Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Tuesday, May 25, 2010

KELAHIRAN DI SEBALIK KEMATIAN

OLEH ABU SAIF

“Kami mahu menjemput Imam untuk solat jenazah
di Funeral Home!” kata pegawai polis tersebut.
Bingung.....
Solat jenazah. Di Funeral Home?
Saya kehairanan.

“Siapa yang meninggal dunia?” saya bertanya.

“Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima
tahun” jawab pegawai polis itu.

“Baiklah. Saya panggil beberapa orang lagi dan
kita berangkat 10 minit lagi” saya bersetuju.

Tengah hari itu saya berjaya mengumpulkan
kira-kira 7 orang jemaah masjid. Kami bertolak
ke Funeral Home itu dengan sebuah kereta
limosin hitam yang disediakan oleh pihak gereja.

Di sepanjang perjalanan, saya masih tidak jelas
dengan majlis yang bakal kami hadiri.
Perjalanan ke Funeral Home yang terletak

di pinggir Belfast Selatan itu tidak memakan
masa yang panjang.

Kelihatan di perkarangan bangunan, banyak
kereta dan orang ramai yang berpakaian hitam.
Suasana diselubungi kesedihan.
Pegawai polis yang membawa kami,

memperkenalkan saya kepada seorang wanita
Irish. Beliau berusia dalam lingkungan
akhir 20′an.

“Oh, inikah Imam tersebut?” tanya beliau.

“Ya. Perkenalkan, Mr. Hasrizal” kata pegawai
polis itu kepada wanita tersebut.

“Oh, terima kasih Mr. Imam. Saya Jenny,
ibu kepada Mary” beliau memperkenalkan
diri kepada saya.

Saya perasan yang Jenny tidak menghulurkan
tangan untuk bersalam. Bagus sekali.

“Maafkan saya. Saya menumpang sedih atas
kematian anak puan. Bagaimana semua itu
berlaku?” saya bertanya.

“Entahlah. Kami bangun pagi dan Mary sudah
pun meninggal dunia di dalam tidurnya” kata Jenny.

Sungguh tragis. Seorang kanak-kanak berusia lima
tahun yang sihat, tiba-tiba ditemui meninggal
dunia di dalam tidurnya. Saya segera teringatkan
Saiful Islam yang masih kecil di rumah.

Sesungguhnya setiap hari anak kita berjaya bangun
daripada tidurnya dan bernafas, ia adalah anugerah
Allah buatnya dan buat kita. Setiap hari adalah survival.
Terasa benar betapa fragile seorang bayi. Betapa perlunya
ibu dan bapa memberikan kepadanya sebaik-baik
penjagaan.

“Perkenalkan ini Mustafa, suami saya!” kata Jenny.

Saya menghulurkan tangan beriringan
dengan senyuman.
Mustafa berpaling ke arah lain. Enggan bersalaman

dengan saya.

Saya agak terkejut. Terkejut dengan penampilannya
yang rugged dan beranting-anting. Terkejut kerana
namanya Mustafa, seorang Muslim dari Algeria.
Terkejut kerana dia enggan bersalaman dengan saya.
Terkejut kerana isterinya yang Jenny itu pula yang
mengusahakan kedatangan saya dan rombongan
masjid untuk menyembahyangkan jenazah
anak mereka, Mary.

“Maaf saya, Imam. Dia kesedihan” kata Jenny.

“Tak mengapa. Saya juga kalau berada di tempatnya,
pasti sedih dan sukar untuk berkelakuan biasa”
saya menjawab.

“Saya seorang Katholik. Tetapi saya mahu Mary
disembahyangkan sebagai seorang Muslim. Saya
yang menghubungi pihak polis meminta mereka
mencari masjid dan Imam” jelas Jenny lagi.

Perlahan-lahan saya dan jemaah masjid melangkah
masuk ke dewan. Saudara-mara mereka sudah
memenuhi dewan. Sesungguhnya ia merupakan
suatu pengalaman baru yang sungguh menguji
keyakinan diri saya. Tidak pernah saya
membayangkan boleh berada di dalam suasana
seperti ini, suatu hari nanti.

