Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Wednesday, June 22, 2011

BERSIH 2.0

Banyak pihak bertanya pendirian saya tentang
kempen NGO 'BERSIH' menuntut Pilihanraya
yang adil bagi negara ini. berikut adalah pen-
dirian dan pandangan saya;

Sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan
muslim khususnya dilihat kepada dua perkara;
tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan cara-
nya juga baik maka itu adalah amalan yang baik.
Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pe-
lakunya tetap bersalah kerana mengambil cara
yang salah seperti mencuri dengan tujuan
hendak bersedekah.
Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah
ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap
individu yang hendak menyertai sesuatu
aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu
halal atau mulia, dan caranya juga halal.

Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan
menilainya, saya dapati tujuannya baik, me-
nuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh
rakyat seperti yang dijanjikan oleh perlembagaan.
Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan
untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja,
tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang
masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.
Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di
sudut tujuannya.
Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang
cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian,
bukan untuk rakyat secara umum. Sedangkan
tuntutan itu untuk semua dan baik untuk me-
mastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.

Perkara haram

Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan
melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu
yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-
perkara haram seperti kerosakan harta benda
awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk.

Nabi Mohammad SAW dalam hadis pernah mengajar
sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat
bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut
mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku
menyakitiku”.
Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkan-
nya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya
dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas
bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia
menjawab: “Jiranku menyakitiku”.
Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya
Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya
berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan
sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim
dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan
membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam
konteks politik hari ini, demonstrasi aman se-
bahagian dari cara pencegahan mungkar politik
yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada
bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendak-
lah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil
tidak ditunaikan.
Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung,
bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di
utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan.

Hak rakyat

Pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil
itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang
mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk
menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat
utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu
yang diharamkan oleh syarak.
Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi
BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak
akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak
mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun,
sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan ber-
himpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa
tidak puas hati.

Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta
demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang
boleh menyebabkan berlakunya rusuhan.
Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi
tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis
juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatut-
nya mereka memudah cara agar proses situ berjalan
dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar
bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka
hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi
yang menimbulkan kemarahan mereka selagi
mereka bertugas dengan betul menurut peratusan
keselamatan.
Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi
yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan
adanya kerjasama yang baik dari semua pihak.
Polis, rakyat dan golongan atasan.
Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan
negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai
BERSIH merupakan salah satu dari usaha yang
mulia itu, dan memastikan BERSIH itu bersih dari
kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab
setiap pihak yang terlibat.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah
bekas Mufti Perlis.

Monday, June 20, 2011

BAPAKU HEROKU.....

saya kenal seorang bapa
masih muda
anak-anaknya belum mencapai usia remaja

tapi dia ada SP yang jelas untuk anak-anak
dan keluarganya
dia seorang bapa penyayang
sering bermain dengan anak-anaknya
juga seorang suami romantik
memanggil isteri2nya dengan panggilan sayang
memanjakan mereka

berbelanja makan di tempat mewah
bercuti di hotel dalam negara
katanya harta disimpan untuk apa
kepada keluargalah afdal bersedekah

namun
ada rahsia yang baru-baru ini dikongsi mereka
tika datang hujung minggu
si bapa dan anak-anak serta isteri2nya
membawa baldi, sabun dan berus

ke mana mereka?
rupa-rupanya mereka ke surau-surau di sekitar KL
membersihkan tandas-tandas yang tidak terjaga
membaiki pam-pam yang rosak
agar jamaah selesa
dan Islam tidak dipandang pengotor

mereka lakukan secara sukarela
cepat-cepat beredar sebelum masuk waktu zuhur
supaya tiada siapa yang tahu angkara siapa
dan supaya ikhlas terus terjaga

di minggu lain pula
membahagiakan anak-anak yatim
membawa mereka tertawa
melihat karenah binatang di zoo
dan melupakan sebentar duka mereka
kerana masih ada insan yang peduli.....

kata beliau
mendidik anak tidak cukup dengan hanya
menghantarnya ke sekolah agama semata
dan merasakan sudah selesai usahanya
namun harus dengan tarbiah
dan inilah caranya mengait hidayah
puasa, qiamullail, sedekah, menolong orang susah
adalah sebahagian dari tarbiah
dan harus dimula dari sosok seorang ayah

pasti anak-anaknya hebat nanti kan?
kerana ayahnya benar-benar seorang Hero.......

