Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Sunday, July 11, 2010

Friday, July 9, 2010

KISAH PEMUDA MALAS SOLAT

Islam itu mudah apabila , pertama, menjalankan
syari’at Islam boleh secara bertahap. Dalam hal
ini, seorang muslim tidak serta-merta diharuskan
menjalankan kewajiban agama dan amalan-amalan
sunnah secara serentak. Ada tahapan yang mesti
dilalui: mulanya kita hanya diperintahkan untuk
melaksanakan kewajiban-kewajiban pokok agama.
Setelah yang pokok-pokok berhasil dilakukan dengan
baik dan rapi, kalau punya kekuatan dan kesempatan,
maka dianjurkan untuk menambah dengan
amalan-amalan sunnah.

Bagaimana?
Pertama, membenarkan Islam diamalkan secara
berperingkat- peringkat seperti kita mendidik
seseorang untuk bersolat. Saya berikan contoh
dari cerita seorang lelaki yang baik tetapi tidak
bersolat.

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah
Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat
liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan
langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat,
apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama
yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah
penduduk setempat mengadu kepada ulama yang
datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak
memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini.
Malah makin menjadi-jadi.

“ Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat
merupakan tiang agama kita” kata salah seorang
pendakwah kepada pemuda tersebut.

“ Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat
ye “ jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang
ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke
tempat mereka. Aduan yang sama diberikan.
Setelah mendengar dengan teliti aduan para
penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk
bertemu dengan pemuda ini.

“ Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya
dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini bila
melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab
“ Sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung
niat saya ingin memaksa kamu seperti yang
kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar.
Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut
berkenaan solat . Perkara yang dilaksanakan
hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim.
Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal,
sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan
Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang
tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu
datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk , terus
memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang
haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung
ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin
bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah
keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah
menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu
hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan
berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang
diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat tersebut
telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh.
Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama
menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya
berkata dengan lembut “ Ahmad, aku ada mendengar
suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah
bersembahyang. Betulkah begitu?”Tersentak Ahmad
bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“ Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak
mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang
ada padaku inilah yang menghalang untukku
melakukannya”jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan
permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“ Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk
kamu dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?”
Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh.
Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih
untuk disempurnakan.

“ Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya
Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja” Jawab
Syeikh sambil tersenyum.

“ Baik ,dulu kamu pernah ceritakan kepadaku
bahwa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan
kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke
kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya
Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

”Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang
kamu telah bangun setiap awal pagi , apa kata jika
kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu
dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat
subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak
terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan
kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan
Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya
jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang
terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan
meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam
hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan
berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat
bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh
tahun hadapan.Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon
jaminan daripadanya.

“ Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan
senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat
pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar
Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk
melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai
di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira
bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan
janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad
hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak
didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan
perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh
secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad.
Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dulu
Ahmad.Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal
menunaikan solat subuh?”.Ahmad menjawab
dengan yakin : “ Berkat doamu tuan Syeikh,
Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan
solat jemaah subuh di masjid ini”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar
menunaikan janjimu.”

“ Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”

“ Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti
akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan
rasakan ianya suatu paksaan .Tetapi anggap ianya
suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada
yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang
mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa
disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?”
Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“ Benar apa yang tuan katakan.Perkara yang kita
lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan
kita laksanakan”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?”
Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“ Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan ,
kemudian aku sambung kembali kerja sehingga
hampir Asar”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan ?
Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah
makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh
meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”

“ Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku
mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit
basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai
wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat
zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak
lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu
agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh.
“ Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah
mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira
dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad.
Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut.
Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji
untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh
bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah
bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke
lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat
waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib.
Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad
hendak berangkat pulang setelah menunaikan
solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil
Ahmad.

“ Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah
maju?” Syeikh memulakan bicara.

“ Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“ Baguslah begitu.Aku sentiasa doakan hasilnya semakin
bertambah.”Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“ Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau
pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa
lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini
berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu
berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang
patut diberikan.

“ Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu
mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak
menunaikannya”

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang
lebih baik daripada kami semua?”Tanya Tuan
Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh” jawab Ahmad
dengan penuh semangat.

“ Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau
tidak lagi kurang berbanding kami.Malah engkau
akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh
memberikan jawapan yang cukup berhikmah
kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik
Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang
yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk
memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan
hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan
demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap,
harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam
sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang
menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan
mengatakan bahawa semua sudah lari daripada
jalan dakwah.Lari daripada jalan kebenaran.

Wednesday, July 7, 2010

JOM SAMPAIKAN ISLAM


Bayangkanlah suatu hujung minggu kita pergi berkelah

bersama keluarga ke pusat peranginan di tanah tinggi

seperti di Genting Highland (tanpa singgah di kasino).

Bila sampai ke puncak yang paling tinggi, kita pun

menghamparkan tikar dan mula menjamu selera

bersama-sama dengan keluarga. Dalam kelekaan kita

makan dan minum, anak kita yang berumur 2 tahun

telah berlari-lari sampai ke hujung tebing; dihadapannya

adalah jurang yang cukup dalam. Na’uzubillah, cuba

bayangkan anak atau adik kita yang berumur 2 tahun

berada dalam situasi itu. Cemas tak? Betul-betul

sebelah anak kita ada seorang lelaki dewasa yang

sihat dan waras. Apa yang perlu dilakukannya adalah

hulurkan tangan dia dan pegang anak kita, InsyaAllah

anak kita akan selamat. Tetapi lelaki tadi tidak

endahkan anak kita dan anak kita melangkah lagi

lalu jatuh kedalam gaung dan mati. Ketika itu

adakah kita akan ucapkan terima-kasih kepada

lelaki itu kerana tidak masuk campur dalam urusan

orang lain? Tidak, kita akan salahkan dia kerana

tidak mahu menolong anak kita. Kita akan tuduh

lelaki itu sebagai seorang yang sangat kejam.

Tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya kitalah

orang-orang Islam yang memegang watak lelaki

yang kejam tadi. Kita ada ramai kenalan bukan

Islam seperti rakan kerja, kawan jiran dan

sebagainya tetapi kita tak pernah buka mulut

kita menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan

sahaja mereka mati dalam keadaaan kafir.

Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada

Allah dan menarik kita sama-sama masuk

ke neraka, na’uzubillah. Apakah alasan yang

akan kita berikan pada Allah ketika itu? Marilah

kita sama-sama bangun dan sampaikan da’wah

kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan

Islah sesama orang-orang Islam.


Sketsa dari Bro Shah Kirit


Jom Da'wah!!!

Wednesday, June 23, 2010

ISU PELAJAR MATI KEGUGURAN

Kita merasa sungguh kesal dan dukacita di atas

kematian seorang pelajar perempuan dari
sebuah Sekolah Menengah di Kelantan baru-baru
ini akibat pendarahan dan komplikasi keguguran
di bilik penginapan sebuah resort di Kota Bharu.
Pelajar berkenaan dijumpai mati dalam keadaan
tumpah darah oleh pekerja resort setelah
dimaklumkan oleh teman lelaki pelajar berkenaan.
Menurut guru sekolah tersebut , pelajar berkenaan
ponteng sekolah setelah dihantar keluarga ke sekolah
disebelah pagi dan selepas itu dilihat membonceng
motosikal teman lelakinya ke resort berkenaan .

Kita perlu prihatin dengan nasib yang menimpa gadis

malang ini yang menjadi mangsa kitaran ganas
pergaulan bebas, perbuatan zina yang terkutuk
dan mengandung luar nikah yang boleh berakhir
dengan kematian akibat pengguguran atau keguguran
sebagaimana kes di atas. Ini adalah kematian gadis
kedua yang di laporkan di khalayak dalam tempoh
12 bulan ini. Terdahulu, seorang pelajar Universiti
dijumpai mati di bilik kediamannya dipercayai juga
akibat komplikasi melahirkan kandungan luar nikah.
Sampai bilakah situasi ini akan terus kita biarkan berlaku?

Sewajarnya semua pihak boleh dan harus terus

memainkan peranan yang lebih berkesan untuk
menghentikan penyakit sosial dari terus merebak
dan membarah, sekaligus menghancurkan keutuhan
masyarakat dan negara. Apalah ertinya pembangunan
fizikal dan kebendaan sesuatu negara jika tidak disertakan
pembangunan insaniah merangkumi aspek emosi dan
spiritual setiap warganegaranya.

