Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Thursday, March 10, 2011

MENDIDIK ANAK (ROSNAH AHMAD)

Duduk dikerusi sejenak selepas pulang dari
kerja. Kebetulan saya pulang lewat petang
hari ini. Izzuddin ( tahun dua sekarang, ya!
dah besar anak bongsu saya) menghampiri
saya sambil menghulurkan kertas peperiksaan
Bahasa Inggerisnya.

Saya menyelak-nyelak helaian kertas. Helaian
pertama dan kedua betul semua. Di helaian
ketiga terdapat satu karangan yang dia salah
suai padankan 4 daripada 5 soalan. Saya
berkata “banyaknya salah adik”.

“Sikit je salah mak, yang betul lagi banyak”
jawab Izzuddin.

Saya tersentak.

Jawapan Izzuddin itu membawa saya
mengimbau peristiwa awal tahun ini.
Seorang pelanggan saya mengadu mengenai
anak lelakinya yang baru masuk tahun satu
tetapi masih keliru 2 huruf iaitu “b” dan “d”
dan kurang lancar membaca. Dia menceritakan
bahawa dia menyatakan kesedihan kepada
anaknya, membandingkan dengan anak orang
lain yang sudah lancar membaca dan memarahi
sehingga anaknya menangis.

Saya empati dengan anak itu dan dapat
merasakan keadaan emosinya. Saya berkata
kepada ibu tadi kenapa tidak gembira dan
puji anak yang ingat 24 huruf lain. Anak
memerlukan sokongan positif dan bimbingan
berterusan. Tahun satu memang mencabar
bagi anak kecil.

Sekarang saya juga alpa.

“’Adik dapat 79 markah dan adik dah dapat
kalahkan Darwish dan Danish” sambung
Izzuddin merujuk kepada pasangan kembar
kawannya.

Sememangnya saya patut di tegur. Kadang
kadang sudah terbiasa memfokuskan kesalahan
anak walaupun jauh lebih sedikit. Terlupa
untuk melihat kepada perkara baik yang a
nak lakukan.

Alhamdullillah, Izzuddin mampu menyatakan
kehendak dengan bebas. Syukur. Saya
mengingatkan diri supaya sentiasa membantu
anak untuk mengatasi kekurangannya dengan
cara yang lebih hikmah.

Saya kemudian kembali memfokuskan kepada
perkembangan diri anak. Sejak lebih seminggu
lepas Izzuddin begitu teruja dengan keputusan
peperiksaannya tahun ini. Saban hari dia
bercerita berulang-ulang mengenai dia hanya
salah satu sahaja dalam kertas Bahasa Melayu.
Sehingga mengundang kemarahan abangnya
Muhammad kerana jemu mendengar cerita
yang sama.

Tahun ini memang ketara peningkatan pelajaran
Izzuddin. Tulisannya semakin cantik, dia
semakin berminat terhadap bahan bacaan dan
mengambil berat tentang kerja sekolahnya.

Biasalah, anak lelaki. Kedua-dua anak lelaki
saya mengambil masa untuk membaca pada
tahun satu dan peningkatan pembelajaran j
uga sedikit demi sedikit dengan dorongan.
Potensi setiap anak berbeza.

Muhammad lebih fizikal. Suka kepada aktiviti
lasak dan sukan. Manakala Izzuddin lebih
lebih kreatif. Suka merekacipta pelbagai benda
dan seni. Berbeza dengan kakak mereka, Nurin
yang lebih minat kepada buku dan sudah lancar
membaca di usia 6 tahun.

Kadang-kadang kita perlu melihat perkara
melalui kaca mata seorang anak kecil. Mereka
ada potensi, gaya dan masa tersendiri. Setiap
anak secara fitrahnya menuju kecemerlangan.
Cuma kita kekadang lupa melihat dari sudut
yang lebih positif dan membina. Mungkin
dengan cara ini kita akan lebih menyokong
potensi mereka dan kekurangan yang ada
akan terus gugur sepanjang tarbiyah anak
yang panjang.

Saya petik teori pembentukan personaliti.
Sahsiah kanak-kanak terbentuk hasil daripada
cara anak di besarkan. Anak yang selalu dimarahi,
dihina dan dimalukan akan membesar menjadi
pemalu, penakut, penuh rasa bimbang, tiada
keyakinan diri dan bersifat inferiority complex
serta introvert. Anak yang mendapat galakan,
pujian dan dibesarkan dalam suasana harmoni,
gembira, membesar menjadi seorang yang yakin
diri, bebas, tenang dan penyayang.

Moga kita terus memperbaiki diri dan cara kita
menyantuni anak-anak kita.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment