorang menderita sakit atau sedang
berpergian maka dicatat pahala untuknya amal
yang biasa ia kerjakan di saat ia sihat dan tidak
berpergian.” (HR Bukhari)

Semoga kita tidak menjadi manusia Ramadhan
yang optimum ibadahnya selama sebulan sahaja
manakala kosong di sebelas bulan berikutnya.
Sebaliknya jadilah kita manusia ‘Rabbâni’, yang
sentiasa mengingati Allah bila dan dalam keadaan
bagaimana sekalipun sepertimana ciri-ciri ‘ulul
albâb’ yang termaktub dalam Al Qur'an :
“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil
berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring.”
(QS Ali Imran : 191)

Ya Allah, anugerahkan kepada kami rasa takut
kepadaMu yang membatasi antara kami dengan
perbuatan maksiat kepadamu dan berikan
ketaatan kepadaMu yang menghantarkan kami
ke syurgaMu dan anugerahkan pula keyakinan
yang akan menyebabkan ringan bagi kami segala
musibah di dunia ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad

Saturday, August 6, 2011

Di kongsikan - Kisah Mak Lang

Subuh pagi tadi saya menerima SMS daripada
Cikgu Din bagitau kata Mak Lang dah meninggal
petang semalam. Dia pun baru dapat tau dari
saudara dia di kampong.

Watak Mak Lang adalah sesuatu yang special
buat rakan-rakan di NGO Wargakilang khusus-
nya mereka yang mengikuti konvoi Jln-Jln Masuk
Kampung di musim Ramadhan yang lepas. Waktu
itu ada lebih kurang 30 buah kereta kalau tak
silap, masuk kampung bagi sumbangan ramadhan
melalui beberapa kawasan Parlimen di negeri Kedah.

Destinasi akhir kami hari itu ialah di rumah Mak Lang.

Mak Lang yang tinggal di Kubur Panjang dlm kawasan
parlimen Pendang ini agak seorang istimewa buat
kami. Beliau adalah seorang Ibu Tua yang tabah,
tinggal di pinggir hutan bersama dua orang anak
lelakinya yang agak berusia, seorang ada masalah
mental dan seorang lagi agak lurus bendul.

Cikgu Din, jiran setaman saya yang rekemen kami
pi rumah Mak Lang.

Sebab utamanya, kata Cikgu Din Mak Lang ini walau
pun tua, sedikit uzur dan miskin, tapi rajin mai
masjid. Hobi utama Mak Lang ialah membaca Al-
Quran. Walaupun rumah kayu yang dikongsi dengan
lembu-lembu ternakannya itu tak ada letrik, tapi
tiap-tiap malam Mak Lang tak pernah miss baca
Al-Quran - pakai lilin dan pelita ayam!


Lalu, misi akhir kami dalam Jln-Jln Masuk Kg
Ramadhan yang lepas, selepas menziarahi dan
menghulur sumbangan kpd berpuluh buah keluarga
sepanjang laluan kami itu ialah nak pasang lampu
letrik di rumah Mak Lang, tarik letrik dari rumah
bersebelahan.

Seronok tak kira Mak Lang bila tengok kami mai
ramai-ramai itu, sehinggakan menitis air mata dia.

Dan, kami pun tumpang seronok juga tengok Mak
Lang seronok. Kami harap bantuan yang tak seberapa
itu akan mampu menceriakan Mak Lang menyambut
syawal yang bakal menjelma tak beberapa hari lagi tu.

Sebelum balik, kami ramai-ramai ambik gambaq
depan rumah Mak Lang.

Puas hati sungguh Jln-Jln Masuk kampong kali itu,
dlm report saya kepada sebuah Badan yg mengamanah
kan saya membawa sumbangan barangan kpd Mak Lang
itu saya paparkan gambar kwn-kwn sedang memasang
lampu letrik, saya tulis kat situ "Deliver Lights to the
Poor" [membawa cahaya kpd orang miskin] –
dalam makna dia tu.

Tak sangka itu adalah Ramadhan terakhir Mak Lang,
Ramadhan pertama dan terakhir bersama lampu letrik
dan dapur gas yang kami pasang. Belum pun beberapa
hari di Ramadhan ini, Mak Lang sudah pergi menyambut
panggilan Illahi.

Rakan-rakan yang bergambar dengan mak lang tentunya
punya kenangan yang tersendiri bersama Mak Lang.
Bila saya amati gambar-gambar ini, seolah-olah mcm
lambaian peluk cium terakhir dari Mak Lang buat kami
semua.

Tadi, bila saya send email kpd rakan-rakan memaklum
kan pemergian Mak Lang ini, seorang sahabat jadi agak
terkejut. Bukan terkejut sebab Mak Lang tiba-tiba sudah
tiada, tapi dia jadi terpana kerana beliau dan isteri punya
satu kisah tersendiri bersama Mak Lang yang tak pernah
dicerita kpd sapa-sapa sebelum ini.

Kata sahabat kami ini, hari tu bila beliau dapat tau Mak
Lang ini kaki masjid, alim dan rajin baca quran, duduk
di pinggir hutan dengan keadaan daif macam tu, beliau
dah dapat rasa yang Mak Lang ini bukan manusia biasa
macam kita, mesti ada sesuatu yang special pasal Mak
Lang ini.

Sebab itu, hari itu beliau dan isteri yang paling last
balik. Bila 30 buah kereta itu dah bertolak balik, depa
tak balik lagi.

Beliau suami isteri ini pi jumpa Mak Lang, pi cerita
masalah depa, dah bertahun dah kahwin tapi masih
tak dapat-dapat anak. Dia minta jasabaik Mak Lang,
sempena bulan Ramadhan yang barakah itu, minta
Mak Lang tolong doakan kebahagiaan buat depa suami
isteri, dan kalau boleh mintalah tolong bagi depa dapat
zuriat, yang depa lama dah tok tunggu itu.

Semalam Mak Lang meninggal, hari ini sahabat kami ini
terus jadi termangu sebab masin mulut Mak Lang dan
barakah bulan Ramadhan bangkali, sehari dua ni kawan
kami ini tak berani nak pi mana-mana sebab bila-bila
masa saja isterinya yang sedang sarat MENGANDUNG ini
akan melahirkan anak – zuriat depa yang pertama!

Saya pun tak pasti sebab apa saya tuliskan cerita ini,
mungkin sebagai tazkirah untuk kita semua barangkali –
JANGAN PANDANG REMEH DOA ORG-ORG TUA dan
JANGAN PANDANG RENDAH KEBERKATAN DOA DI
BULAN RAMADHAN yang mulia.

Al-Fatihah buat Mak Lang.

Moga rohnya bahagia dan dipenuhi dengan rahmat yang
mencurah-curah di alam sana.

Mungkin kisah Mak Lang ini juga boleh dijadikan iktibar
untuk kita semua; apakah kita boleh pasti yang Ramadhan
ini adalah bukan Ramadhan terakhir buat kita?

Sama-sama kita muhasabahkan diri masing-masing.

Selamat Berpuasa.

Friday, August 5, 2011


TAZKIRAH RAMADHAN

SOLAH TERAWIH DENGAN IMAN DAN
MENGHARAPKAN KEREDHAAN ILAHI

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan
Ramadan ialah solah sunat terawih yang kita hadiri
pada malamnya. Solah ini sangat besar pahalanya
seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari
Abu Hurairah r.a. katanya:



“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solah
pada malam bulan Ramadan, tetapi tidak mewajibkannya.
Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam
bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredhaan
Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.”

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi
perangsang kepada kita untuk solah terawih. Baginda
menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari
dosa-dosa yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,

Kita semua ada berbuat dosa.... maka marilah kita
merebut peluang untuk mendapatkan keampunan
bagi dosa-dosa kita.

Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat
yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat
pengampunan dosa yang telah lalu, ialah kita bangun
bersolah dengan “ keimanan dan mengharap redha
Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman,
keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah.
Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan mutu
terawih kita.

