Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Friday, September 3, 2010

10 Malam Terakhir sudah menjengah.

Yang menjadikan 10 malam terakhir Ramadhan
kali ini amat dikejari adalah kewujudan Lailatul
Qadr. Satu malam yang istimewanya melebihi
1000 bulan. Ia bukannya sama dengan seribu
bulan. Tetapi jauh lebih baik lagi.

Allah SWT sendiri mengisytiharkan sedemikian
dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam
malam Al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu
Malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik
dari sebulan bulan. Pada malam itu turunlah
para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin
Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah
malam itu sehingga terbitnya fajar” ayat 1-5.

Ini menyebabkan ramai yang teruja dengan Lailatul
Qadr. Hendak ibadahnya dikira seakan-akan dia
beribadah lebih dari 1000 bulan. Hendakkan dirinya
terampun dan sebagainya.

Tetapi, bila dilihat-lihat kembali, seakan wujud satu
lawak di dalam hal Lailatul Qadr orang kita.

Lailatul Qadr kamu, Lailatul Qadr aku:

“Semalam Lailatul Qadr la”

“Eh, mana ada. Seingat aku dua hari lepas la”

“Ya Allah, sungguh, aku nampak tanda-tandanya”

“Mustahil lah. Dua hari lepas tu aku nampak
tanda-tandanya, jelas sangat”

Mungkin ini antara perbualan yang anda akan
dengari sekiranya anda kaki mendengar perbualan
orang. Saya apabila mendengar perbualan ini dari
rakan-rakan saya, saya hanya tersengih sahaja.

Boleh pula seorang kata lailatul qadr malam ini dan
seorang lagi kata dua hari lepas. Mengapa ya?

Jawapannya mudah, seorang bangun qiamullail
malam tadi, manakala seorang lagi bangun
qiamullail dua hari lepas. Sedangkan pada dua
hari lepas, yang berqiamullail hari ini tidak bangun,
manakala pada hari ini, yang berqiamullail dua
hari lepas tidak bangun.

Maka jadilah lailatul qadr kamu, dan lailatul
qadr aku.

Masing-masing nak mengaku dirinya mendapat
lailatul qadr, pada hari dia bangun.

Mencari, bukan menunggu

Rasulullah SAW dalam mengejar Lailatul Qadr
telah menyatakan dengan jelas di dalam sabda
baginda:

“Carilah Malam Al-Qadr itu pada malam ganjil
ketika 10 malam terakhir” Hadith Sohih riwayat
Bukhari.

Rasulullah SAW dengan terang dan jelas
menyatakan: “Carilah”

Tiada perkataan ‘menanti’ atau ‘menunggu’ atau
mana-mana yang sekaum dengannya.

Dan mencari ini adalah bukan dengan ‘menunggu’
petanda pelik-pelik seperti pokok sujud, langit
terang, dan sebagainya. Mencari di sini adalah
dengan kita bersungguh-sungguh mengisi 10
malam terakhir itu dengan ibadah kepada
Allah SWT.

Hikmah disembunyikan Lailatul Qadr

Apakah hikmahnya Allah SWT menyembunyikan
malam yang hebat penuh barakah ini? Yang
Rasulullah SAW sabdakan sebagai:

“Barangsiapa yang mendirikan malam Al-Qadr
dengan penuh keimanan dan berkira-kira,
nescaya akan diampunkan buatnya segala
dosanya” Hadith riwayat Bukhari.

Hikmahnya adalah tersembunyi di dalam ayat
berikut:

“Adalah untuk melihat, di manakah antara kamu
yang terbaik amalannya” Surah Al-Mulk ayat 2.

Lailatul Qadr bukanlah untuk mereka yang
bermalas-malasan dan bermain-main dalam
beribadah kepada Allah SWT. Bukan untuk
mereka yang seakan-akan menanti durian
runtuh sambil bergoyang kaki, menanti
keampunan Allah dengan sambil lewa.
Bukan dan bukan.