Sunday, June 19, 2011

PELANCARAN SAMBUTAN HARI BAPA 2011

Luqman menasihati anaknya dengan berkata:
"Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika
ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk)
sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi
di dalam batu besar atau di langit atau pun di
bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk
dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya
Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat
Meliputi akan segala yang tersembunyi.
(Surah Luqman : 16 )

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solah,
dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah
daripada melakukan perbuatan yang mungkar,
dan bersabarlah atas segala bala bencana yang
menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki
diambil berat melakukannya.”
( Surah Luqman : 17 )

Peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan
proses pembesaran anak-anak adalah cukup
penting terutama dalam zaman serba mencabar
ini. Jika dahulu kebolehan bapa memimpin dan
mengurus keluarga adalah sesuatu yang dianggap
lumrah atau tabii. Namun dalam dunia yang serba
kompleks kini kebapaan adalah suatu kemahiran
yang perlu dipelajari dan dikuasai.

Gejala negatif yang melanda institusi rumahtangga
pada hari ini adalah berpunca daripada lemahnya
kepimpinan seorang bapa sebagai ketua keluarga.
Dalam keadaan sedemikian kewibawaannya sering
dipersoal dan mereka tidak lagi dilihat sebagai contoh
oleh anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak terutama
nya remaja tercari-cari ‘hero’ yang boleh mereka
banggakan. Ketiadaan bapa sebagai ‘hero’ mendorong
anak-anak mencari orang luar yang diharap dapat
mengisi peranan tersebut. Keadaan ini menyebabkan
seringkali anak remaja terpedaya oleh pihak yang
mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang
diberi oleh remaja.

Kesan peranan bapa terhadap anak-anak apabila
mereka mendirikan rumahtangga kelak cukup
besar. Seorang anak lelaki pastinya menjadikan
bapa sebagai ‘role model’ apabila mereka beristeri
kelak. Sikapnya sebagai seorang suami terhadap
isteri akan dicorakkan oleh cara ibunya disantuni
oleh bapa. Begitu juga anak perempuan akan
mengambil bapa sebagai contoh dalam memilih
bakal suaminya. Bahkan kesan ke atas anak
perempuan lebih besar. Kajian menunjukkan
remaja perempuan yang bermasalah dan terjebak
dengan pergaulan bebas selalunya dibesarkan
tanpa kehadiran seorang bapa atau tidak mendapat
perhatian atau kasih sayang seorang bapa.

Peranan tradisional seorang bapa yang dihormati
dan ‘ditakuti’ pada zaman dahulu mungkin tidak
boleh dipertahankan lagi. Bapa yang bersikap
‘authoritarian’ dan cuba mengawal keluarga atas
dasar otoriti semata-mata akan melahirkan anak-
anak yang melawan dalam diam atau secara terbuka.
Sebaliknya panduan kebapaan yang digariskan
di dalam Islam seperti yang diungkapkan oleh
Sayidina Ali R.A. iaitu untuk bermain, mendisiplin
kan dan berkawan dengan anak-anak pada tahap
umur yang bersesuaian adalah lebih tepat.
‘Berkawan’ dengan anak adalah satu skil yang
perlu dikuasai oleh para bapa pada hari ini.
Mereka perlu memahami sedikit sebanyak
laras bahasa yang digunakan oleh remaja.
Bahkan seorang bapa harus menguasai sedikit
sebanyak gajet-gajet teknologi dan medium
komunikasi terkini yang tidak boleh dipisahkan
dari kehidupan remaja. Seorang bapa pada hari
ini wajar memiliki akaun dalam laman sosial
Facebook untuk berinteraksi dengan anak-anak
dalam pelbagai situasi dan kesempatan.
Kemahiran-kemahiran seperti ini yang memungkin
kan seorang bapa ‘keep pace’ atau mengikuti
perkembangan dan seterusnya memberi panduan
kepada anak-anak dalam melalui liku-liku
kehidupan yang didepani oleh anak-anak remaja.