Satu perkara yang sering menjadi bahan perselisihan
mengenai terawih ialah bilangan rakaatnya.
Perbincangan ini tidak akan berkesudahan kerana
masing-masing mempunyai kekuatan hujahnya masing-
masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang
dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud
ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan pendapat
yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, janganlah
kita menyalahkan atau merendahkan orang yang
melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang
kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau
meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat.

Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia
dan akan membalas sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita
bersolah terawih. Janganlah kerana tidak bersetuju
dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu
solah terawih. Kedua, bagaimana mutu terawih
tersebut; tidak kira sama ada ianya 20 atau 8 rakaat.
Peliharalah niat kita sentiasa.

Pokoknya, solah terawih yang mempunyai mutu
“iman dan mengharap redha Allah” bukan dibuat
sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan
perancangan yang sedar, pemilihan yang betul dan
perlaksanaan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang
yang diredhai-Nya.

Wassalam.
Sebenarnya, hidup kita tak lama......

Bersegeralah buat ibadat sebelum berjumpa 7 perkara:

1. Jangan tunggu masa fakir (fakir itu dekat kpd kufur).

2. Jangan tunggu jadi org kaya yg melampaui batas

3. Jangan tunggu sakit yg terlantar (dah tak mampu)

4. Jangan tunggu tua bangka (dah banyakk lupa)

5. Jangan tunggu maut yg telah tersedia

6. Jangan tunggu dajjal yg jahat

7. Jangan tunggu kedatangan qiamat

Wednesday, August 3, 2011

BAGI MEREKA YANG MENYAMBUT HARI LAHIR PADA BULAN
RAMADHAN YANG MULIA INI.....

TAZKIRAH RAMADHAN




SAHUR YANG PENUH BERKAT

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang
ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur.
Bersabda Nabi (saw):

“Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggal-
kan, walau seorang di antaramu hanya meneguk
air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan me-
ngucapkan selawat kepada orang-orang yang
bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur
tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin
Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah
orang-orang yang paling bersegera berbukanya
dan paling lambat bersahurnya” (Hadis Riwayat
Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar
dari sahur dan melewatkannya.

Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa.
Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur
memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat
dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk
kita melayakkan diri menerima ucapan selawat
daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para
malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang
perlu direbut oleh setiap insan.

Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu
sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat
ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung
malam menjelang subuh; satu saat yang amat
mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangun-
nya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua
rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah
kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur
menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat
solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang
amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu
Mas’ud al-Ansari:

“Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh
di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu
subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya
ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap
dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga
beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu
hari telah mulai terang.” (Hadis Riwayat Abu
Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat
sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada
dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Ahmad,
Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya
sekadar untuk makan menambah tenaga bagi
menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan
jika seseorang merasakan dirinya telah kuat.
Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah
satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita
peluang mendapat selawat dari Allah dan para
malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan
dapat pula bersolat sunat yang begitu besar
ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk
istiqamah di atas sunnah Nabi-Nya

Wassalam.

Tuesday, August 2, 2011


TAZKIRAH RAMADHAN

PUASA MERINTIS JALAN TAQWA




Allah SWT telah berfirman, maksudnya :-

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas
kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-
orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
(Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini merupakan ungkapan yang menitahkan fardhu
puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan
kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari
ibadah puasa kita “agar kamu bertaqwa”.

Darjah taqwa adalah darjah tertinggi yang boleh dicapai
oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan
syurga oleh Allah:

“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disedia-
kan syurga-syurga yang penuh keni'matan di sisi
Tuhannya.” (Surah al-Qalam:34)

“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari
Tuhan-mu dan mendapat syurga yang bidangnnya
seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-
orang yang bertaqwa.”
(Surah ali-Imran: 133)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah
yang Allah turunkan di dalam al-Quran:

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan
di dalamnya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Surah al-Baqarah: 1-2)

Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat
kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan
Allah di dunia lagi. Firman Allah bermaksud:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia
akan membukakan baginya jalan keluar dan memberi-
nya rezeki dari arah yang tidak disangka-­sangka.”
(Surah at-Talaq: 2-3)

Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling
mulia di sisi Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu
di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa dari kalangan
kamu” (Surah al-Hujurat: 13)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang
melayakkan seseorang menjadi orang paling mulia,
dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan
serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi.

Pasti untuk memperolehinya agak sukar.

Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran
istimewa dari Allah SWT.

Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa,
pasti kita akan mencapai darjat taqwa. Marilah sama-
sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar
puasa kita Ramadan ini mampu melonjakkan kita ke
darjat taqwa. Amin.

Wassalam.

Saturday, July 30, 2011

EMPAT PUNCA HIDUP TIDAK TENANG

Dalam kehidupan hari ini yang serba mencabar,
tidak mustahil kita akan mengalami tekanan
bila berhadapan kerenah manusia sama ada
di rumah, di tempat kerja dan anak-anak.
Jika dalam entry yang lepas, kita dianjurkan
mengamalkan doa pagi, petang bagi mengatasi
masalah jiwa, kali ini dikongsikan petua untuk
mengelak tekanan dan menjalani kehidupan
dengan lebih tenang.

Menurut Ustaz Zahazan, ada empat perkara
membuat hidup menjadi sukar dan tertekan
dan empat perkara itu adalah:

Pertama: Bersungut dan tidak menerima qada
dan qadar Allah.

Amalkan membaca doa seperti diajar Rasulullah
SAW iaitu:
“Bismillahi ‘ala nafsi wamali wadini. Allahumma
raddhini biqodho ika wabarikli fima quddiroli
hatta la uhibba ta’jila ma akkharta wala takkhira
ma ‘ajjalta.”
(Maksudnya:
Dengan nama Allah atas diriku, hartaku, dan agamaku.
Ya Allah, jadikanlah aku ini rela dengan apa-apa yang
Engkau tentukan dan berikanlah berkat untukku
dalam segala yang sudah ditakdirkan kepadaku
sehingga aku tidak menginginkan cepatnya sesuatu
yang Tuhan perlambatkan atau perlambatkan sesuatu
yang Tuhan percepatkan).

Kedua: Berbuat dosa dan tidak disertai dengan taubat.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 135
yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melaku-
kan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri,
mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon
ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak
ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah,
dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji
yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Ketiga: Bersikap iri hati, dendam dan dengki

mempunyai sikap iri hati sesama manusia serta
muncul perasaan senang untuk membalas dendam
kepada mereka dan dengki atas anugerah yang
Allah berikan kepada mereka.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 54
yang bermaksud: “Ataukah mereka dengki kepada
manusia lantaran kurnia yang sudah Allah berikan
kepadanya.”

Dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu
Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW
bersabda: “Jauhilah olehmu sekalian sifat dengki
itu, kerana sesungguhnya dengki itu dapat meng-
habiskan amal kebaikan sebagai mana api itu
dapat menghabiskan kayu api.”

Keempat: Berpaling daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 124
yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling
ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka se-
sungguhnya adalah baginya kehidupan yang
sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada
Hari Kiamat dalam keadaan buta.”

Demikian empat perkara disebut ‘Aidh bin
Abdullah al-Qarni dalam kitab beliau La Tahzan.
Elakkan daripada melakukan keempat-empat
perkara itu, Insya-Allah hidup akan tenang.
Wallahua’lam.

Wednesday, July 27, 2011

RAMADHAN MENTARBIYAH UMAT

Mari kita renungkan kenapa bulan Ramadhan
dikenali sebagai Bulan Tarbiyah.

Ini adalah kerana pada bulan ini, umat Islam
dididik secara langsung oleh Allah swt dan
diajarkan olehNya supaya mampu mengatur
waktu dalam kehidupan secara baik ,
merangkumi :

a. Bila waktu makan.
b. Bila waktu bekerja.
c. Bila waktu istirehat.
d. Bila waktu ibadah.

