Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Friday, June 10, 2011

KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

10 Jun 2011 bersamaan 8 Rejab 1432 H



KETAATAN ISTERI KEPADA SUAMI BUKAN KETAATAN
YANG MEMBUTA TULI


Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil untuk
memberikan pandangan terhadap penubuhan Kelab
Taat Suami yang dilancarkan baru-baru ini. Pada
dasarnya sebagai pertubuhan dakwah, dan kebajikan
yang mengambil peduli tentang urusan-urusan
kehidupan masyarakat, Wanita IKRAM mengalu-
alukan usaha pelbagai pihak termasuk Kelab ini yang
ingin mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.
Namun Wanita IKRAM begitu kesal dengan kenyataan
Dr. Rohaya Mohamad, Naib Presiden kelab tersebut
yang mengumpamakan isteri sebagai objek seks dan
perlu menjadi pekerja seks bagi suami sebagai tanda
ketaatan kepada suami disamping mengelakkan suami
daripada berlakucurang. Dalam majlis pelancaran itu
juga, Dr Rohaya dilaporkan sebagai berkata isteri harus
baik dan taat kepada suami walaupun didera sebagai
tanda ketaatan kepada suami.

Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak tepat, menghina
dan merendahkan martabat wanita serta boleh meng-
akibatkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam
dan bukan Islam terhadap kedudukan dan peranan
sebenar wanita sebagaimana yang disyariatkan dalam
Islam. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan
Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menunjukkan
faktor utama perceraian ialah tiada persefahaman,
curang dan enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab,
campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan
ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan,
terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta
didera.

Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa:

1. Ajaran Islam selaku sistem hidup yang lengkap,
adil dan menyeluruh serta rahmat bagi sekalian
alam telah memartabatkan wanita sebagai rakan
kongsi lelaki yang mempunyai hak-hak yang sama
walaupun mungkin berbeza peranan dalam pelbagai
bidang kehidupan baik dari sudut individu, ber-
keluarga dan kehidupan bermasyarakat.

2. Ketaatan wanita kepada suaminya adalah dalam
rangka dan batasan ketaatan kepada Allah. Ini
bukanlah suatu ketaatan membuta tuli sehingga
merelakan segala perbuatan suami walaupun ter-
nyata suami telah berbuat kedurhakaan terhadap
Allah. Rasulullah SAW bersabda “Tiada ketaatan
dalam kemaksiatan kepada Allah, ketaatan hanya-
lah dalam perkara makruf” (Sahih Bukhari dan
Muslim).

Peringatan Allah dalam surah An Nisa 4:34 wajar
menjadi ingatan bagi kita semua :

” Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal
yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,
oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang
lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-
orang perempuan, dan juga kerana orang-orang
lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-
perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada
Allah dan suaminya), dan yang memelihara (ke-
hormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara)
ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pe-
muliharaan Allah dan pertolongan-Nya. dan
perempuan-perempuan yang kamu bimbang
melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendak-
lah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka
berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan
(kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka
(dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar
nya). kemudian jika mereka taat kepada kamu,
maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk
menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Tinggi, lagi Maha Besar.

3. Meletakkan kesalahan semata-mata kepada isteri
dalam memberikan layanan seksual kepada suami
sebagai punca lelaki berlaku curang adalah satu
pandangan yang amat dangkal. Bahagian Penyelidi-
kan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
mendapati tiada persefahaman, tidak bertanggung-
jawab, masalah akhlak dan sosial, masalah ekonomi
dan masalah seksual adalah punca utama perceraian
di kalangan pasangan Islam. Kajian dibuat syarikat
Pfizer pada tahun 2008 pula menunjukkan 62 peratus
lelaki dan 73 peratus wanita di negara ini yang tidak
berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.
Dengan itu, kepentingan untuk para suami men-
jalankan peranan mereka dengan sempurna dan
memberikan perhatian yang lebih teliti dalam
memenuhi keperluan lahir dan batin isteri mereka
juga perlu ditekankan.

4. Wanita IKRAM menerima dan menyedari bahawa
poligami dibenarkan dalam Islam sebagai satu
institusi yang mempunyai pelbagai hikmah dan
kebaikan sekiranya dijalankan dengan betul ber-
landaskan syarat yang digariskan syara’ dalam
semua peringkat perlaksanaannya. Persepsi
masyarakat perlu diperbetulkan selain pengamal
poligami terutama golongan lelaki perlu mendapat
pendidikan dan latihan sebelum mengamalkannya.

5. Semua pihak lelaki dan wanita, suami dan isteri
haruslah kembali berpegang dan mengamalkan
ajaran Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW sebagaimana hadisnya yang
masyhur; “Orang yang paling baik di kalangan
kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya)
dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik
dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli
keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu
Hibban). Al Quran menunjukkan kita “ Dan orang-
orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, se-
tengahnya menjadi penolong bagi setengahnya
yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan,
dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan
mereka mendirikan sembahyang dan memberi
zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.
mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Se-
sungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.” At Taubah 9:71

Semoga dengan ini kita dapat membetulkan
persepsi kita tentang peranan wanita dalam
Islam disamping memperbaiki kehidupan ber-
keluarga dalam usaha kita untuk mempertahan-
kan institusi keluarga ini sebagai unit asas dalam
pembinaan masyarakat yang harmoni dan
sejahtera.


Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Timbalan Ketua Wanita
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
019- 322 6800

No comments:

Post a Comment