Di samping para bapa membuat anjakan-anjakan
paradigma untuk memainkan peranan sebagai
bapa yang versatil di zaman ini, mereka juga
memerlukan empati dari anggota keluarga dan
masyarakat. Seorang bapa dewasa ini harus
diberikan ruang yang luas untuk merealisasikan
peranan kebapaan tersebut. Mereka memerlukan
sistem sokongan yang bersesuaian dengan fitrah
dan ego lelaki mereka. Satu mekanisme seumpama
sistem sokongan harus diwujudkan bagi para bapa
membuat perkongsian. Mereka tidak perlu terus
dikritik di atas kepincangan-kepincangan yang
melanda masyarakat seolah-olah memberi
gambaran bahawa mereka sebagai punca utama.
Di saat pelbagai keperluan wanita diraikan seperti
mewujudkan agensi-agensi khusus mengenai
wanita, kumpulan-kumpulan sokongan dan
kemudahan-kemudahan khas untuk wanita,
golongan lelaki/bapa seolah-olah dilihat
mampu mendepani cabaran secara bersendirian
atas alasan bahawa mereka adalah pelindung
wanita. Mereka diandaikan sebagai gender yang
gagah dan maskulin serta bersedia untuk
menghadapi apa juga situasi bersendirian tanpa
sebarang sokongan moral dan material. Senario
seorang lelaki yang gagah dan tangkas di luar
sebagai imej lelaki mandiri mungkin benar di
masa lalu. Namun lelaki/bapa yang akan
bertahan di zaman ini bukanlah lelaki yang
nampak gagah dari sudut fizikal tetapi rapuh
dari sudut ketahanan jiwa. Di sinilah inisiatif
boleh diwujudkan untuk memperkasa jiwa sebagai
pelengkap skil atau kemahiran kebapaan di
kalangan para bapa pada hari ini.

Menyedari hakikat pentingnya para bapa
diperkasakan dan diberi pengiktirafan yang
setimpal ke atas peranan mereka yang besar,
maka Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat
IKRAM Selangor bersama Wanita IKRAM Selangor
dengan sokongan padu dari Exco Hal Ehwal
Wanita Kerajaan Negeri Selangor melancarkan
program sambutan Hari Bapa 2011 dengan tema
‘Bapaku Heroku’. Inisiatif ini bertujuan untuk
mempopularkan kembali peranan aktif bapa
dalam menguruskan keluarganya dan memastikan
keluarganya berada dalam keadaan sejahtera
baik dari sudut fizikal, mental dan spiritual.
Kepimpinan seorang bapa yang berwibawa
pastinya menjadi contoh ikutan kepada anak-
anak pada hari ini yang bukan sahaja dahagakan
kasih sayang seorang bapa bahkan tercari-cari
‘role model’ untuk mengembangkan potensi yang
ada dalam diri mereka.

Dengan premis yang digariskan di atas maka
IKRAM Negeri Selangor merumuskan Objektif
Hari Bapa 2011 seperti berikut:

1. Memberi kesedaran kepada masyarakat tentang
peranan dan tanggungjawab bapa dalam
pembangunan keluarga.
2. Memberikan pendedahan kepada golongan bapa
tentang pentingnya keperluan dan kemahiran
kebapaan yang mesti dikuasai.
3. Mewujudkan jalinan hubungan di antara agensi-
agensi yang relevan untuk memperkasa bapa dan
skil dan kemahiran kebapaan.
4. Memupuk kesedaran bapa sebagai ‘role model’,
terutama kepada anak-anak remaja yang mencari-
cari ‘idola’ hidup mereka.

Untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat
tentang pentingnya peranan bapa maka penanda
buku bertemakan hari bapa telah dikeluarkan oleh
penganjur. Penanda buku ini akan dibekalkan di
kesemua cawangan IKRAM di 13 daerah di negeri
Selangor dan akan diedarkan kepada orang ramai
di tempat-tempat awam seperti taman rekreasi,
pusat membeli belah, medan selera dan tempat-
tempat di mana keluarga berkumpul.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk
mengumumkan Forum Hari Bapa yang bertema
kan ‘Bapaku Heroku’ yang akan dilaksanakan
pada 10 Julai 2011. Forum ini membariskan tiga
ahli panel yang berpengalaman luas dalam bidang
kekeluargaan. Mereka akan membicarakan topik
tersebut dari sudut pandang masing-masing sebagai
seorang bapa, ibu dan anak. Juga satu program
‘Explorace’ yang bertema ‘Father You R the Man’
akan menyusul selepas Forum dengan aktiviti yang
bertujuan untuk memupuk dan memperbaharui
hubungan di antara bapa dan anak remaja. Orang
ramai dijemput untuk bersama dalam program-
program tersebut.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor

Thursday, June 16, 2011

KARTUNIS UTUSAN - ROGOL DAN ZINA

Saya tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu
hendak menghina Islam atau hendak menghina
pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina
Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang
sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam.

Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah
faham sesetengah pihak mengenai perbezaan
hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosak-
kan imannya, bahkan satu sumbangan membetul-
kan fahaman yang salah.

Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang
dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbul-
kan salah sangka, maka dia berdosa besar.

Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang
wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah
bahawa dia dirogol maka mahkamah syariat akan
menyatakan: awak mesti mendatangkan empat
orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan?

Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh
sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

ROGOL

Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyama-
kan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat
peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab
itu diketatkan dengan empat orang saksi.

Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu
lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya
tidak seketat zina. Beza menuduh orang lain berzina
dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah.

Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur men-
jatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa
diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan
maruah diri sendiri.

Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam
keadaan yang amat memaksa. Bagaimanakah mungkin
seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?

Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh
dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf:

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta
perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari
belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan
suami perempuan itu di muka pintu.
Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suami-
nya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat
jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan
dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.

Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”.
(Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang
dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-
sama) tampil memberi pendapatnya dengan ber-
kata:”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benar-
lah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf
dari orang-orang yang berdusta.

Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dusta-
lah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada
orang-orang yang benar.
Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari
belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah
dari tipu daya kamu orang-orang perempuan;
sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar
pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).

Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah
digunakan dalam peristiwa ini.

LIAN

Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula sese-
orang yang menuduh isterinya berzina agar men-
datangkan empat orang saksi.

Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya
mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar
untuk seseorang itu menuduh isterinya secara
bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang
itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina.

Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan
maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain
yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan
diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah
pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya)

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina,
sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang me-
ngesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri,
maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang
yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah
dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguh-
nya dia dari orang-orang yang benar;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata):
“bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika
dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi meng-
hindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang
kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah
dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya
(yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-
orang yang berdusta;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata);
bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya
jika suaminya dari orang- orang yang benar.
(Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan 'li'an' atau penglaknatan.
Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan
suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara
seperti ini.

Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan
selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan
mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserah-
kan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana,
kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau
diliwat secara paksa juga adalah menampalkan
keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi
insan normal itu membuat dakwaan seperti itu
secara semberono.

Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi
yang lain. Maka mereka juga tidak perlu men-
datangkan empat saksi. Sebaliknya boleh di-
terima pakai kaitan (qarinah) yang membukti-
kan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam
hal ini semua, adalah demi memelihara keturunan dan maruah.

Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA)

Sunday, June 12, 2011

REAKSI KEPADA PENUBUHAN KELAB TAAT SUAMI

Saya orang yang tidak setuju dengan Kelab Taat
Suami ini.
Hujah saya ialah, memang isteri telah dibekalkan
oleh Allah dengan mekanisme fizikal, minda, emosi
dan perasaan untuk bersedia taat kepada suami
dan sesiapa sahaja yg dia cintai.. Surah An Nisa: 34
....sholehatt.. qonitaatun (taat).. hafidzaatun
(memelihara)..

Jadi mengapa isteri boleh jadi tidak taat..puncanya
kerana suami tidak melaksanakan tugas Qauwamu
'alan Nisa..dan wabima amfaqu min amwa lihem.
Suami yg tidak menjaga, memimpin, memelihara ..
suami tu juga yg tidak membelanjakan sebahagian
hartanya utk keluarganya.. Disebabkan demikianlah..
maka isteri hilang thiqah (kepercayaan) kepada
suami itu.

Oleh itu, puncanya ialah suami yang tiada sifat
"Rijal" bukan isteri itu.

Pak Utih
MENGENALI PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Adakah IKRAM pertubuhan NGO da'wah atau
pertubuhan politik?.......

Bagi menjawab soalan yang pendek ini memerlu-
kan kefahaman yang jelas tentang apa itu Islam,
IKRAM, dan perlembagaaan IKRAM. Justeru, saya
memohon izin membincangkannya walaupun
ramai warga IKRAM sudah arif.

1. Islam ialah agama, atau tatacara hidup, yang
syumul, meliputi segala aspek kehidupan. Justeru,
IKRAM sebagai pertubuhan da'wah, kebajikan dan
tarbiah, mengambil peduli tentang segala aspek
kehidupan masyarakat sejajar dengan ajaran Islam.

2. Bidang masyarakat madani dan politik tidak
terkeluar daripada skop yang digariskan. Antara
nilai Islam yang diperjuangkan ialah keadilan,
tadbir urus yang baik, dan bebas rasuah.

3. Perlembagaan IKRAM juga menggariskan beberapa
matlamat; sangat elok setiap warga IKRAM cuba
menghayatinya. Justeru, saya salinkan semula
Fasal 4 Perlembagaan IKRAM:

IKRAM ialah sebuah pertubuhan Islam yang
menyeluruh, yang bekerja untuk menegakkan
Islam di Malaysia.