Tarbiyah adalah wasilah yang sangat penting
bagi kehidupan insan dan umat kerana dengan
tarbiyahlah akan lahir ‘Syakhshiyah Islamiyah
Mutakamilah Mutawazinah’ (Keperibadian Islam
Yang Melengkapi Dan Seimbang) yang mampu
menghadapi halangan zaman dengan segala
permasaalahan, ujian dan cobaannya.

Dalam konteks tarbiyah itu sendiri; bagi meng-
hasilkan aktivis-aktivis dakwah yang memiliki
‘Syakhshiyah Islamiyah Mutakamilah Mutawazinah’
(Kepribadian Islam Yang Melengkapi Dan Seimbang),
maka manhaj tarbiyah mestilah mampu merealisasi-
kan tujuan-tujuan berikut :

PERTAMA :

Memahami Islam sebagai manhaj atau pedoman
hidup bagi manusia yang bersifat :

1. ‘Syumuliyah’ (sempurna).
2. ‘Mutawazinah’ (seimbang).
3. ‘Mutakamilah’ (melengkapi).
4. ‘Alamiyah’ (sejagat).
5. ‘Murunah’ (anjal).
6. ‘Waqi’iyyah’ (realistik).
7. ‘Rabbaniyyah’ (bersumber dari Allah).

KEDUA :

Memiliki komitmen pada Islam dalam semua
aspeknya meliputi sosial, politik, ekonomi,
pendidikan dan lain-lainnya sehingga semua
‘nazhoriyah’ (teori) dapat diaplikasikan di
dalam kehidupan yang nyata.

KETIGA :

Memperhatikan keadaan objektif masyarakat
dalam hal aplikasi, komunikasi dan interaksi
dengan prinsip-prinsip Islam.

Semua itu mesti disesuaikan dengan situasi,
keadaan, waktu dan tempat.

a. Apakah dengan kaum muslimin ataukah
dengan bukan muslim.
b. Samada dalam ‘ta’amul da’awi’ (interaksi
da'wah) ataupun ‘ta’amul siyasi’ (interaksi politik).

Oleh yang demikian, diperlukan pengukuhan
hukum syar’ie dalam berinteraksi dengan orang
lain dan manhaj tarbiyah mestilah dibangunkan
di atas landasan ini.

KEEMPAT :

Memperhatikan tanggungjawab tarbiyah kerana
yang kita inginkan adalah :

1. Mencetak aktivis da'wah dan generasi yang boleh
bergaul dengan masyarakat luar.
2. Mampu mempengaruhi.
3. Mampu menguasai.
4. Tidak menganggap mereka sebagai musuh walaupun
perlakuan mereka keras, kasar dan menyakitkan.

Ini adalah kerana penda'wah sejati dan aktivis yang
berjaya adalah justeru orang-orang yang mampu
menarik orang-orang yang sukar direkrut. Di sini
akan nampak wujudnya perbezaan daya tarikan dan
kemampuan di antara para aktivis untuk menguasai
dan merekrut massa.

Dalam bulan Ramadhan, Allah swt ingin memberikan
tarbiyah kepada kaum muslimin agar :

a. Tercetak peribadi yang soleh.
b. Meningkat keimanannya.
c. Mereka berakhlak.
d. Mempunyai ilmu pengetahuan yang lurus.
e. Komited di jalan da'wah untuk mencapai redha Allah.

Istilah Ramadhan itu sendiri berasal dari kata
‘ramadha-yarmudhu-ramadhan’ ertinya panas
membakar. Panas membakar ini boleh sahaja
berasal dari sinar matahari.

Orang Arab zaman dahulu ketika memindahkan
nama-nama bulan dari bahasa lama ke bahasa
Arab, mereka menamakan bulan-bulan itu
menurut masa yang dilaluinya.

Kebetulan bulan Ramadhan masa itu sedang
melalui musim panas akibat bersangatan teriknya
matahari apalagi bagi pejalan kaki di atas padang
pasir pada masa itu.

Ramadhan bermakna panas membakar juga
difahami kerana perut orang-orang yang berpuasa
tengah terbakar akibat menahan makan minum
seharian.

Panas membakar di bulan Ramadhan boleh juga
bererti bahwa bulan Ramadhan memberikan tenaga
untuk membakar dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia.

Pada bulan yang sangat istimewa ini, terdapat sekian
banyak wahana yang boleh dimanfaatkan dalam
rangka penggembelengan dan pemanasan diri itu.

1. Dari yang wajib seperti puasa dan zakat fitrah
hinggalah kepada yang sunnah seperti i’tikaf,
tadarus, tarawih, sedekah, dan sebagainya.
2. Dari yang berbentuk fizikal seperti memberi
makanan berbuka kepada fakir miskin hingga yang
berbentuk psikologi seperti sabar, tawakkal, amanah,
jujur dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi bagi seorang penda'wah yang
mengambil berat tentang aktiviti da'wah; sedar
akan nilai-nilai Islam samada secara teori atau
pun praktikal, maka Ramadhan merupakan pusat
‘Tarbiyah As-Syumuliyah Dan Mutamatsilah’
(Pembinaan Yang Komprehensif Dan Terpadu)
sehingga ketika melalui bulan ini sebelum mereka
terjun ke lapangan memberikan perbaikan pada
masyarakatnya, seorang penda'wah perlu di
tempa dirinya terlebih dahulu.

Secara garis besar dapat kita temui bahwa
Ramadhan merupakan wasilah tarbiyah yang
meliputi perkara-perkara berikut :

RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH
RUHIYAH (PENBINAAN KEROHANIAN)

Pada dasarnya, setiap ibadah yang Allah perintah-
kan kepada hamba-hambaNya, selain merupakan
kewajiban dan alasan diciptakannya manusia dan
makhluk lainnya; juga merupakan wasilah untuk
membersihkan diri manusia itu sendiri dari kotoran
dan dosa yang melumuri jiwa, sehingga tidak ada
satu ibadah pun yang terlepas dari arah tersebut.

a. Solah misalnya merupakan wasilah untuk
mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar.

b. Zakat yang dikeluarkan oleh orang kaya
merupakan wasilah untuk membersihkan diri
dan hartanya dari kotoran yang terdapat dalam
hartanya seperti yang tersirat dalam surah At-
Taubah ayat 103 : “Ambillah zakat dari sebagian
harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih-
kan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk
mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi)
ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui” dan surah Al-
Lail, ayat 18 : “Yang menafkahkan hartanya (di
jalan Allah) untuk membersihkannya.”

Begitu juga dengan bulan Ramadhan yang di
dalamnya terdapat ibadah puasa, ia berfungsi
sebagai wasilah bagi “Tazkiyatun Nafs” (perbersihan
jiwa), di mana orang yang berpuasa selain menjaga
diri untuk tidak makan dan minum, juga dituntut
untuk :

1. Mematuhi perintah Allah dan menjauhi
laranganNya.
2. Melatih dirinya untuk menyempurnakan
ibadahnya kepada Allah walau dalam keadaan lapar.
3. Bersikap jujur.
4. Menjaga diri dari ucapan kotor dan keji.
5. Menjauhi sifat hasad dengki.
6. Memenangkan ruh Ilahi ke atas materialistik.
7. Mengutamakan akal di atas nafsu syahwat.

RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH
JASADIYAH (PEMBINAAN JASMANI)

Ibadah puasa merupakan ibadah yang tidak hanya
memerlukan pengendalian hawa nafsu tapi juga
memerlukan kekuatan fizikal di mana puasa tidak
diwajibkan bagi mereka yang kesihatannya tidak
dalam keadaan terbaik seperti orang tua yang
telah lanjut usia, orang sakit, wanita yang sedang
hamil atau menyusu serta orang yang sedang
musafir (dalam perjalanan).

Kesemua keadaan-keadaan tersebut merupakan
keringanan (rukhsah) bagi mereka disebabkan :

a. Ketidakmampuan fizikal.
b. Keadaan kesihatan janin dan bayi.
c. Untuk menjaga kesihatan bagi orang yang sedang
bermusafir.