Berdasarkan pengalaman membimbing remaja di

Raudhatus Sakinah (Sebuah pusat bimbingan dan
perlindungan remaja puteri), di dapati ada empat
faktor yang menyebabkan remaja terjerumus
ke dalam kancah gejala sosial dan zina ini iaitu :

1. kurangnya pendidikan dan penghayatan agama,
2. lemah jatidiri,
3. pengaruh kawan & persekitaran
4. kurang kasih sayang dalam keluarga.

Raudhatus Sakinah komited untuk menyumbang kepada
masyarakat dengan perkhidmatan di sudut pencegahan
dan perawatan terhadap masalah gejala sosial ini.
Di sudut pencegahan, terdapat pengendalian kempen
Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan Pakej Pendidikan
Kesihatan Reproduksi Remaja bertujuan mendidik remaja
menghindari gejala sosial ini . Sementara di sudut perawatan
pula, di terima remaja yang tersasar untuk di bimbing
kembali ke jalan yang sebenar.

Demi membendung pergaulan bebas dan gejala zina ini

dari terus berleluasa dalam masyarakat di sarankan agar:

1. Setiap anggota masyarakat lelaki dan wanita mestilah
kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran
agama. Bagi umat Islam tiada jalan lain untuk
mengembalikan kegemilangan ummah dan
memartabatkan kembali wanita dan gadis ke tempatnya
yang sebenar selain dari berpegang kepada ajaran Islam
sepenuhnya. Ajaran Al Quran dan setiap sunnah
Rasulullah SAW mestilah dipelajari dan diamalkan.

2. Ibubapa meningkatkan usaha mendidik dan mendekati
anak-anak remaja mereka. Ibubapa harus prihatin dan peka
dengan perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka
selain melengkapi diri dengan ilmu keibubapaan dan teknik
mendidik yang sesuai dengan zaman globalisasi yang serba
mencabar ini. Anak-anak lelaki harus dididik untuk
menghormati dan melindungi kaum wanita bukan
mengambil kesempatan terhadap golongan wanita.

3. Golongan remaja mestilah bijak memilih cara hidup
beragama yang akan memastikan mereka selamat dunia
dan akhirat. Mereka mestilah meyakini bahawa di sana
ada aktiviti dan gaya hidup alternatif yang menjamin
kebahagiaan dan keseronokan selain dari kehidupan
hedonisma dan pencarian hiburan tanpa henti yang
mereka lalui selama ini . Bagi yang menghadapi cabaran
dan masalah , berbincang dan carilah jalan penyelesaian
yang selamat dan terbaik. Masih ada individu dan
organisasi dalam masyarakat yang dapat membantu anda.

4. Semua pihak termasuk media mestilah lebih
bertanggungjawab dan menghentikan penyebaran
bahan-bahan yang menggalakan dan merangsang
remaja untuk terlibat dalam aktiviti gejala sosial
dan keruntuhan akhlak.

Semoga dengan usaha ini , jenayah zina dan gejala

sosial dalam kalangan remaja dan masyarakat dapat
kita hentikan.


Thursday, June 17, 2010

MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI

Sekadar melihat dari sudut yang berbeza. Bukan
sengaja atau saja-saja untuk mencipta kelainan,
tetapi sedar bahawa setiap kita ada titik buta
(blind spot) masing-masing.

Dan perbezaan bukan semestinya satu pertentangan,
ia hanya satu fitrah – manusia sentiasa unik.
Ya, dari dimensi inilah saya melihat demonstrasi
anti-Yahudi yang begitu marak sekarang.
Sejak sama-sama solat hajat di surau untuk ahli

kariah kami yang turut berada di atas kapal misi
bantuan yang diserang Israel itu, saya terus berfikir.
Rasa marah, kecewa tetapi terus mengharap silih
berganti dalam diri, yang saya pasti turut dirasai
oleh kita bersama.

Palestin bukan hanya soal ‘mereka’ sahaja tetapi soal ‘kita’ juga.
Dan hasil berfikir itu saya tumpahkan dalam sebuah
artikel yang sengaja saya imiginasikan dalam bentuk dialog.
Ikutilah dialog yang saya nukilkan selepas Subuh pagi tadi :

MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI!

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi,
seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama
menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh

dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami
robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan
undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika.
Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.
“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi

oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri
demonstrasi akan diatur minggu hadapan.
Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam,

saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri,
dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit…

janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak
dan disekat bekalan makanan dan keperluan.
Itu lagi teruk.”
Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan,

“saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan
pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam.

Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.
“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi.

Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?”
kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,”

tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”
“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.”

Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah

yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih

tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”
“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang

menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang

solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam
yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh

secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan
kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah
tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana
Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat
pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana
teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar.

Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung
Pak Cik tersebut dengan senyuman.
“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu?

Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah.

Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu
Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja
umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah
berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan
ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam,

termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja
tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi

itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut
cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”
“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah

bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan

cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak,

tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih
berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur
tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi
media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam
bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis,
sosialis mahupun liberalis.”
Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk,

“mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak
sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat

agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya

sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan
dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam.

Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah
untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan
tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”
“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan

mengamalkannya satu persatu kita boleh
‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap Yahudi. Bila kita
boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme,
ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan
melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka.

Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”
Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan

perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh

cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita.

Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah,
Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan
kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak,
pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka,

Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera
mereka kita bakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam
demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir
dalam solat lima waktu lebih besar maknanya.
Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar
daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”

“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini.
Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam
sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan
pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan
tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang
benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam
erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan
menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu,
saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung
dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin
dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti
yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen.
Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat
Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh
qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi,
para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus
sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri,
keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan
bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja…
tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa
mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan
yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga

kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”

Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan

dengan penegakkan hukum Allah dalam seluruh sistem
kehidupan, sekali gus membentuk pandangan akal sendiri
dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini mengikut
syariat Islam…..

Monday, June 7, 2010



A popular motivational speaker was entertaining his audience. He Said : "The best years of my life were spent in the arms of a woman who wasn't my wife!" The audience was in silence and shock. The speaker added: "And that woman was my mother!"

Laughter and applause.

A week later, a top manager trained by the motivational speaker tried to crack this very effective joke at home. He was a bit foggy after a drink. He said loudly to his wife who was preparing dinner,"The greatest years of my life were spent in the arms of a woman who was not my wife!"

The wife went; "ah!" with shock and rage. Standing there for 20 seconds trying to recall the second half of the joke, the manager finally blurted out "...and I can't remember who she was!"
By the time the manager regained his consciousness, he was on a hospital bed nursing burns from boiling water

Moral of the story: Don't copy if you can't paste!

Sunday, June 6, 2010

Dampingilah Puterimu Duhai Ayah!

Cerita 1

Zaza (bukan nama sebenar) berumur akhir 20an,
baru empat tahun mendirikan rumahtangga dan
dikurniakan dua orang cahayamata. Beliau merupakan
anak bongsu di mana bapanya sudah meninggal dunia
sewaktu ibunya mengandungkannya. Beliau mengadu
tentang perangai suaminya yang mula berubah ketika
beliau di dalam pantang selepas melahirkan anak
kedua. Mereka berkahwin suka sama suka setelah
berkenalan sewaktu masih sama-sama menuntut
di universiti. Zaza mengaku sering mencurigai
suaminya walaupun beliau merasakan suaminya
seorang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab.
Namun mereka agak sering bertengkar mengenai
hal-hal yang melibatkan pengurusan rumahtangga
dan penjagaan anak-anak. Zaza pernah terfikir untuk
bercerai setelah suaminya mengaku curang namun
membatalkan hasratnya apabila suami memohon
maaf dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.
Zaza tetap sukar mempercayai suaminya malah
sering membaca mesej di telefon bimbit suaminya
dan memeriksa dompet mahupun poket seluar
si suami untuk mencari bukti kecurangan si suami.
Zaza sukar memaafkan suaminya. Zaza hidup dalam
keresahan dan kebimbangan menanti saat-saat
kecurangan suaminya sekali lagi.