Saya berdiri di sisi keranda.
Seorang anak kecil tidak seperti sekujur mayat.
Wajahnya ada senyuman.
Rambut dipintal cantik.
Baju gaun putih sungguh berseri.
Saya hampir terlupa, anak kecil yang ‘tidur’ itu

telah tidur yang tidak akan menjengah pagi.
Pergi tak kembali.
Sebak dada menahan mata yang semakin berkaca.

“Tidurlah sayang. Allah mengasihimu” saya
berbisik perlahan.

Keranda kecil itu kami betulkan posisinya agar
bertepatan dengan Kiblat. Cuba mencari ruang
yang bersih daripada patung Jesus dan
gambar-gambar yang tidak kena untuk berada
di hadapan kami yang mahu mengangkat Takbir.

Saya, Jamal, As’ad, Ahmad dan beberapa orang
lagi jemaah Masjid yang hadir mengerjakan solat
jenazah untuk melunaskan hak anak kecil itu
ke atas kami. Semoga anak itu berehat di alam sana.

Saya terkilan kerana ayahnya, Mustafa, enggan
menyertai solat jenazah kami ke atas anaknya
yang ‘malang’ itu. Beliau hanya duduk bersama
keluarga isterinya yang Katholik itu,
memerhatikan kami bersolat.

Selesai solat didirikan, saya dikehendaki
memberikan sepatah dua kata.
Aduh! .....
Apa yang mahu saya ucapkan? Di hadapan orang

Irish itu? Katholik? Suasana sedih?

Saban hari, ada sahaja tugas baru yang tidak
pernah berada di dalam jangkaan saya.
Setiap hari adalah cabaran. Kemahuan
dakwah dan khidmat tidak cukup. Saya perlu
ada keberanian untuk melakukan apa yang perlu.

Just do it!

“Silakan Imam!” kata pengerusi majlis.

Tersentak saya daripada lamunan.

“Encik Mustafa, Puan Jenny, ahli keluarga dan
rakan-rakan yang hadir. Hari ini adalah hari
yang sedih buat semua. Sedih buat Encik Mustafa
dan Puan Jenny, sedih untuk kita semua dan
sedih untuk saya, seorang bapa kepada seorang
anak kecil. Ia sedih untuk kita semua. Tetapi
kesedihan itu mungkin boleh dikurangkan
dengan berfikir tentang sesuatu yang gembira…”
saya memulakan bicara.
Cuba untuk empati, dan memilih perkataan

yang betul dalam keadaan emosi semua orang
yang begitu rapuh.

“Di sisi Islam, setiap bayi yang lahir, tanpa mengira
siapa bapa dan siapa ibunya, apa warna kulit
dan di bumi mana kelahirannya, setiap bayi
lahir suci. Penuh potensi untuk kehidupan.
Mary meninggalkan kita ketika beliau belum
mencapai usia baligh. Beliau suci dan dengan
kesucian itu, beliau berada di tempat yang
terbaik di sisi Tuhan. Dan jika kita biasa
membayangkan bahawa anak-anak akan
mengebumikan ibu bapa yang mati sakit tua,
hakikatnya di dalam hidup ini boleh sahaja
berlaku, ibu dan bapa yang menghantar anak pergi.
Semua itu adalah cara Tuhan memberitahu kita,
bahawa kita semua adalah milik-Nya”

saya menyudahkan ucapan.

“Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi

pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang
sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala,
dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia
(kepada hamba-hambaNya yang taat)” [al-Kahf 18: 44]

Ucapan ringkas saya itu mendapat tepukan yang
positif daripada sekalian mereka yang hadir.
Saya menarik nafas lega. Dan dalam kelegaan itu,

ungkapan sebenarnya adalah ALHAMDULILLAH.

“Bagaimana dengan pengebumian? Apakah kita
mahu biarkan sahaja anak itu dikebumikan
di tanah perkuburan Kristian?” bisik salah
seorang ahli rombongan masjid yang hadir.