Selain itu juga dengan puasa dari segi kesihatan akan :

1. Membersihkan usus-usus.
2. Memperbaiki kerja pencernaan.
3. Membersihkan tubuh dari sisa-sisa endapan
makanan.
4. Mengurangi kegemukan.
5. Menenangkan kejiwaan atas aspek material
yang ada dalam diri manusia.

RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH
IJTIMA’IYAH (PEMBINAAN SOSIAL)

Selain melatih diri, puasa juga memiliki sisi
pendidikan sosial di mana dalam kewajiban
puasa Ramadhan, seluruh umat Islam di dunia
diwajibkan berpuasa tanpa terkecuali samada :

a. Yang kaya atau miskin.
b. Lelaki atau wanita, kecuali bagi mereka yang
ada uzur.

Di sinilah letaknya pendidikan sosial di mana
mereka semua sama :

1. Di hadapan perintah Allah swt samada dalam
merasakan lapar dan dahaga.
2. Dalam ketundukan terhadap perintah Allah swt.

Puasa juga dapat membiasakan umat untuk hidup
dalam kebersamaan, bersatu, cinta keadilan dan
persamaan.
Selain itu, ia juga dapat melahirkan kasih sayang
kepada orang-orang miskin sehingga orang-orang
yang mampu dan kaya merasakan apa yang di deritai
oleh orang-orang fakir dan miskin sehingga ke tahap
mahu memberi dari rezeki yang Allah anugerahkan
kepadanya. Maka, dari sinilah di harapkan akan
timbulnya rasa persaudaraan dan perpaduan.

Dalam puasa Ramadhan juga disunnahkan untuk
memperbanyakkan sedekah kerana sedekah yang
paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.

Bersedekah bukanlah hanya memberi wang , tetapi
termasuk di dalamnya :

a. Memberi pertolongan.
b. Mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin.
c. Memberi perhatian.
d. Memberi seulas senyuman.

Jika konsep memberi (secara luas) ini dapat di-
terapkan secara maksima selama bulan Ramadhan,
maka amat luar biasa pengaruhnya terhadap
peribadi kita di mana :

1. Sikap kikir akan menyingkir.
2. Sikap kebergantungan akan menghilang.

Dengan memberi sedekah setahap demi setahap,
harga diri akan meningkat kerana sesungguhnya
ketika kita memberi, seseorang akan memperolehi.
Oleh yang demikian, dalam konsep memberi
terkandung intipati cinta-kasih.

Adanya kewajiban Zakat fitrah dalam bulan
Ramadhan merupakan bukti lain adanya
‘tarbiyah ijtima’iyah’ yang dibangun dalam
bulan Ramadhan, iaitu zakat atau sedekah
yang dihubungkan dengan Aidil Fitri.

Pada saat itu, setiap orang Islam diwajibkan
membayar zakat fitrah berupa bahan makanan
yang jumlahnya telah ditentukan, samada berupa
gandum, beras atau apa sahaja yang menjadi
bahan makanan pokok daerah setempat dan
dihitung menurut jumlah keluarga termasuk
orang tua, anak-anak, lelaki dan perempuan.

Selain itu, dalam berpuasa juga ditanamkan sifat
toleransi dan perpaduan dalam kehidupan yang
memiliki pelbagai etnik, warna kulit dan bangsa,
apalagi sesama muslim yang memiliki kepelbagaian
mazhab, kelompok dan golongan yang berasal dari
kepelbagaian kefahaman dalam mengambil intisari
dari ajaran Islam.

Perbezaan kelompok, mazhab dan golongan adalah
merupakan suatu yang lumrah, namun yang patut
kita sedari bahwa dengan adanya perbezaan tersebut
kita, umat Islam tidak boleh berpecah belah dan
tidak bersatu, namun hendaknya ia mampu dijadikan
wasilah untuk memupuk persaudaraan dan mem-
bangun bangunan Islam agar lebih kukuh lagi
sehingga dengannya tidak akan berlaku saling
berkelahi, mencela, menuding jari dan menghina
semata-mata hanya permasalahan remeh temeh
dan berstatus ‘furu’.

RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH
KHULUQIYAH (PEMBINAAN AKHLAK)

Puasa juga mendidik manusia untuk memiliki
akhlak yang mulia dan terpuji, sabar dan jujur
serta tegar terhadap segala ujian dan cobaan.

Perkara ini boleh dilihat dari arahan Rasulullah
saw dalam sebuah Hadits Qudsi bahwa orang yang
berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk.

Segala tingkah lakunya mesti berasaskan kepada
budi yang luhur. Ia wajib menjaga diri, jangan
sampai melakukan ‘ghibah’ (mengumpat diri
orang lain atau gosip), atau melakukan perkara-
perkara yang tidak berguna sehingga Allah
berkenan menerima puasanya.

Rasulullah saw bersabda :

“Apabila seorang dari kamu berpuasa, maka
janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Apabila
dicela oleh orang lain atau dimusuhi, maka
katakanlah: “Aku ini sesungguhnya sedang
berpuasa”.

Dalam hadits lain, Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa yang tidak mampu meninggalkan
perkataan dusta dan melakukan perbuatan dusta,
maka Allah tidak memerlukan lapar dan dahaga
mereka”. (HR Bukhari dan Abu Dawud).

Mengenai hadits di atas, Al’Allamah Asy-Syaukani
berkata :

“Menurut Ibnu Bathal, maksud hadits di atas bukan
bererti orang itu disuruh meninggalkan puasa,
tetapi merupakan peringatan agar jangan berkata
bohong atau melakukan perbuatan yang mengandungi
dusta.”

Sedangkan menurut Ibnu Arabi, maksud hadits ini
ialah bahwa puasa seperti itu tidak berpahala dan
berdasarkan hadits ini juga, Ibnu ‘Arabi mengatakan
pula bahwa perbuatan-perbuatan buruk tersebut di
atas dapat mengurangkan pahala puasa.

RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH
JIHADIYAH (PEMBINAAN SEMANGAT JIHAD)

Puasa juga merupakan wasilah dalam menumbuh-
kan semangat jihad dalam diri umat, terutama jihad
dalam :

a. Memerangi musuh yang ada dalam jiwa setiap
muslim.
b. Mengikis kehendak hawa nafsu.
c. Berusaha menghilangkan dominasi kecenderungan
jahat jiwa yang sentiasa membawanya kepada
perbuatan yang menyimpang.

Bahkan puasa juga menumbuhkan semangat jihad
yang nyata di mana peperangan yang berlaku yang
melibatkan Rasulullah saw dan para sahabat
kebanyakannya di bulan Ramadhan dan justeru
dengan berpuasa mereka mendapat lebih semangat
dalam berjihad kerana dengan puasa, hati terasa
lebih dekat kepada Allah swt dibanding hari-hari
dan bulan-bulan yang lain, walaupun pada dasarnya
Rasulullah saw dan sahabatnya tidak pernah
merasa jauh dari Allah swt.

Bukan pula disebabkan oleh berpuasa, orang lalu
boleh bermalas-malasan atau mengutamakan tidur,
tapi yang lebih utama adalah kegiatan dan aktiviti
orang yang berpuasa tidak kendor dan berkurang
hanya kerana alasan sedang berpuasa.

Namun sebaliknya, ia mestilah lebih ditingkatkan
lagi kerana ganjaran orang yang melakukan kebaikan
ketika puasa Ramadhan bahwa pahalanya akan dilipat
gandakan sepuluh kali ganda oleh Allah swt.

Oleh kerana itulah Allah swt berfirman :

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari
keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan
kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya
Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat
baik.” (QS Al Ankabut : 69)

Puncak tarbiyah yang dapat di raih oleh seorang
muslim pada bulan Ramadhan adalah mencapai
maqam taqwa disisi Allah swt sebagaimana firman
Allah swt pada penutup perintahNya untuk
berpuasa, “agar kamu bertaqwa”, kerana hanya
dengan puasalah, kesihatan ‘qalb’ (hati) dan
‘jasad’ (jasmani) akan terjaga.

Ya Allah, sesungguhnya kami menanti kedatangan
tamu yang agung ini di mana di dalamnya
terkumpul segala wasilah tarbiyah yang meliputi
pembinaan kerohanian, jasmani, sosial, akhlak
dan semangat jihad. Berilah kekuatan untuk kami
mentarbiyah diri-diri kami sehingga sampai ke
puncak matlamat menjadi insan-insan yang bertaqwa.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAN AHMAD

Tuesday, July 26, 2011

SOMETHING TO PONDER ABOUT.....

Malaysian Government Subsidies
by Desmond
(Puchong, Selangor)
Some of you are supporting the proposal to cut
govt subsidies, some of you are not sure, so
please read the following...

PEMANDU and Idris Jala are actually right to
say that cutting subsidies could lower Malaysia's
debts, but the cuts will ONLY BE successful if
leakages from corruption are plugged first.

For example, govt. subsidies are being given to
Independent Power Producers (IPP), so that
they can supply electricity to TNB and earn
profits. The govt subsidies to the IPPs are worth
RM13 billion every year. These include cheaper
Petronas gas supplied to them.

There is a 20-year interest free loan of RM 320
million given to SYABAS, the Selangor water
company. SYABAS is also a privatized company,
why does the govt subsidise it by giving it 20
years of loan, free of interest?

The total deficit the government need to cover
amount to RM47 billion. The total subsidyis
about RM74 million. Removing the subsidies
will NOT help reducing the deficits a lot, but
a lot of poor and middle-class Malaysians will
be affected. Details of subsidies are Social
(RM42.8 billion), fuel (RM23.5 billion), Infra-
structure (RM4.8 billion) and essential food
(RM3.4 billion). If this amount includes sub-
sidies for health services, then PEMANDU must
review the market price of medicine and pharma-
ceuticals and compare that with the price the
Ministry of Health is buying.

In 2008, global price for crude is about USD140
per barrel, and the fuel subsidy the government
have to bear was RM17 million. Today the global
price for crude is about USD70 per barrel, yet
the govt. fuel subsidy is RM23.5 billion. Why?
Have we forgotten that recently the govt has
spent RM8 billion on purchasing armoured
vehicles and tanks? And another RM3.4 billion
for the submarine that could not dive?

Idris Jala claimed Malaysia consume more fuel
per capita than many countries. That is correct.
But, has the government made serious effort to
combat the fuel subsidyleakage? Take fishing
fuel subsidy in Sabah as example. There are
1,200 trawlers registered with the Fisheries'
department. However, there are only 200 real
trawlers (physically present), this means
there are 1,000 phantom trawlers enjoying
fuel subsidies. How sure is Idris Jala that
similar phantom trawlers do not exist in
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
registry throughout the country?

And the govt is telling you that it is subsidising
RM12,900 per household per year! Have we also
forgotten the Auditor-General's Report that
revealed the govt. actually spent RM500 to
purchase 1 unit of screwdriver, or the same govt
car being pumped to full tank twice in just
1 minute apart, or Port Klang Free Zone's project
that has ballooned to over RM4.6 billion from
original budget of RM1.1 billion?

Today, when you drive thru Damansara-Puchong
Highway (LDP), you pay RM 1.60. The govt said
that you get 50 sen subsidy, else it should be
RM 2.10. But, LDP was built with RM 1.42 billion,
with a concession period of 1996-2030. And, the
govt. is paying out RM 2.6 billion every year in
subsidy to the highway company. So, if the govt
subsidy is removed, you will pay RM2.10 each
time you pass thru LDP. So the question is,
who approved and signed the contract with
the highway company? Who agreed with such
toll rates?

In the UK , British students paid subsidised
university fees. International students there
paid fees between 8000-10,000 pounds per year.
In Malaysia , local students took PTPTN loans
of about RM21,000 for 3-year undergraduate
studies. Foreign students paid only about
RM15,000-RM17,000 for the entire 3 year of
studies. The govt. is subsidising foreign students
so that we can become the education hub. Why
use taxpayer's money to subsidise foreign
students? Why foreigners can get subsidised
medical care at govt hospitals?

And, it's not just govt is proposing to reduce
our subsidies, we are actually already subsidising
govt projects! Let's take ERL (express train from
KL Sentral to KLIA) for example. Did you know
that each time you use LCCT in Sepang, RM5 of
your airport tax actually goes to subsidising the
ERL? LCCT passengers like yourself who don't
use ERL are subsidising the ERL train service!
I am not bluffing you, this has been confirmed
by the Finance Ministry. Why are you paying
subsidy to something that you don't use?

The govt spent RM1 billion in sugar subsidy in
2009. But let's not forget, Malaysia's sugar is
now controlled by govt's BERNAS after Robert
Kuok sold off his entire sugar monopoly. So,
that RM1 billion subsidy is actually for BERNAS's
profits, which of course means "come out from
left pocket, go to the right pocket". But remove
the sugarsubsidy means most food prices will
go up. Our sugar price may be lower in the region,
but our fresh graduates salary is also among the
lowest in the region! And our food prices is already
among the highest in the region. Just ask any
tourist in KL if they find Malaysian foods are
cheap or not.

According to Idris Jala, the government debt
stands at RM362 billion and rising and may
reach RM1.158 trillion by 2019 and the possibility
that Malaysia may go bankrupt after the Greece
footsteps. Actually this is against the statement
made by Najib recently where he assures the
nation that Malaysia is not affected by the Greece
contagion. Why the contrast?

Actually, it is true that Malaysia is one of the
most subsidised nations in the world. But think
again, where else in the world that you can find
so many tolled roads in every corner of the city?
Where else you can find foreign students
subsidised in universities? Where else you
can you find a govt spending billions here
and there, and tell you that "we are going
bankrupt" because of subsidies?

Last week, we were told that Malaysia is 10th
most competitive country in the world. But has
anyone told you that 2 days ago, Malaysia has
been ranked 102 (out of total 152 countries) in
terms of average Internet speed? We are 18
times slower than South Korea ! (Thailand at
63rd, Philippines 90th, China 76th, Spore 31st,
Taiwan 36th). Do you really still want your
subsidies to be cut?

Friday, July 22, 2011

AL-QURAN PENUNJUK JALAN

Di antara sebab kenapa Ramadhan dinamakan
sebagai penghulu segala bulan adalah kerana
di dalam bulan tersebut terdapat peristiwa
yang sangat agung dan mulia iaitu peristiwa
turunnya Al-Qur'an yang membawa petunjuk
dan al-Furqan.

Allah swt berfirman :

"(beberapa hari yang ditentukan itu ialah)
bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya
diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai
petunjuk bagi manusia dan penjelasan-pen-
jelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza
(antara yang hak dan yang bathil)."
(QS Al-Baqarah : 185)

Ramadhan disebut dengan Bulan Al-Quran
kerana ia adalah bulan yang mula diturun-
kannya Al-Quran.

Dengan berpedomankan Al-Quran, niscaya
hidup manusia menjadi terarah dan memberi :
Kebahagiaan.
Kedamaian.
Ketenteraman.
Kemakmuran.
Keadilan.
Bahkan ia juga menjadi seperti alat penapis
yang mampu membezakan :

1. Antara yang hak dan bathil.

2. Antara yang benar dan yang salah.

3. Antara ketaatan dan kemaksiatan.

4. Antara hidayah dan kesesatan.

5. Antara kebahagiaan dan kesengsaraan
hakiki.

6. Antara jalan menuju ridha Allah dan
murka Allah.

7. Antara jalan menuju syurga yang penuh
dengan kenikmatan dan jalan menuju neraka
yang penuh dengan azab dan kepedihan.

Allah swt menurunkan Al-Qur'an kepada
Rasulullah saw untuk memberi petunjuk
kepada manusia. Turunnya Al-Qur'an me-
rupakan peristiwa besar sekaligus menyata-
kan kedudukannya bagi penghuni langit dan
penghuni bumi.

