Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Wednesday, June 23, 2010

ISU PELAJAR MATI KEGUGURAN

Kita merasa sungguh kesal dan dukacita di atas

kematian seorang pelajar perempuan dari
sebuah Sekolah Menengah di Kelantan baru-baru
ini akibat pendarahan dan komplikasi keguguran
di bilik penginapan sebuah resort di Kota Bharu.
Pelajar berkenaan dijumpai mati dalam keadaan
tumpah darah oleh pekerja resort setelah
dimaklumkan oleh teman lelaki pelajar berkenaan.
Menurut guru sekolah tersebut , pelajar berkenaan
ponteng sekolah setelah dihantar keluarga ke sekolah
disebelah pagi dan selepas itu dilihat membonceng
motosikal teman lelakinya ke resort berkenaan .

Kita perlu prihatin dengan nasib yang menimpa gadis

malang ini yang menjadi mangsa kitaran ganas
pergaulan bebas, perbuatan zina yang terkutuk
dan mengandung luar nikah yang boleh berakhir
dengan kematian akibat pengguguran atau keguguran
sebagaimana kes di atas. Ini adalah kematian gadis
kedua yang di laporkan di khalayak dalam tempoh
12 bulan ini. Terdahulu, seorang pelajar Universiti
dijumpai mati di bilik kediamannya dipercayai juga
akibat komplikasi melahirkan kandungan luar nikah.
Sampai bilakah situasi ini akan terus kita biarkan berlaku?

Sewajarnya semua pihak boleh dan harus terus

memainkan peranan yang lebih berkesan untuk
menghentikan penyakit sosial dari terus merebak
dan membarah, sekaligus menghancurkan keutuhan
masyarakat dan negara. Apalah ertinya pembangunan
fizikal dan kebendaan sesuatu negara jika tidak disertakan
pembangunan insaniah merangkumi aspek emosi dan
spiritual setiap warganegaranya.

Berdasarkan pengalaman membimbing remaja di

Raudhatus Sakinah (Sebuah pusat bimbingan dan
perlindungan remaja puteri), di dapati ada empat
faktor yang menyebabkan remaja terjerumus
ke dalam kancah gejala sosial dan zina ini iaitu :

1. kurangnya pendidikan dan penghayatan agama,
2. lemah jatidiri,
3. pengaruh kawan & persekitaran
4. kurang kasih sayang dalam keluarga.

Raudhatus Sakinah komited untuk menyumbang kepada
masyarakat dengan perkhidmatan di sudut pencegahan
dan perawatan terhadap masalah gejala sosial ini.
Di sudut pencegahan, terdapat pengendalian kempen
Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan Pakej Pendidikan
Kesihatan Reproduksi Remaja bertujuan mendidik remaja
menghindari gejala sosial ini . Sementara di sudut perawatan
pula, di terima remaja yang tersasar untuk di bimbing
kembali ke jalan yang sebenar.

Demi membendung pergaulan bebas dan gejala zina ini

dari terus berleluasa dalam masyarakat di sarankan agar:

1. Setiap anggota masyarakat lelaki dan wanita mestilah
kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran
agama. Bagi umat Islam tiada jalan lain untuk
mengembalikan kegemilangan ummah dan
memartabatkan kembali wanita dan gadis ke tempatnya
yang sebenar selain dari berpegang kepada ajaran Islam
sepenuhnya. Ajaran Al Quran dan setiap sunnah
Rasulullah SAW mestilah dipelajari dan diamalkan.

2. Ibubapa meningkatkan usaha mendidik dan mendekati
anak-anak remaja mereka. Ibubapa harus prihatin dan peka
dengan perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka
selain melengkapi diri dengan ilmu keibubapaan dan teknik
mendidik yang sesuai dengan zaman globalisasi yang serba
mencabar ini. Anak-anak lelaki harus dididik untuk
menghormati dan melindungi kaum wanita bukan
mengambil kesempatan terhadap golongan wanita.

3. Golongan remaja mestilah bijak memilih cara hidup
beragama yang akan memastikan mereka selamat dunia
dan akhirat. Mereka mestilah meyakini bahawa di sana
ada aktiviti dan gaya hidup alternatif yang menjamin
kebahagiaan dan keseronokan selain dari kehidupan
hedonisma dan pencarian hiburan tanpa henti yang
mereka lalui selama ini . Bagi yang menghadapi cabaran
dan masalah , berbincang dan carilah jalan penyelesaian
yang selamat dan terbaik. Masih ada individu dan
organisasi dalam masyarakat yang dapat membantu anda.

4. Semua pihak termasuk media mestilah lebih
bertanggungjawab dan menghentikan penyebaran
bahan-bahan yang menggalakan dan merangsang
remaja untuk terlibat dalam aktiviti gejala sosial
dan keruntuhan akhlak.

Semoga dengan usaha ini , jenayah zina dan gejala

sosial dalam kalangan remaja dan masyarakat dapat
kita hentikan.


No comments:

Post a Comment