Matlamat IKRAM ialah:

4.1 Menyebarkan risalah Islam melalui da'wah,
serta mempertahankannya daripada kebatilan
dan syubahat;

4.2 Mengumpulkan hati dan jiwa individu Muslim
di atas dasar Islam dan membina akhlak yang mulia;

4.3 Meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam;
Memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan
sosial serta membenteras kejahilan, kemiskinan,
keruntuhan moral dan menggalakkan kerja kebajikan,
tanpa mengira bangsa dan agama;

4.5 Memperjuangkan hak umat Islam dan berusaha
meningkatkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mereka;

4.6 Menegakkan syariat Islam secara praktikal;

4.7 Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan
mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan
umat Islam;

4.8 Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan
yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan
kepentingan Islam, umat Islam dan masyarakat.

3. Setelah menggariskan matlamat yang begitu unggul,
sayugia IKRAM sebuah NGO yang berpijak di bumi
nyata, bukan berada dalam alam niskala. Justeru,
IKRAM perlu dan wajar berinteraksi dengan masyarakat
serta semua isu dan realiti yang berkaitan dengan
masyrakat. Usaha merealisasikan matlamat itulah
yang menghasilkan program dan aktiviti yang kita saksikan.

4. Apabila nilai yang diperjuangkan IKRAM secara
kebetulan turut diperjuangkan oleh badan-badan
lain, IKRAM sedia berkerjasama. Itulah latar di sebalik
Forum HAM (hak asasi manusia) yang disertai SUARAM
dan Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan.
Saudara perlu berada dalam forum itu untuk
memerhatikan bagaimana isu peneroka, setinggan,
dan tanah TOL dibincangkan secara adil dan bernas,
selaras dengan perjuangan IKRAM.

5. Politik tidak terlepas daripada skop kepedulian
IKRAM. IKRAM mengajak warganya untuk celik
politik dan memainkan peranan sihat dalam politik
yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Peranan itu boleh dilakukan dengan memiliki
maklumat yang lengkap dan jitu tentang politik
negara (parti politik) dan isu-isu politik.

6. Maklumat dan agenda parti pemerintah, BN,
disebarkan dengan cukup luas melalui media
perdana dan ia dimanfaatkan oleh warga IKRAM.
Maklumat tentang Pakatan Rakyat pula agak
terhad dan perlu disebarkan. Justeru itu, saya
mengirimkan salinan 'Buku Jingga' yang memang
wujud dalam 'public domain' kepada warga IKRAM.
Ini semuanya untuk membolehkan mereka membuat
keputusan secara bijak ('informed decision'),
tidak semata-mata berdasarkan sentimen dan emosi.

6.Apabila sebuah NGO diundang ke sesuatu majlis
yang diadakan oleh mana-mana pertubuhan,
termasuk pertubuhan politik, ia seharusnya
berusaha untuk hadir. IKRAM, pertubuhan yang
sentiasa menjalin hubungan sihat dengan pertubuhan
lain, pun begitu juga. Itulah latar di sebalik kehadiran
kita di konvensyen PAS. Kita hadir secara sopan
sebagai tetamu dan pemerhati. Saya dan Abu Nuha
diberi peluang tersebut: kami laporkan untuk
manfaat semua warga IKRAM.

7. Setelah berbicara panjang tentang IKRAM,
masyarakat madani, dan politik, saya ingin juga
mengingatkan saudara tentang skop IKRAM yang
jauh lebih luas.
Saudara dapat lihat ini dengan mengikuti laporan JK
lain, seperti Kebajikan, Pembangunan Masyarakat,
serta Remaja dan Belia.

Terima kasih atas soalan saudara. Saya percaya ramai
yang ingin bertanya perkara yang sama, hanya segan
silu. Saya mengambil peluang ini untuk menjemput
saudara ke program JK Masyarakat Madani yang seterusnya.
Kita boleh bincang lagi.


PM Dr Ali Abd Rahman

Pengerusi JK Masyarakat Madani
IKRAM Johor.

Friday, June 10, 2011

KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

10 Jun 2011 bersamaan 8 Rejab 1432 H



KETAATAN ISTERI KEPADA SUAMI BUKAN KETAATAN
YANG MEMBUTA TULI


Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil untuk
memberikan pandangan terhadap penubuhan Kelab
Taat Suami yang dilancarkan baru-baru ini. Pada
dasarnya sebagai pertubuhan dakwah, dan kebajikan
yang mengambil peduli tentang urusan-urusan
kehidupan masyarakat, Wanita IKRAM mengalu-
alukan usaha pelbagai pihak termasuk Kelab ini yang
ingin mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.
Namun Wanita IKRAM begitu kesal dengan kenyataan
Dr. Rohaya Mohamad, Naib Presiden kelab tersebut
yang mengumpamakan isteri sebagai objek seks dan
perlu menjadi pekerja seks bagi suami sebagai tanda
ketaatan kepada suami disamping mengelakkan suami
daripada berlakucurang. Dalam majlis pelancaran itu
juga, Dr Rohaya dilaporkan sebagai berkata isteri harus
baik dan taat kepada suami walaupun didera sebagai
tanda ketaatan kepada suami.

Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak tepat, menghina
dan merendahkan martabat wanita serta boleh meng-
akibatkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam
dan bukan Islam terhadap kedudukan dan peranan
sebenar wanita sebagaimana yang disyariatkan dalam
Islam. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan
Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menunjukkan
faktor utama perceraian ialah tiada persefahaman,
curang dan enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab,
campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan
ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan,
terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta
didera.

Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa:

1. Ajaran Islam selaku sistem hidup yang lengkap,
adil dan menyeluruh serta rahmat bagi sekalian
alam telah memartabatkan wanita sebagai rakan
kongsi lelaki yang mempunyai hak-hak yang sama
walaupun mungkin berbeza peranan dalam pelbagai
bidang kehidupan baik dari sudut individu, ber-
keluarga dan kehidupan bermasyarakat.

2. Ketaatan wanita kepada suaminya adalah dalam
rangka dan batasan ketaatan kepada Allah. Ini
bukanlah suatu ketaatan membuta tuli sehingga
merelakan segala perbuatan suami walaupun ter-
nyata suami telah berbuat kedurhakaan terhadap
Allah. Rasulullah SAW bersabda “Tiada ketaatan
dalam kemaksiatan kepada Allah, ketaatan hanya-
lah dalam perkara makruf” (Sahih Bukhari dan
Muslim).

Peringatan Allah dalam surah An Nisa 4:34 wajar
menjadi ingatan bagi kita semua :

” Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal
yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,
oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang
lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-
orang perempuan, dan juga kerana orang-orang
lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-
perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada
Allah dan suaminya), dan yang memelihara (ke-
hormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara)
ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pe-
muliharaan Allah dan pertolongan-Nya. dan
perempuan-perempuan yang kamu bimbang
melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendak-
lah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka
berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan
(kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka
(dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar
nya). kemudian jika mereka taat kepada kamu,
maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk
menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Tinggi, lagi Maha Besar.

3. Meletakkan kesalahan semata-mata kepada isteri
dalam memberikan layanan seksual kepada suami
sebagai punca lelaki berlaku curang adalah satu
pandangan yang amat dangkal. Bahagian Penyelidi-
kan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
mendapati tiada persefahaman, tidak bertanggung-
jawab, masalah akhlak dan sosial, masalah ekonomi
dan masalah seksual adalah punca utama perceraian
di kalangan pasangan Islam. Kajian dibuat syarikat
Pfizer pada tahun 2008 pula menunjukkan 62 peratus
lelaki dan 73 peratus wanita di negara ini yang tidak
berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.
Dengan itu, kepentingan untuk para suami men-
jalankan peranan mereka dengan sempurna dan
memberikan perhatian yang lebih teliti dalam
memenuhi keperluan lahir dan batin isteri mereka
juga perlu ditekankan.

4. Wanita IKRAM menerima dan menyedari bahawa
poligami dibenarkan dalam Islam sebagai satu
institusi yang mempunyai pelbagai hikmah dan
kebaikan sekiranya dijalankan dengan betul ber-
landaskan syarat yang digariskan syara’ dalam
semua peringkat perlaksanaannya. Persepsi
masyarakat perlu diperbetulkan selain pengamal
poligami terutama golongan lelaki perlu mendapat
pendidikan dan latihan sebelum mengamalkannya.

5. Semua pihak lelaki dan wanita, suami dan isteri
haruslah kembali berpegang dan mengamalkan
ajaran Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW sebagaimana hadisnya yang
masyhur; “Orang yang paling baik di kalangan
kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya)
dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik
dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli
keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu
Hibban). Al Quran menunjukkan kita “ Dan orang-
orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, se-
tengahnya menjadi penolong bagi setengahnya
yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan,
dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan
mereka mendirikan sembahyang dan memberi
zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.
mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Se-
sungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.” At Taubah 9:71

Semoga dengan ini kita dapat membetulkan
persepsi kita tentang peranan wanita dalam
Islam disamping memperbaiki kehidupan ber-
keluarga dalam usaha kita untuk mempertahan-
kan institusi keluarga ini sebagai unit asas dalam
pembinaan masyarakat yang harmoni dan
sejahtera.


Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Timbalan Ketua Wanita
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
019- 322 6800

Wednesday, June 1, 2011

POLITIK WILAYAH DA'WAH

Allah swt telah menurunkan risalah terakhir yang
merangkumi seluruh risalah nabi-nabi sebelumnya.

Risalah yang bersifat komprehensif dan saling
melengkapi. Risalah yang tidak ada satupun
dimensi kehidupan kecuali ia mengaturnya
secara sistematik baik secara global mahupun
secara spesifik.

Oleh kerana itu, Allah swt berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah
kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya,
dan janganlah kamu turut langkah-langkah
syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang
nyata bagimu." (QS Al-Baqarah : 208)

Dalam ayat lain, firman Allah swt :

"Dan kami Telah turunkan kepadamu Al Quran
dengan membawa kebenaran, membenarkan apa
yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturun-
kan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-
kitab yang lain itu; Maka putuskanlah perkara
mereka menurut apa yang Allah turunkan dan
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka
dengan meninggalkan kebenaran yang telah
datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di
antara kamu, kami berikan aturan dan jalan
yang terang. Sekiranya Allah menghendaki,
niscaya kamu dijadikanNya satu umat (sahaja),
tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap
pemberianNya kepadamu, Maka berlumba-lumba-
lah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah
kembali kamu semuanya, lalu diberitahukanNya
kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu."
(QS Al-Maidah : 48)

Risalah Islam ini sesungguhnya "Risalah Nabawiyah"
yang terakhir yang diturunkan sebagai "way of life"
(cara hidup) bagi seluruh manusia.
Oleh yang demikian, ia berbicara tentang seluruh
dimensi kehidupan manusia samada :

- Dimensi aqidah.
- Dimensi ibadah.
- Dimensi akhlak.

Begitu juga yang termasuk dalam tiga dimensi ini
adalah masalah :

- Ekonomi.
- Sosial budaya.
- Politik.
- Keamanan.

Dari sini fahamlah kita bahwa tidak boleh kita melaku-
kan pengasingan dalam ajaran Islam.

Tidak sepatutnya ada yang mengatakan : "Islam Yes,
Politik No".

Begitu juga tidak perlu lagi kita mengatakan : "Dakwah
Yes, Politik No".

Atau mungkin juga ada yang mengatakan : "Yang penting
adalah aqidah, yang lain tidak penting."

Seterusnya bagaimana kita boleh memiliki kefahaman
yang komprehensif ini dan memperjuangkannya
dalam kehidupan kita sehingga akhirnya lahirlah
pencerahan dan pembaikan dalam dunia ekonomi,
sosial budaya, politik dan keamanan yang memberi
kesan kepada kebaikan dan kemaslahatan umat.

PENDIDIKAN POLITIK

‘Tarbiyah siyasiah’ yang bermakna pendidikan atau
pembinaan politik adalah sangat perlu difahami
oleh setiap muslim kerana pemahaman politik yang
sebenarnya tidak sama dengan pemahaman selama
ini dalam ilmu politik secara umum, iaitu berpolitik
yang hanya dimaksudkan untuk memperolehi dan
mempertahankan kekuasaan.

Sepatutnya usaha-usaha untuk menceburi bidang
politik adalah dalam rangka :

- Untuk menegakkan nilai-nilai kebenaran Ilahiah.
- Memperjuangkan kepentingan masyarakat.
- Berusaha untuk menyelesaikan persoalan umat.
- Memimpin untuk memperbaiki sistem yang tidak
berpihak kepada nilai-nilai kebaikan dan kebenaran.

Berdasarkan kefahaman di atas, seluruh aktiviti yang
berkaitan dengan gerakan berparti dan berpolitik di
sebut dengan "Perjuangan Politik".

Dalam bahasa seorang pejuang Islam, Imam Hasan
Al-Banna, perjuangan ini dikategorikan sebagai
"Ishlahul Hukumah" (Pengislahan Pemerintahan).

Keberhasilan dan kejayaan berpolitik mestilah pula
mampu memberi kesan kepada dimensi kehidupan
yang lain seperti berikut :

Dunia pendidikan di mana akhirnya akan membawa
kepada peningkatan kecerdasan anak bangsa.

Dunia da'wah yang akan melahirkan generasi rabbani.

Dunia ekonomi di mana akhirnya akan membawa
kepada pemeliharaan aset-aset negara dan pendaya-
gunaan kepada masyarakat yang lebih luas.

Dunia sosial budaya yang mampu memelihara identiti
atau jati diri bangsa yang menumpukan kepada asas
spiritual dan akhlak mulia.