Turunnya Al-Qur'an yang pertama kali pada
malam Al Qadar merupakan pemberitahuan
kepada alam tingkat tinggi yang terdiri dari
malaikat-malaikat akan kemuliaan umat
Nabi Muhammad saw.

Umat ini telah dimuliakan oleh Allah dengan
risalah baru agar menjadi umat yang paling
baik yang dikeluarkan bagi manusia.

Sedangkan turunnya Al-Qur'an yang kedua
kali secara bertahap, berbeza dengan kitab-
kitab yang turun sebelumnya adalah sebagai :
- Penguat akan risalah Nabi saw.
- Penghibur jiwa baginda terhadap ujian dan
rintangan yang dihadapi.
-Peluang untuk sentiasa mengikuti peristiwa
dan kejadian-kejadian sehingga Allah menyem-
purnakan agama ini dan mencukupkan nikmatNya.

Oleh kerana itulah, dalam Al-Qur'an seringkali
kita mendengar bulan Ramadhan sebagai bulan
barakah kerana Al-Qur'an diturunkan pada bulan
tersebut yang memberikan keberkatan di malam
keberkatan.

Allah swt berfirman:

"Sesungguhnya Kami menurunkannya pada
suatu malam yang diberkati dan Sesungguhnya
Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam
itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah;
(iaitu) urusan yang besar dari sisi kami.
Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus
rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu.
Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui". (QS Ad-Dukhan : 3-6)

Allah juga berfirman bahwa Al-Qur'an diturun-
kan pada malam kemuliaan iaitu ‘Lailatul Qadr’,
sehingga jika seorang hamba melakukan ibadah
tepat pada malam tersebut mendapatkan
ganjaran sebanding dengan ibadah selama
‘seribu bulan’ (lebih kurang 83 tahun).

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya
(Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahu-
kah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam
kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada
malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat
Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur
segala urusan. Malam itu (penuh) Kesejahteraan
sampai terbit fajar". (QS Al-Qadr : 1-5)

Namun, seringkali kita, sebagai kaum muslimin
tidak menyedari akan kemuliaan dan keutamaan
Al-Quran sehingga tidak sedikit mereka yang jauh
dari Al-Qur'an, mulai dari jauh dalam bentuk :
- Tidak boleh membacanya.
- Boleh membaca tapi tidak rajin membacanya.
- Rajin membacanya tapi tidak memahaminya.
- Memahaminya tapi tidak mengamalkannya.
- Mengamalkannya tapi hanya untuk dirinya
sendiri namun belum mampu mengajak orang
lain untuk mengamalkannya.

Malah jika dilihat sikap sebahagian umat Islam,
ada yang hanya menjadikan dan menganggap Al-
Qur'an sebagai kitab suci yang wajib dihormati
sehingga diletakkan jauh dari tempat yang kotor
dan najis, atau diletakkan di tempat yang tinggi
sehingga jauh dari sentuhan anak-anak dan
tidak mudah dijadikan mainan, kadang-kadang
terlampau tingginya tempat Al-Qur'an tersebut
sehingga orang tuapun akhirnya malas mengambil-
nya untuk dibaca.

Anggapan tersebut memang ada benarnya namun
yang mesti difahami dengan lebih mendalam
adalah, bagaimana selain menganggapnya sebagai
kitab suci tapi ia juga berusaha menjadikannya
sebagai wasilah untuk menyucikan dirinya dari
segala dosa dan maksiat.

Bukankah dengan membaca Al-Quran bererti dia
telah beribadah yang setiap kali dibaca ayat-
ayatnya, Allah swt akan melimpahkan pahala
dan ganjaran dari setiap huruf yang dikeluarkan
oleh lisannya, lalu ganjaran dilipat gandakan
menjadi sepuluh kali ganda?

Bukankah, dari ibadah yang dilakukan itu akan
menghapus dosa-dosa yang pernah dilakukan
selama ini yang bukan dosa besar?

Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya kebaikan-kebaikan (ketaatan) itu
akan menghapus dosa-dosa". (QS Hud : 114)

Rasulullah saw bersabda:

"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu
berada, dan iringilah perbuatan buruk itu dengan
perbuatan yang baik kerana ia boleh menghapus-
nya (HR Tirmizi)

Jawabannya tentu tepat sekali iaitu membaca Al-
Quran adalah ibadah dan oleh kerana ibadah
merupakan suatu kebaikan maka secara tidak
langsung dapat menghapus dosa-dosa, selama
mana dosa-dosa itu adalah dosa kecil.

Oleh kerana itu sebagai bulan Al-Quran, Ramadhan
mengingatkan dan mengetuk hati kita untuk mem-
perkukuh komitmen kepadanya.
Apabila Ramadhan tiba, kita tingkatkan :
- Interaksi kita dengan Al-Quran.
- Pembacaaannya.
- Usaha memahami dan menelaah makna-
makna yang terkandung dalam ayat-ayatnya.

Ini boleh dilakukan samada dengan membaca
tafsirnya, terjemahannya atau mengikuti kajian-
kajian Al-Quran yang banyak diadakan di masjid-
masjid atau di institusi-institusi yang memberi
perhatian terhadap ajaran Islam.

Ketika bulan Ramadhan berakhir, pengukur akan
kejayaan Ramadhan yang dilalui adalah dengan
adanya komitmen kepada Al-Quran yang semakin
kuat kerana Al-Quran berfungsi sebagai petunjuk
dan ‘al-furqan’ dalam menilai sesuatu; untuk dapat
membezakan antara yang ‘hak’ (benar) dan yang
‘bathil’ (salah), seperti firman Allah yang telah
disebutkan di atas.

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya
diturunkan Al Qur'an sebagai petunjuk (hudan)
bagi manusia, penjelasan-penjelasan mengenai
petunjuk itu (bayyinat) dan pembeza / furqan
(antara haq dengan bathil)". (QS Al Baqarah : 185)

Ayat di atas menjelaskan bahwa Al-Qur'an di
turunkan oleh Allah Maha Pengasih :
- Sebagai petunjuk bagi manusia yang mengimaninya.
- Merupakan dalil-dalil yang jelas dan terang
bagi mereka yang memahaminya.
- Sebagai pembeza antara haq dengan bathil dan
antara yang halal dengan yang haram.

Allah swt telah menurunkan kepada kita Al-Qur'an
di bulan Ramadhan. Allah memberi petunjuk melalui
Al-Qur'an tersebut siapa sahaja yang mengikutinya
dan menyesatkan siapa sahaja yang menyimpang
darinya. Di dalam Al-Qur'an itu terdapat petunjuk,
dan penjelasan dari petunjuk (berisi keterangan-
keterangan tentang hukum), dan pembeza (antara
yang haq dan yang batil).

Allah telah mensyariatkan Islam kepada Nabi
Muhammad saw sebagai satu-satunya agama yang benar.
Islam adalah agama yang :
- Mengatur hubungan manusia dengan Rabbnya.
- Mengatur hubungan dengan dirinya sendiri.
- Mengatur hubungannya dengan sesama makhluk
baik manusia mahupun lingkungan lainnya.

Aktiviti menerapkan wahyu yang diturunkan,
termasuk penerapan hukum-hukum syariat
(Islam) secara sepenuhnya dalam berbagai
aspek kehidupan manusia (individu, kelompok,
mahupun negara) merupakan penyebab hakiki
terwujudnya kemuliaan Islam dan kaum Muslimin.

Di dalam penerapan syariat Islam itulah terdapat
keagungan dan kewibawaan mereka di depan
musuh-musuhnya.