Lailatul Qadr adalah rezeki daripada Allah
SWT yang diberikan hanya kepada mereka
yang berusaha.

Anda bayangkan, bagi mereka yang mendirikan
kesepuluh-sepuluh malam terakhir, apakah ada
kemungkinan mereka akan terlepas Lailatul Qadr?

Semestinya tidak.

Tetapi untuk yang lip lap lip lap?

Banyak lompong untuk Lailatul Qadr bolos
dari sisi mereka.

Ternyata, Lailatul Qadr hanya untuk hamba
Allah yang benar-benar bersungguh berusaha.

Jangan bermimpi hendak mendapatkan syurga
dengan bermain-main

Dan perkara ini jelas menunjukkan kepada kita
betapa perkara besar seperti keampunan Allah,
rahmatNya, syurgaNya, malam yang lebih baik
dari 1000 bulan, bukanlah perkara yang kita
boleh dapat dengan bernasib baik seakan-akan
bermain loteri.

Tiada orang akan mendapat syurga dengan
bermain-main.

Semua mendapatkannya dengan kesungguhan.

Begitulah mahalnya Al-Qadr.

Tidakkah kita memahami?

Dan untuk mereka yang telah berusaha
bersungguh-sungguh

“Ala, kalau sungguh-sungguh daripada awal,
tapi mungkin nanti malam lailatul qadr tu
tertidur ke, kan sia-sia juga”

Mungkin sebahagian kita bagi alasan begitu pula.

Tak mengapa. Terlepas pun tak mengapa kalau
kita dah sungguh-sungguh dari awal. Pada saya,
orang yang bersungguh-sungguh dari awal,
dia nampak kenapa dia beribadah, kenapa dia
bersungguh-sungguh. Dia menyembah Allah,
mengharap redha Allah. Bukannya dia
menyembah lailatul qadr, mengharap redha
malam itu kepadanya.

Dan jangan kita pandang enteng rahmat Allah
SWT kepada orang yang berusaha mendekati-Nya
dengan bersungguh-sungguh. Saya tak pernah rasa,
bahawa Allah SWT akan mesia-siakan
hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh itu.
Orang yang bersungguh-sungguh ini, pastinya Allah
akan berikan yang terbaik untuk-Nya.

Kalau tak dapat lailatul qadr, tapi dapat redha Allah,
dapat pengampunan Allah, bukankah itu sudah
dikira kemenangan?

Kalau dapat lailatul qadr, tapi kemudian tetap jadi
manusia ingkar, tak ikut peraturan yang Allah
tetapkan, maka apakah yang besarnya? Pahala
lebih dari 1000 bulan itu, kemungkinan akan susut
dengan sikap suka mengumpat, dengan dosa-dosa,
dengan menganiaya orang lain dan sebagainya.
Dapat lailatul qadr, lepas tak bangun dah qiam
pada malam-malam lain. Adakah itu kemenangan?

Sedangkan, kita semua faham bahawa bukanlah
lailatul qadr itu yang memberikan pahala. Allah
jugalah yang memberikan pahala kepada kita.

Penutup: Ramadhan masih belum berakhir

Ramadhan masih belum berakhir. 10 malam
terakhir masih belum tamat.

Hidupnya kita lagi pada hari ini tanda Allah
masih memberikan peluang kepada kita.

Maka sepatutnya kita tunjukkan kesyukuran
kita dengan serius mempertingkatkan amalan.

Apakah kita tidak beriman dengan ayatNya?

“Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan
tambahkan(nikmat pemberianKu)” Surah
Ibrahim ayat 7.

Jadi bergeraklah wahai hamba Allah.

Bergerak merembat segala peluang yang Dia
wujudkan untuk kamu hambaNya.

Selagi waktu dan nyawa masih ada pada kita.

Allahua'lam........

No comments:

Post a Comment