“Apakah salib yang bakal dipacak di atas keranda
budak itu akan mengubah nasibnya di kubur?
Semua itu bukan keutamaan kita. Berpeluang
mengerjakan solat jenazahnya pun sudah
merupakan nikmat yang besar buat kita.
Jika pengebumian di kubur bukan Islam itu
satu isu, serahkanlah ia kepada Encik Mustafa,
bapanya. Apa yang penting, amalan si mati.
Dan untuk almarhumah Mary, tiada apa yang perlu
kita khuatirkan. Pengebumian untuk dia,
bukan untuk kita!” saya menjawab.

Lelaki itu berpuas hati.
Beliau beredar meninggalkan dewan Funeral Home

itu bersama kami.

Di dalam perjalanan pulang, fikiran saya berkecamuk.
Antara sedih dan lega. Sedih memikirkan keadaan Mary.
Tetapi lega Allah ‘mengambilnya’ semula pada usia
semuda itu. Saya tidak dapat membayangkan
bagaimana Mary akan membesar dengan baik jika
ibunya yang Kristian Katholik itu bersungguh
dengan Islam, manakala bapanya yang Muslim
itu pula, entah di mana Islamnya.

BEBERAPA HARI SELEPAS ITU

Pengalaman menyembahyangkan jenazah seorang
anak kecil yang ibunya Kristian Katholik dan
bapanya Muslim, adalah sesuatu yang tidak
pernah berada di dalam bayangan saya semasa
menerima perlantikan sebagai Imam di Belfast
Islamic Centre.

Saya tahu di Belfast memang ada sejumlah
Muslim yang mengahwini Irish Kristian dengan
peruntukan Syariah dalam perkahwinan
Kitabiyyah. Apa yang sering merunsingkan saya
adalah pada memikirkan nasib anak-anak
daripada perkahwinan itu.

“Assalamualaikum, Imam” tiba-tiba Ahmad memanggil saya.

“Wa ‘alaikum al-Salaam. Silakan!” saya menjawab salam.

“Ada seorang pemuda bernama Jonathan. Beliau mahu
bertemu dengan Imam” jelas Ahmad.

Saya mempersilakan Jonathan masuk ke pejabat.
Wajahnya seperti pernah saya lihat tetapi tidak
pasti di mana.

“Imam tidak ingat saya, barangkali. Saya hadir
di majlis penghormatan terakhir ke atas baby
Mary minggu lalu. Saya sepupunya” Jonathan
memperkenalkan diri.

“Oh begitu. Maafkan saya. Bagaimana Jenny
dan suaminya?” saya bertanya.

“Mereka berada di dalam keadaan yang baik.
Terutamanya ibu saudara saya, Jenny.
Dia memang seorang yang cekal” terang Jonathan.

“Apa hajat saudara datang ke masjid ini? Insya Allah
saya cuba membantu” saya terus kepada urusan utama.

“Semasa kami mendapat tahu Mary meninggal dunia,
semua orang marahkan Jenny. Beliau menangguh-
nangguhkan Baptism ke atas Mary sehingga Mary mati.
Kami semua bimbang dengan keadaan Mary yang
tidak dibersihkan daripada original sin dan ini
menyulitkannya nanti untuk berinteraksi dengan
Divine Life. Tetapi ucapan Tuan Imam selepas
sembahyang itu mengubah segalanya. Saya terkejut
apabila tuan katakan bahawa, menurut Islam Mary
mati dalam keadaan yang bersih!” cerita Jonathan.

“Benar. Bukankah itu juga yang sepatutnya?”
saya menyoal lagi.

“Ya, kami semua mahu percaya bahawa Mary suci.
Susah sekali mahu membayangkan seorang yang kecil,
suci dan bersih seperti Mary, mati sebagai manusia
berdosa. Tetapi Islam menepati perasaan sebenar kami”
ujar Jonathan lagi.

Saya terkasima.

Ucapan ringkas dan spontan saya tempoh hari amat
hambar dan terlalu biasa buat saya. Rupa-rupanya
impak ucapan itu besar kepada yang mendengarnya.

“Saya mahu belajar tentang Islam” kata Jonathan.

Masya Allah… benarlah Islam itu fitrah.

Kematian Mary, adalah untuk ‘melahirkan semula’
Jonathan, seorang anak muda.

Jonathan, selamat datang ke agama fitrah!

Hebat sungguh perancangan- Mu!

No comments:

Post a Comment