Allah swt berfirman :

"Padahal kekuatan (kemuliaan) itu hanyalah bagi
Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang Mukmin.
Akan tetapi, orang-orang munafik itu tiada
mengetahui". (QS Al-Munafiqun : 8)

Sedar atau tidak, orang-orang kafir sudah menge-
tahui bahwa sumber kekuatan umat Islam adalah
Al-Qur'an dan selama mana Al-Qur'an masih di-
pegang kuat oleh umat Islam maka agak sukar
dan mustahil mereka akan dikalahkan.
Oleh kerana itulah Allah swt menceritakan bahwa
orang-orang kafir berkata:

"Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-
sungguh akan Al-Quran ini dan buatlah hiruk-
pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalah-
kan mereka". (QS Fushilat : 26)

Sebaliknya, jauhnya kaum Muslimin dari Al-Qur'an
dan hukum-hukumnya merupakan penyebab hakiki
akan kelemahan, keterkebelakangan dan kehinaan mereka.

Allah swt berfirman :

"Siapa sahaja yang berpaling dari peringatanKu,
sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit,
dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari
Kiamat dalam keadaan buta. (QS Thaha : 124)

Pelbagai krisis yang menimpa dan mengepung
berbagai negara dan di berbagai belahan dunia;
sejak beberapa tahun lalu hingga sekarang me-
rupakan sebaik-baik dalil tentang perkara ini.
Seharusnya umat Islam sedar bahwa Islam bukan-
lah semata-mata sebagai syiar-syiar dan ibadah
ritual semata-mata, namun merupakan agama
sempurna yang meliputi :
- Aqidah.
- Syariat.
- Hukum.
- Politik.
- Risalah ke seluruh dunia.

Dalam penerapan syariat Islam terdapat ke-
agungan dan kewibawaan mereka di depan
musuh-musuhnya dan kaum Muslimin juga
seharusnya sedar akan kewajiban dirinya untuk
menegakkan Khilafah Islam secara sempurna
mulai dari individu, keluarga, masyarakat hingga
daulah (negara).

Ya Allah, hidupkanlah kami dengan Al Quran,
berilah petunjuk kepada kami dengan Al Quran,
berilah kekuatan kepada kami dengan Al Quran
dan jadikanlah Al Quran sebagai hujjah dan
syafaat kepada kami di akhirat nanti.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAN AHMAD

Sunday, July 17, 2011

10 POKOK RAMADHAN
(sediakan diri anda - mental, fizikal dan spiritual)

Ibarat sebuah tanaman, amal-amal soleh di bulan
Ramadhan adalah pokoknya dan musimnya adalah
bulan Ramadhan.
Apa sahaja pokok yang kita tanam di sepanjang
Ramadhan, itulah buah yang akan kita petik dan
nikmati kerana :
"Siapa yang menanam maka dialah yang akan menuai".

Persoalannya adalah pokok apakah yang perlu kita
tanam di bulan suci ini?

Paling tidak ada sepuluh (10) pokok yang mesti
kita tanam di sepanjang bulan Ramadhan ini :

POKOK PERTAMA - Puasa

Puasa bukan sekadar menahan perkara-perkara
yang membatalkan puasa samada makan, minum
atau hubungan biologi antara pasangan dari
sejak terbit fajar sehingga terbenamnya matahari
sahaja.

Ini adalah kerana, kalau hanya sekadar menahan
yang demikian, boleh jadi anak kecil yang belum
baligh sekalipun sudah mampu melakukannya.
Betapa anak-anak kita sudah belajar berpuasa
semenjak di bangku sekolah lagi bukan?

Jadi, kalau demikian, apakah bezanya puasa
kita dengan mereka?
Mesti kena ada nilai yang lebih, iaitu menjaga
dari yang membatalkan nilai dan pahala puasa.

Apakah yang membatalkan nilai puasa?

Di antaranya :
a. Bercakap bohong.
b. Mengejek.
c. Melaga-lagakan.
d. Mengumpat.
e. Hasad dengki.
Oleh yang demikian, mata, telinga, lidah, tangan,
kaki dan anggota badan kita kena ikut sama berpuasa.

"Betapa ramai orang yang berpuasa, tidak mendapat
kan sesuatu kecuali hanya rasa lapar dan dahaga
semata-mata." Begitulah penegasan Rasulullah saw.

POKOK KEDUA - Sahur

Sahur bukanlah pengganti kepada sarapan pagi
dan bukan pula penambah kepada makan malam
namun sahur yang penuh berkat itu dilakukan di
akhir waktu menjelang fajar.

Di sinilah waktu-waktu yang sangat mahal di
mana doa dikabulkan dan segala permintaan
dipenuhi sehingga ketika kita melaksanakan
sahur, jangan sekali-kali sambil :
a. Menonton televisyen.
b. Mendengar hiburan yang melalaikan.
Sibukkanlah diri dan keluarga kita dengan men-
syukuri nikmat Allah dengan bersama-sama me-
laksanakan sunnah sahur ini dengan penuh berkat
dan perasaan kekeluargaan.

"Bersahurlah, kerana dalam sahur itu ada keberkatan.
" Begitulah sabda Rasulullah saw yang mengajarkan-
nya kepada kita.

POKOK KETIGA – Berbuka Puasa

Adalah menjadi sunnah menyegerakan berbuka puasa.
Ketika kita mendengar berkumandangnya azan
Maghrib, segeralah berbuka puasa. Jangan dilambat-
lambatkan atau ditunda selepas solat sunat tarawih
dan sebagainya.

Dengan apakah kita berbuka?

Sunnahnya dengan "ruthab" atau kurma muda.

Berapa biji?

Ikut bilangan ganjil satu atau tiga biji, namun kalau
tidak ada, boleh dilakukan dengan seteguk air kosong.
Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Berbuka puasa bukanlah acara balas dendam di
mana setelah seharian menahan lapar, ketika
beduk Maghrib berbunyi, seakan-akan kita ingin
melampiaskan rasa lapar kita dengan memakan
semua yang ada. Perilaku seperti ini tentunya
tidak akan membawa kesan perubahan dalam
kehidupan pelakunya.

Justeru dengan berlapar sambil merenungkan
hikmah puasa dan menjadi bukti kesyukuran
adalah sebahagian dari tujuan berpuasa sehingga
dengan secara sedar dan insaf, kita berdoa di saat
berbuka:

"Ya Allah, kepadaMu aku berpuasa, dengan rezeki
Mu aku berbuka, telah hilang rasa haus (dahaga)
ku, kerongkongan telah basah, kerana itu, tetapkan
pahala bagiku, insya Allah."

POKOK KEEMPAT – Solat Tarawih

Tarawih berasal dari akar kata "raaha-yaruuhu-
raahatan-watarwiihatan" yang bererti :
a. Rehat.
b. Istirehat.
c. Bersenang-senang.
sehingga solat tarawih diumpamakan sebagai solat
yang dilaksanakan dengan :
a. Thuma'ninah.
b. Mudah.
c. Khusyu'.
d. Penuh penghayatan.
bukan hanya sekadar mengejar sasaran bilangan
rakaatnya sahaja.
Kalau kita mahu buat lapan, dua puluh, tiga puluh
enam, sila kerjakan asalkan kita memperhatikan
rukun, wajib, dan sunnah solat.

Kalau kita disuruh memilih,
1. Apakah solat tarawih di masjid yang dalamnya
dibaca "idzaa jaa'a nashrullahi wal fathu".
atau
2. Solat tarawih di masjid yang dibaca "idzaa
jaa'akal munaafiquna qaaluu nasyhadu innaka
larasulullah…"
Kita pilih yang mana?

Kita tidaklah dalam keadaan ingin membandingkan
surah yang dibaca, semuanya adalah surah dalam
Al-Qur'an, namun kita ingin membandingkan sikap
kita, apakah kita pilih yang panjang-panjang namun
khusyu' atau pilih yang pendek-pendek namun
secepat kilat.

