Dampingilah Puterimu Duhai Ayah!
Cerita 1
Zaza (bukan nama sebenar) berumur akhir 20an,
baru empat tahun mendirikan rumahtangga dan
dikurniakan dua orang cahayamata. Beliau merupakan
anak bongsu di mana bapanya sudah meninggal dunia
sewaktu ibunya mengandungkannya. Beliau mengadu
tentang perangai suaminya yang mula berubah ketika
beliau di dalam pantang selepas melahirkan anak
kedua. Mereka berkahwin suka sama suka setelah
berkenalan sewaktu masih sama-sama menuntut
di universiti. Zaza mengaku sering mencurigai
suaminya walaupun beliau merasakan suaminya
seorang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab.
Namun mereka agak sering bertengkar mengenai
hal-hal yang melibatkan pengurusan rumahtangga
dan penjagaan anak-anak. Zaza pernah terfikir untuk
bercerai setelah suaminya mengaku curang namun
membatalkan hasratnya apabila suami memohon
maaf dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.
Zaza tetap sukar mempercayai suaminya malah
sering membaca mesej di telefon bimbit suaminya
dan memeriksa dompet mahupun poket seluar
si suami untuk mencari bukti kecurangan si suami.
Zaza sukar memaafkan suaminya. Zaza hidup dalam
keresahan dan kebimbangan menanti saat-saat
kecurangan suaminya sekali lagi.
Cerita 2
Mira (bukan nama sebenar), sudah berkahwin
dan bekerja di ibukota. Hatinya hancur apabila
suaminya membuka rahsia yang beliau ingin
berkahwin seorang lagi. Rupa-rupanya si suami
telah terlanjur dengan seorang gadis yang bekerja
sepejabat dengannya sewaktu kedua-dua mereka
ditugaskan ke luar kota. Dengan teresak-esak, Mira
membuka cerita tentang perkahwinannya. Beliau
mengakui kurang kemesraan dengan suami semenjak
kebelakangan ini kerana kesibukan kerjaya
masing-masing. Sementelah suaminya sering
ditugaskan ke luar kawasan. Mira sangat sayangkan
suaminya dan telahpun memberi keizinan untuk
suaminya bernikah lagi walaupun hatinya sangat
berat. Tambahan lagi, mereka sama-sama masih
muda dan sedang membina karier. Mira tidak
menyangka suaminya sanggup mengkhianati cinta
mereka. Mira mula mengingati sikap bapanya
sendiri yang berpoligami dan sering mengabaikan
kasih sayang terhadapnya. Ibu Mira merupakan
isteri pertama. Mira mengakui bapanya sering
menyisihkan beliau dan adik beradik serta
melebihkan keluarga isteri kedua. Anak-anak
isteri kedua semuanya mempunyai basikal untuk
ke sekolah sedangkan Mira terpaksa menumpang abangnya.
Cerita 3
Tati (bukan nama sebenar), merupakan anak
bongsu dari lapan adik beradik. Dibesarkan
dengan penuh kemewahan dan kemanjaan namun
Tati tidak dibenarkan bergaul bebas dengan
rakan-rakannya yang lain. Bapanya seorang
yang sangat tegas. Beliau memberikan didikan
agama dengan cara yang cukup ketat dan tegas
serta mengawal segala pergerakan Tati sehingga
beliau terasa dikongkong. Namun, sebagai anak
yang taat, Tati tidak pernah membantah. Bapanya
juga yang memutuskan bidang apa yang beliau
patut ambil di peringkat pengajian ijazahnya.
Setelah tamat ijazah, Tati mendapat pekerjaan
di ibukota. Tati jatuh cinta dengan seorang lelaki
yang rupa-rupanya telah berkahwin. Demi cinta
dan pujuk rayu si lelaki, Tati telah menggadaikan
maruah dirinya. Menurut Tati, lelaki itu
bersungguh-sungguh ingin mengahwininya
dan sedang memujuk isteri pertama untk
membenarkannya. Sebagai bukti cintanya,
lelaki tersebut menyewakan sebuah kondominium
untuk Tati di kawasan yang agak terpencil agar mudah
mereka bertemu. Tati mengaku masih menunaikan
solat tetapi melayan teman lelakinya itu seperti
suami. Malah jiran-jiran menganggap mereka
pasangan suami isteri kerana kerapnya lelaki
tersebut mengunjungi Tati di rumahnya. Tati
datang ke klinik psikologi kerana mengidap
kemurungan di atas komplikasi emosi lantaran
hubungan luar nikahnya. Dia ingin bernikah dan
menamatkan segala dosa-dosanya tetapi masih
menaruh harapan teman lelakinya akan menunaikan
janjinya walaupun telah empat tahun berlalu.
Apakah persamaan di antara ketiga-tiga wanita ini?
Ketiga-tiganya adalah wanita yang menarik, masih
muda dan bergaya, berpendidikan tinggi dan bekerjaya
tetapi menghadapi masalah di dalam hubungan mereka
dengan lelaki. Mereka berjaya tetapi tidak bahagia.
Mereka juga tidak mempunyai hubungan yang positif
dengan bapa masing-masing. Mereka mengalami
kesukaran menguruskan emosi lantas sering tersilap
di dalam melakukan keputusan.
