Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Monday, January 18, 2010

SERANGAN BUAYA DI LAUT???

Ramai orang tak percaya kewujudan buaya air masin (Salt water crocodile) atau nama saintifiknya Crocodilus porosus . Mungkin kita tidak menyedari 'Bujang Senang' yang panjangnya melebihi 7 m (21 kaki) dan pernah mengganas di Sg Butang Lupar juga adalah dari spesies yang sama. Kalau di Australia serangan yang dicerap oleh Saltwater crocodile mencecah purata 100 kes setahun - dan serangan ini samada berlaku di kuala sungai (estuaries) atau di laut.

Habitat buaya ini biasanya ialah di kuala sungai (hutan bakau) yang mewah dengan sumber makanan. Kerana itu amat penting habitat hutan bakau dipulihara kerana ia boleh menjamin kelestarian sumber makanan laut kita di samping menampung keperluan pelbagai jenis haiwan yang bermandiri dalam ekosistem hutan bakau. Soalnya kenapa buaya air masin ini mencari makan di laut. Kesimpulan awal yang boleh kita buat ialah natijah dari kemusnahan habitat hutan bakau dan juga pencemaran kepada sungai. Salah satu dari spesies bioindikator yang baik untuk menentukan tahap pencemaran ekosistem sungai ialah udang galah. Oleh itu biasa kita mendengar dari penangkap udang galah - 'ada udang galah, adalah buaya'. Sekarang tidak banyak sungai yang terdapat udang galah. Ini adalah gambaran atau kesan dari pencemaran yang berlaku pada sungai kita. Apabila makanan berkurangan maka buaya perlu mencari makanan di tempat lain. Oleh kerana buaya air masin boleh hidup dalam laut, maka laut adalah medan yang perlu diteroka untuk memenuhi keperluan makanannya.

Jika kehadiran buaya di laut adalah sesuatu yang lazim, maka sudah tentu ia menjadi pengetahuan umum. Namun tidak ramai yang mengetahui fakta ini. Ini menunjukkan masyarakat melayu sejak zaman dahulu tidak pernah berdepan dengan kehadiran buaya di laut. Tempat tinggal buaya adalah di sungai. Ketika itu alam sekitar tidak tercemar dan buaya tidak perlu meneroka ke laut untuk mencari makanan. Kebanyakkan pengetahuan tentang alam adalah diwarisi turun temurun. Contohnya masyarakat di Pulau Semeulue semasa kejadian tsunami di Aceh pada 26 Disember 2004. Mereka tahu dari pesan orang tua-tua apabila air laut surut mendadak, segera lari ke tanah tinggi. Hasilnya hanya puluhan sahaja yang meninggal di Pulau Semeuleu, berbanding dengan tempat-tempat lain di Aceh.

Untuk pengtahuan, serangan buaya air masin yang paling mengerikan berlaku pada bulan Jan-Fen 1945 kepada askar-askar Jepun yang mempertahankan Pulau Ramree dari tentera British ketika mereka kembali untuk menawan Burma (sekarang Myanmar). Lebih kurang 1,000 askar Jepun terperangkap di dalam kawasan paya yang berlumpur tebal. Ketika mereka bertempur dalam paya yang gelap pada waktu malam, bunyi tembakan berselang seli dengan jeritan askar-askar Jepun yang dibaham oleh buaya air masin (purata panjang 5 m = 15 kaki). askar-askar British mendengar bunyi rahang buaya yang membaham mangsa dan buaya berpusing spt lazimnya ketika mereka menyiat daging dari mangsa. Keesokannya hanya sekitar 20 askar yang terselamat dan ditawan. Burung-burung hering (vultures) kemudiannya menghabiskan sisa-sisa yang ditinggalkan oleh buaya pada malam sebelumnya.

Adalah menjadi tabiat haiwan buas tidak menyerang menusia. Tetapi jika sekali mereka sudah merasai daging dan darah manusia, maka 'they will develop a liking towards human flesh'. Sebab ada istilah 'man eating tiger' . Harimau biasanya tidak memakan manusia tetapi apabila sudah merasai daging manusia maka kecenderungannya untuk menyerang manusia lagi meningkat bahkan akan menjadi tabiat.

Kenapa haiwan buas menyerang manusia? Ini berlaku apabila wujud konflik di antara manusia dan haiwan. Kenapa gajah menceroboh ladang dan kebun. Kerana pembukaan tanah-tanah pertanian tidak mengambil kira keperluan habitat hidupan liar. Kini kita lihat berapa banyak hutan simpan kekal diteroka akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita melihat bagaimana ladang-ladang kelapa sawit dibuka bersebelahan dengan Taman Negara sedangkan kawasan penampan (buffer) telah diwartakan? Konflik dengan hidupan liar mungkin tidak boleh dielakkan samasekali apabila memenuhi keperluan pembangunan untuk manusia, namun dengan perancangan dan sifat "rahmatan lil 'alamin" , konflik ini boleh dikurangkan pada tahap yang minima dan munasabah.

Jadi apabila berlaku serangan buaya di pantai, manusia perlu menyemak kembali, apakah yang telah mereka lakukan terhadap alam sekitar? Pencemaran yang dilakukan oleh manusia terhadap sungai-sungai kita bukan sahaja mencemarkan sumber air dan menjejaskan hidupan air, tetapi boleh mencetuskan peristiwa tragis seperti ini - walaupun ianya terpencil tetapi bagi mangsa, Mohamad Helmi Leman (yang mendakwa di serang buaya di PD) ia adalah tragedi mengerikan dalam hidupnya yang tidak mungkin dilupakan.

Hafidzi MN

No comments:

Post a Comment