Umat Islam mesti berani membuat penilaian diri
dalam hal pelaksanaan solat tarawih ini kerana
sudah kesekian kalinya kita melaksanakan solat
tarawih dalam hidup kita, namun kita belum :
a. Mampu meresapinya dalam hati.
b. Merenungkan dan mendapatkan rasa lazatnya solat.
c. Bermunajat kepada Allah swt secara langsung.
Bukankah Rasulullah saw telah menunjuk ajar
kepada kita bahwa ketika beliau solat tarawih,
di raka'at pertama setelah beliau membaca surah
Al-Fatihah, beliau membaca surah Al-Baqarah
sampai selesai.
Para sahabat mengira bahwa beliau akan ruku',
namun beliau meneruskan membaca surah An-
Nisa' sampai selesai.
Para sahabat kembali mengira bahwa beliau akan
ruku', namun kembali beliau membaca surah Ali-
Imran sampai selesai, barulah beliau ruku'.
Sedangkan ruku', i'tidal dan sujud beliau lamanya
seperti beliau berdiri rakaat pertama…Subhanallah!

Tentunya kita tidak sekuat Rasulullah saw,
namun yang kita patut contohi dari beliau
adalah perlaksanaannya iaitu dengan cara
yang thuma'ninah, khusyu' dan penuh tadabbur.

POKOK KELIMA - Membaca Al-Qur’an

Membaca Al-Qur'an atau yang masyhurnya
disebut tadarus Al-Qur'an. Tadarus bukan
hanya dilakukan di bulan suci ini, bahkan juga
dilakukan setiap hari di luar Ramadhan, namun
pada bulan suci ini tadarus lebih :
a. Diperkuatkan.
b. Ditambahkan kuantitinya.
c. Diperhalusi kualitinya.
setiap malam.
Rasulullah saw bergantian bertadarus dan meng-
khatamkan Al-Qur'an dengan malaikat Jibril.

Imam Malik, ketika memasuki bulan Ramadhan,
meninggalkan semua aktiviti keilmuan atau
memberi fatwa. Semua ia tinggalkan hanya untuk
mengisi waktu Ramadhannya dengan tadarus.

Imam Asy-Syafi'i, yang mazhabnya diikuti di
negara kita, ketika masuk bulan Ramadhan ia
mengkhatamkan Al-Qur'an sehari dua kali
sehingga beliau khatam Al-Qur'an 60 kali selama
sebulan penuh. Subhanallah!

Kita tidak perlu berdebat, apakah itu sesuatu
yang mungkin berlaku ?
Bagaimanakah cara-caranya beliau boleh
melakukan perkara tersebut?
Intipati yang jauh lebih penting adalah semangat
dan mujahadah yang kuat, itulah yang mesti kita
miliki dalam berinteraksi dengan Al-Qur'an.

POKOK KEENAM - Menyediakan makanan berbuka

Jangan memandang remeh menyediakan makanan
berbuka untuk orang yang berpuasa samada secara
langsung ataupun melalui masjid walaupun hanya
dengan :
a. Sebiji kurma.
b. Seteguk air.
c. Makanan.
d. Minuman.
dan lainnya.
Ini adalah kerana nilai dan pahalanya sama seperti
orang yang berpuasa yang kita menyediakan untuk
berbuka itu.

Di negara-negara Timur Tengah, tradisi dan sunnah
menyediakan makanan berbuka kepada orang yang
berpuasa ini sangat kuat.
Hampir-hampir setiap rumah membuka pintu
selebar-lebarnya bagi para musafir, kaum kerabat,
jiran tetangga, sahabat handai untuk berbuka
bersama dengan mereka.

Kita jadikan usaha menyediakan makanan berbuka
bersama ini sebagai wasilah untuk :
1. Menyebarkan sikap kepedulian.
2. Membangunkan perasaan kekeluargaan.
3. Menjalin keakraban sesama Islam.
4. Berlumba-lumba ke arah membuat kebajikan.
POKOK KETUJUH - I'tikaf

Melaksanakan i'tikaf 10 hari di akhir Ramadhan
adalah amalan sunnah muakkadah yang tidak
pernah ditinggalkan oleh Rasulullah saw semasa
hayatnya.
Lebih dari 8 atau 9 kali beliau beri'tikaf di bulan
yang mulia ini bahkan pada tahun di mana beliau
wafat, beliau beri'tikaf 20 hari di akhir Ramadhan.
Beliau membangunkan isteri-isterinya, kaum
kerabatnya untuk menghidupkan malam-malam
mulia dan bernilai tinggi ini.

POKOK KELAPAN - Memburu Malam Al Qadr
Rata-rata usia umat Nabi Muhammad saw adalah
60 tahun. Jika lebih, itu dikira bonus dari Allah swt.
Namun usia yang relatif pendek itu boleh menyamai
nilai dan makna usia umat-umat terdahulu yang
bilangan umur mereka ratusan bahkan ribuan tahun.

Bagaimana caranya?

Ya, dengan cara memburu malam Al Qadr kerana
orang yang meraih malam Al Qadr dalam keadaan
beribadah kepada Allah swt bererti ia telah berbuat
kebaikan sepanjang 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan.
Jika kita meraih malam Al Qadr sekali, dua kali,
tiga kali dan seterusnya, maka nilai usia dan ibadah
kita mampu menyamai umat-umat yang terdahulu.

Rahsia inilah pada hari akhirat kelak, umat Muhammad
saw dibangkitkan dari alam kubur terlebih dahulu,
dihisab terlebih dahulu dan dimasukkan ke syurga
terlebih dahulu atau juga dimasukkan ke neraka
terlebih dahulu, wal iyadzu billah.

Sabda Rasulullah saw :
"Pada bulan ini ada satu malam yang lebih baik dari
seribu bulan, siapa yang terhalang dari kebaikannya
bererti ia telah benar-benar terhalang dari kebaikan.
" (HR Ahmad)

POKOK KESEMBILAN – Umrah

Melaksanakan ibadah umrah di bulan Ramadhan
terutama 10 akhir Ramadhan adalah seperti me-
laksanakan ibadah haji atau ibadah haji bersama
Rasulullah saw.

"Umrah di bulan Ramadhan sebanding dengan haji."
Dalam riwayat yang lain : "Sebanding haji bersamaku.
" (HR Bukhari dan Muslim)

POKOK KESEPULUH - Mengeluarkan zakat, infaq,
sedekah dan wakaf

Zakat, infaq, sedekah dan wakaf adalah merupakan
ibadah yang berkait dengan harta dan kesannya amat
ketara untuk manfaat sosial.

Mengeluarkan zakat tidak hanya tertentu dalam
bulan Ramadhan, kecuali zakat fitrah yang memang
perlu dikeluarkan sebelum solat sunat Aidil Fitri,
sedangkan zakat-zakat yang lain, sedekah, infaq
dan wakaf boleh dilakukan bila-bila masa sahaja
dan di mana sahaja, namun kerana bulan Ramadhan
menjanjikan kebaikan berlipat kali ganda, biasanya
kesempatan ini tidak disia-siakan oleh umat Islam
sehingga umat Islam berbondong-bondong menunjuk
kan kepeduliannya dengan melaksanakan perkara-
perkara tersebut.

Ianya lebih baik lagi jika disalurkan melalui Lembaga
Zakat atau Majlis Agama Negeri yang mengelola dana-
dana umat ini sepanjang hari dan tidak hanya terbatas
kepada acara tahunan semata-mata.

Bercakap tentang potensi zakat, infaq, sedekah dan
wakaf di negara ini sangatlah besar jumlahnya di
mana jika ianya mampu digali dan diperkasakan,
maka ekonomi umat Islam akan menjadi lebih baik.

Inilah sepuluh pokok yang boleh kita tanam se-
panjang bulan Ramadhan dan benarlah kata-kata
hukama' :
"Siapa yang menanam maka dialah yang akan menuai",
dengan izin Allah swt.

Ya Allah, kami mengharapkan semoga Engkau
menghidupkan pokok-pokok yang kami tanam di
bulan Ramadhan ini dan hasilnya dapat kami kecapi
apabila kami bertemu denganMu di akhirat nanti.
Hindarkanlah tanaman-tanaman kami dari menjadi
gersang yang tidak dapat memberi manfaat apa-apa
kepada penanamnya walaupun kami membanting
tulang mengusahakannya disebabkan oleh kami
tidak mengikuti cara-cara penanaman pokok yang
betul yang mampu mengeluarkan hasil yang berlipat
kali ganda.