Antara kisah yang biasa saya ceritakan dalam
permulaan ceramah Al-Quran dan Sains ialah
kisah anak saya dengan harimau.
Suatu hari, semasa kami sekeluarga pergi zoo,
anak saya yang ketika berumur 6 tahun
merengek …”abah nak naik harimau …. Abah
nak naik harimau …. “ Puas saya cuba yakinkan
bahawa harimau tu bukan jinak dan boleh
makan orang. Rupa-rupanya memang dia belum
kenal hakikat harimau itu.
Begitulah juga kita dengan Allah. Jika kita tidak
kenal Allah atau tak berapa kenal – kita akan
membuat pelbagai tanggapan yang salah dan
menyeleweng. Tanggapan itu lebih berasaskan
andaian dan bukan ilmu.
Ada yang menganggap dan mengakui Tuhan yang
menjadikan alam semesta ini. Selepas itu Tuhan
biarkan kita ini untuk menentukan nasib kita
sendiri. Rupa-rupanya pandangan ini juga
didokongi oleh Socrates. Maka dalam hidup ini
dia buat apa yang dia suka.
Ada yang begitu marah pada Tuhan – kerana
banyaknya bencana alam. Tuhan ni “bossy”
katanya. Mentang-mentang Tuhan – boleh
buat apa yang dikehendakiNya.
Mari kita kaji tanggapan yang kedua ini.
Tanggapan ini jelas menunjukkan sesaorang
itu tidak mengenali Allah, Tuhan yang Maha
Pengasih dan Lagi Maha Penyayang. Mengikut
Syed Sabiq – otak dan pemikiran kita ini akan
benar-benar teruja apabila kita gunakannya
untuk mengenali Allah. Untuk mengenali Allah
kita kaji Nama-Nama, Sifat-sifat Allah dan
seterusnya – kaji kejadianNya, tetapi jangan
kaji ZatNya – kelak anda akan sesat.
Hasil dari kedangkalan ilmu, manusia itu
hanya kenal Allah sebagai Maha Pengasih.
Manusia tidak menyedari Allah itu Maha Adil
– setiap tindakanNya bukan berasaskan nafsu
macam kita – tetapi berasaskan pada Ilmu
(Allah itu AL-‘Alim) dan Kebijaksanaan
(Al-Hakim). Cuba lihat ayat 61 surah An-Nahl
di bawah ini:
“Jikalau Allah menghukum manusia karena
kezalimannya, niscaya tidak akan ditinggalkan
Nya di muka bumi sesuatupun dari makhluk
yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka
sampai kepada waktu yang ditentukan. Maka
apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan)
bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundur
kannya barang sesaatpun dan tidak (pula)
mendahulukannya.”
Kalau Allah nak menghukum kita kerana kezaliman
kita – bayangkan apa yang akan terjadi. Namun
Allah itu mengangguhkannya. Cuba lihat kemungkaran
yang ada di Malaysia contohnya – banyaknya perlakuan
zina, maksiat dan sebagainya. Kajian PM Dr Lekhraj
Rampal UPM - BH 31 Julai 2005 75% daripada remaja
yang berumur 22 tahun aktif sex (daripada 18,805
responden). 42.4% mengaku mempunyai pengalaman
seks (berumur 14-18 thn). Mengikut statistik,
pendaftaran kelahiran anak luar nikah dari tahun
2000 hingga 2008 adalah lebih dari 257,000 -
iaiatu 2,500 kes setiap bulan atau 83.3 kes setiap
hari atau satu kes setiap 17 minit 17 saat (sumber
Jabatan Pendaftaran Negara)
Kalau Allah nak siksa kita – habis dan ranap Malaysia
ini. Namun Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Kita selaku hambaNya – harus bersyukur
banyak-banyak kerana masih boleh membaca artikel
ini dan bertaubat kepada Allah. Semestinya kita
bersyukur kerana Allah masih beri kita peluang
untuk membaiki keadaan. Allah masih beri peluang
kita menghirup udara yang bersih. Allah masih beri
kita peluang untuk melihat alam yang serba indah
ini.
Sedarilah, Allah boleh menarik nikmat yang ada
pada kita satu demi satu.
Ringkasnya, kenalnya kita pada Allah akan
menyelamatkan kita dari mengeluarkan kata-kata
celupar yang akan mengundang kemurkaan Allah
swt. – akan menyelamatkan kita dari mempunyai
tanggapan salah kepada Allah swt. Sesungguhnya
jika kita kenal Allah – hidup ini akan lebih bermakna
dan bahagia.
Wassalam
Dr Hishamuddin Alham
No comments:
Post a Comment