Cerita 2

Mira (bukan nama sebenar), sudah berkahwin
dan bekerja di ibukota. Hatinya hancur apabila
suaminya membuka rahsia yang beliau ingin
berkahwin seorang lagi. Rupa-rupanya si suami
telah terlanjur dengan seorang gadis yang bekerja
sepejabat dengannya sewaktu kedua-dua mereka
ditugaskan ke luar kota. Dengan teresak-esak, Mira
membuka cerita tentang perkahwinannya. Beliau
mengakui kurang kemesraan dengan suami semenjak
kebelakangan ini kerana kesibukan kerjaya
masing-masing. Sementelah suaminya sering
ditugaskan ke luar kawasan. Mira sangat sayangkan
suaminya dan telahpun memberi keizinan untuk
suaminya bernikah lagi walaupun hatinya sangat
berat. Tambahan lagi, mereka sama-sama masih
muda dan sedang membina karier. Mira tidak
menyangka suaminya sanggup mengkhianati cinta
mereka. Mira mula mengingati sikap bapanya
sendiri yang berpoligami dan sering mengabaikan
kasih sayang terhadapnya. Ibu Mira merupakan
isteri pertama. Mira mengakui bapanya sering
menyisihkan beliau dan adik beradik serta
melebihkan keluarga isteri kedua. Anak-anak
isteri kedua semuanya mempunyai basikal untuk
ke sekolah sedangkan Mira terpaksa menumpang abangnya.

Cerita 3

Tati (bukan nama sebenar), merupakan anak
bongsu dari lapan adik beradik. Dibesarkan
dengan penuh kemewahan dan kemanjaan namun
Tati tidak dibenarkan bergaul bebas dengan
rakan-rakannya yang lain. Bapanya seorang
yang sangat tegas. Beliau memberikan didikan
agama dengan cara yang cukup ketat dan tegas
serta mengawal segala pergerakan Tati sehingga
beliau terasa dikongkong. Namun, sebagai anak
yang taat, Tati tidak pernah membantah. Bapanya
juga yang memutuskan bidang apa yang beliau
patut ambil di peringkat pengajian ijazahnya.
Setelah tamat ijazah, Tati mendapat pekerjaan
di ibukota. Tati jatuh cinta dengan seorang lelaki
yang rupa-rupanya telah berkahwin. Demi cinta
dan pujuk rayu si lelaki, Tati telah menggadaikan
maruah dirinya. Menurut Tati, lelaki itu
bersungguh-sungguh ingin mengahwininya
dan sedang memujuk isteri pertama untk
membenarkannya. Sebagai bukti cintanya,
lelaki tersebut menyewakan sebuah kondominium
untuk Tati di kawasan yang agak terpencil agar mudah
mereka bertemu. Tati mengaku masih menunaikan
solat tetapi melayan teman lelakinya itu seperti
suami. Malah jiran-jiran menganggap mereka
pasangan suami isteri kerana kerapnya lelaki
tersebut mengunjungi Tati di rumahnya. Tati
datang ke klinik psikologi kerana mengidap
kemurungan di atas komplikasi emosi lantaran
hubungan luar nikahnya. Dia ingin bernikah dan
menamatkan segala dosa-dosanya tetapi masih
menaruh harapan teman lelakinya akan menunaikan
janjinya walaupun telah empat tahun berlalu.

Apakah persamaan di antara ketiga-tiga wanita ini?
Ketiga-tiganya adalah wanita yang menarik, masih
muda dan bergaya, berpendidikan tinggi dan bekerjaya
tetapi menghadapi masalah di dalam hubungan mereka
dengan lelaki. Mereka berjaya tetapi tidak bahagia.
Mereka juga tidak mempunyai hubungan yang positif
dengan bapa masing-masing. Mereka mengalami
kesukaran menguruskan emosi lantas sering tersilap
di dalam melakukan keputusan.

Zaza dilahirkan tanpa sempat mengecapi belaian
kasih sayang seorang ayah. Mira pula melalui banyak
episod duka dalam hubungan yang tidak mesra dengan
ayahnya. Mira ingin sekali dibelai dan dikasihi oleh
ayahnya sewaktu kecil namun setelah ayahnya
berpoligami, ayah sangat jarang pulang ke rumah.
Mira cuba berbaik dengan adik tirinya agar ayahnya
mengasihinya namun si ayah tidak menyedarinya di
samping sikap negatif ibu tirinya. Tati pula tidak
pernah diberi peluang membuat keputusan.
Dibesarkan dengan penuh kawalan, Tati tidak tahu
apa ertinya berdikari. Menyebabkan dia tidak pandai
membantah dan hanya menurut kata-kata orang yang
dikasihinya. Tati yakin orang lain lebih tahu apa yang
terbaik untuk dirinya.