Zaza dilahirkan tanpa sempat mengecapi belaian
kasih sayang seorang ayah. Mira pula melalui banyak
episod duka dalam hubungan yang tidak mesra dengan
ayahnya. Mira ingin sekali dibelai dan dikasihi oleh
ayahnya sewaktu kecil namun setelah ayahnya
berpoligami, ayah sangat jarang pulang ke rumah.
Mira cuba berbaik dengan adik tirinya agar ayahnya
mengasihinya namun si ayah tidak menyedarinya di
samping sikap negatif ibu tirinya. Tati pula tidak
pernah diberi peluang membuat keputusan.
Dibesarkan dengan penuh kawalan, Tati tidak tahu
apa ertinya berdikari. Menyebabkan dia tidak pandai
membantah dan hanya menurut kata-kata orang yang
dikasihinya. Tati yakin orang lain lebih tahu apa yang
terbaik untuk dirinya.
Apakah peranan seorang bapa? Masyarakat sering
menganggap seorang ibu sangat penting di dalam
peringkat awal kehidupan seorang manusia. Ibulah
yang membelai, mendidik dan membesarkan anak
dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya bapa juga
berperanan besar di dalam mendidik anak-anak.
Hubungan kasih sayang yang mesra di antara seorang
bapa dan anak akan membentuk keyakinan diri,
kepuasan emosi yang tinggi dan seterusnya membantu
membina jati diri dan penghargaan kendiri seseorang.
Hubungan di antara seorang bapa dan anak perempuannya
adalah satu hubungan yang sangat istimewa. Bapa
berperanan memberikan gambaran bagaimana
seseorang wanita akan menjalinkan hubungan dengan
lelaki di waktu dewasanya kelak. Bapa yang sering tiada
atau ketiadaan figur bapa akan mempengaruhi
perkembangan emosi kanak-kanak perempuan.
Dia akan merasakan bahawa lelaki memang tidak
boleh digantung harap atau dipercayai. Oleh itu ketika
dewasanya kelak, wanita ini akan mempunyai masalah
di dalam hubungannya dengan lelaki. Di peringkat awal
hubungan dia terlalu mempercayai lelaki bahkan sanggup
menggadaikan maruahnya untuk meraih cinta si lelaki.
Namun kemudian dia sukar mempercayai lelaki walaupun
telah bersuami. Sikap bapanya yang sering tiada di waktu
dia memerlukan akan menyebabkan wanita ini sering
mencurigai suaminya. Sudah tentu sikap ini akan
membosankan suami dan mungkinkah akhirnya
suami akan betul-betul curang?
Kanak-kanak perempuan yang menikmati hubungan
yang rapat, kemesraan, penghargaan, didikan dan
kasih sayang yang wajar dari bapanya akan mempunyai
pandangan yang positif di dalam hubungannya dengan lelaki.
Kanak-kanak suka didengar. Oleh itu para bapa luangkanlah
masa mendengar celoteh mereka, dengar pendapat mereka
dan beri peluang mereka membuat pilihan. Apabila remaja
atau dewasa, mereka akan menjadi wanita yang tahu
menilai maruah diri. Dia tidak terburu-buru mendapatkan
teman lelaki. Dia tidak terlalu mudah mempercayai lelaki
dan akan menilai kejujuran dan kebaikan yang dilihat.
Dia akan meletakkan nilai-nilai yang tinggi kepada lelaki
yang mendampinginya. Dia hanya akan menyerahkan
dirinya kepada lelaki yang sudah sah menjadi suaminya.
Setelah berkahwin, dia akan mencintai suaminya sepenuh
hati serta berfikiran positif bahawa setiap masalah yang
dilalui di dalam perkahwinan akan dapat diatasi dengan
persefahaman, kejujuran dan toleransi yang tinggi.
Wanita ini juga mudah memaafkan sekiranya suami
berbuat silap dan dapat menerimanya kembali tanpa
menjejaskan maruah dirinya sendiri. Wanita ini mempunyai
emosi yang berdikari (emotional independence) ,
boleh mempercayai orang lain secara wajar dan tidak
terlalu bergantung kepada orang lain. Dia boleh membuat
keputusannya sendiri dan hanya akan melakukan
keputusan yang menguntungkan dirinya tanpa
merugikan pihak lain terutamanya keluarganya.
Oleh itu para bapa, kasih sayang, pujian, didikan,
nasihat, teguran membina dan penghargaan yang
engkau curahkan kepada anak perempuanmu
merupakan hadiah terbaik yang boleh engkau
berikan agar anakmu dapat mengharungi kehidupannya
dengan penuh bermaruah, mempunyai keyakinan diri
yang tinggi, sayang kepada dirinya sendiri serta mampu
menyayangi orang lain.
Dari Anas bin Malik r.a., ‘Telah berkata Rasulullah s.a.w:
Siapa yang menanggung dua anak perempuan hingga
mereka baligh, nescaya dia akan datang di Hari Kiamat,
aku dan dia seperti ini – dikumpulkan semua jari jemarinya’.
[Hadis Riwayat Muslim]
Dari Uqbah bin Amir Al Juhani katanya; ‘Saya mendengar
Rasulullah s.a.w. berkata: Siapa yang mempunyai tiga
orang anak perempuan, lalu dia sabar terhadap mereka,
serta diberinya mereka makan minum dan pakaian dari
hartanya, nescaya mereka akan menjadi pelindungnya
dari api neraka’. [Hadis Riwayat Imam Ahmad]
Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
Psikologis Klinikal
No comments:
Post a Comment