Kita biasa mendengar seruan dan anjuran kepada
umat Islam yang terlibat dalam dunia da'wah tetapi
mempunyai pemahaman yang sempit di mana dipisah
kan persoalan politik dengan alasan bahwa :

- Dunia politik adalah dunia penuh "jerat dan ranjau".
- Dunia yang sarat dengan kebohongan, ketidakjujuran,
khianat, umpatan dan adu domba.
- Dunia yang boleh mengubah yang halal menjadi haram
dan yang haram menjadi halal.
- Dunia yang menyetujui demokrasi yang merupakan
produk Barat.

Semua seruan tersebut mengarah kepada "Islam Yes,
Politik No" di mana ianya amat berlawanan dengan
usaha-usaha penda'wah yang sepatutnya mengajak
kembali manusia kepada Islam secara menyeluruh
atau komprehensif.

Jika ada sebahagian mereka yang tergelincir dan
terjerumus dalam permainan sistem yang negatif,
maka menjadi tugas umat Islam, organisasi umum
Islam atau organisasi politik Islam untuk menyiapkan
wasilah dan prasarana agar setiap mereka yang terjun
ke dunia politik :

- Tetap istiqamah dalam menjalankan amanah yang
dipikulkan kepadanya.
- Tetap menjaga integriti diri.

ANTARA DAKWAH DAN POLITIK

Apakah ada pertentangan antara dakwah dan politik?

Jawaban kepada pertanyaan ini akan dapat menyelesai-
kan kerisauan dan ketidaktentuan mereka-mereka yang
terlibat dalam kerja-kerja da'wah yang kemudiannya
juga bersangkutan dan berkaitan dengan dunia politik
bagi meraih kejayaan dalam perjuangan politik mereka.

Ayat-ayat di permulaan tadi serta pengertian Islam yang
didefinasikan oleh Imam Hasan Al-Banna di bawah ini
adalah dalil yang menunjukkan tentang titik pertemuan
antara kerja dakwah dan kerja politik dalam bingkai
keislaman.

Jadi, sebenarnya tidak ada pertentangan sama sekali
antara dunia Da'wah dengan dunia Politik.

Cuba kita renungkan kenyataan beliau :

"Islam adalah nidzam (peraturan) yang komprehensif
yang mengandungi seluruh dimensi kehidupan.
Ia adalah :

- Daulah dan tanah air.
- Pemerintahan dan umat.
- Akhlak dan kekuatan.
- Rahmat dan keadilan.
- Tsaqafah (wawasan) dan qanun (perundangan).
- Keilmuan dan pengadilan.
- Material dan kesejahteraan.
- Profesyen dan kekayaan.
- Jihad dan da'wah.
- Ketenteraan dan fikrah.
- Aqidah yang benar dan ibadah yang shahih ( benar)."

Da'wah yang bertujuan menyeru manusia untuk kembali
kepada nilai-nilai Islam secara komprehensif dapat
dilaksanakan oleh mereka-mereka yang komited walau
di manapun ia berada dan dalam apa profesyen sekalipun.

Apakah ia seorang guru, ahli ekonomi, pengusaha,
pendidik, teknokrat, penjawat awam, petani, jurutera,
buruh, ahli politik dan eksekutif (menteri) bahkan
seorang presiden atau perdana menteri sekalipun.

Jadi da'wah bukan suatu yang berlawanan dengan
dunia politik akan tetapi dunia politik merupakan
salah satu wilayah da'wah.

Semoga kita mendapat pencerahan dan kefahaman
bahwa betapa politik itu bukanlah sesuatu yang
hanya dimonopoli oleh mereka-mereka yang terlibat
secara sepenuh masa sahaja bahkan ianya menjadi
sebahagian dari wilayah di mana usaha-usaha da'wah
perlu dikembangkan sehingga ajaran Islam yang
komprehensif itu dapat direalisasikan oleh umat
Islam bagi menguatkan persatuan dan kesatuan
untuk menuju sebuah pemerintahan yang lebih baik
dan yang diredhai oleh Allah swt sebagaimana yang
dikehendaki oleh Allah swt dalam firmanNya
"Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur"
(Negeri yang baik dan mendapat keampunan
Allah swt.)

Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah menyempurna
kan agama ini merangkumi segenap cabang dan
bidang kehidupan manusia. Berilah kekuatan kepada
kami sehingga kami mampu mengubah wilayah
poltik menjadi suatu wilayah da'wah yang akan
memartabatkan syariatMu bagi memberi kebahagiaan
dan keamanan kepada manusia keseluruhannya.

Ameen Ya Rabbal 'Alameen.......

Wan Ahmad