Apakah peranan seorang bapa? Masyarakat sering
menganggap seorang ibu sangat penting di dalam
peringkat awal kehidupan seorang manusia. Ibulah
yang membelai, mendidik dan membesarkan anak
dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya bapa juga
berperanan besar di dalam mendidik anak-anak.
Hubungan kasih sayang yang mesra di antara seorang
bapa dan anak akan membentuk keyakinan diri,
kepuasan emosi yang tinggi dan seterusnya membantu
membina jati diri dan penghargaan kendiri seseorang.

Hubungan di antara seorang bapa dan anak perempuannya
adalah satu hubungan yang sangat istimewa. Bapa
berperanan memberikan gambaran bagaimana
seseorang wanita akan menjalinkan hubungan dengan
lelaki di waktu dewasanya kelak. Bapa yang sering tiada
atau ketiadaan figur bapa akan mempengaruhi
perkembangan emosi kanak-kanak perempuan.

Dia akan merasakan bahawa lelaki memang tidak
boleh digantung harap atau dipercayai. Oleh itu ketika
dewasanya kelak, wanita ini akan mempunyai masalah
di dalam hubungannya dengan lelaki. Di peringkat awal
hubungan dia terlalu mempercayai lelaki bahkan sanggup
menggadaikan maruahnya untuk meraih cinta si lelaki.

Namun kemudian dia sukar mempercayai lelaki walaupun
telah bersuami. Sikap bapanya yang sering tiada di waktu
dia memerlukan akan menyebabkan wanita ini sering
mencurigai suaminya. Sudah tentu sikap ini akan
membosankan suami dan mungkinkah akhirnya
suami akan betul-betul curang?

Kanak-kanak perempuan yang menikmati hubungan
yang rapat, kemesraan, penghargaan, didikan dan
kasih sayang yang wajar dari bapanya akan mempunyai
pandangan yang positif di dalam hubungannya dengan lelaki.
Kanak-kanak suka didengar. Oleh itu para bapa luangkanlah
masa mendengar celoteh mereka, dengar pendapat mereka
dan beri peluang mereka membuat pilihan. Apabila remaja
atau dewasa, mereka akan menjadi wanita yang tahu
menilai maruah diri. Dia tidak terburu-buru mendapatkan
teman lelaki. Dia tidak terlalu mudah mempercayai lelaki
dan akan menilai kejujuran dan kebaikan yang dilihat.
Dia akan meletakkan nilai-nilai yang tinggi kepada lelaki
yang mendampinginya. Dia hanya akan menyerahkan
dirinya kepada lelaki yang sudah sah menjadi suaminya.
Setelah berkahwin, dia akan mencintai suaminya sepenuh
hati serta berfikiran positif bahawa setiap masalah yang
dilalui di dalam perkahwinan akan dapat diatasi dengan
persefahaman, kejujuran dan toleransi yang tinggi.

Wanita ini juga mudah memaafkan sekiranya suami
berbuat silap dan dapat menerimanya kembali tanpa
menjejaskan maruah dirinya sendiri. Wanita ini mempunyai
emosi yang berdikari (emotional independence) ,
boleh mempercayai orang lain secara wajar dan tidak
terlalu bergantung kepada orang lain. Dia boleh membuat
keputusannya sendiri dan hanya akan melakukan
keputusan yang menguntungkan dirinya tanpa
merugikan pihak lain terutamanya keluarganya.

Oleh itu para bapa, kasih sayang, pujian, didikan,
nasihat, teguran membina dan penghargaan yang
engkau curahkan kepada anak perempuanmu
merupakan hadiah terbaik yang boleh engkau
berikan agar anakmu dapat mengharungi kehidupannya
dengan penuh bermaruah, mempunyai keyakinan diri
yang tinggi, sayang kepada dirinya sendiri serta mampu
menyayangi orang lain.

Dari Anas bin Malik r.a., ‘Telah berkata Rasulullah s.a.w:
Siapa yang menanggung dua anak perempuan hingga
mereka baligh, nescaya dia akan datang di Hari Kiamat,
aku dan dia seperti ini – dikumpulkan semua jari jemarinya’.
[Hadis Riwayat Muslim]

Dari Uqbah bin Amir Al Juhani katanya; ‘Saya mendengar
Rasulullah s.a.w. berkata: Siapa yang mempunyai tiga
orang anak perempuan, lalu dia sabar terhadap mereka,
serta diberinya mereka makan minum dan pakaian dari
hartanya, nescaya mereka akan menjadi pelindungnya
dari api neraka’. [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
Psikologis Klinikal