Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Wednesday, September 22, 2010

Nak Naik Harimau

Antara kisah yang biasa saya ceritakan dalam
permulaan ceramah Al-Quran dan Sains ialah
kisah anak saya dengan harimau.

Suatu hari, semasa kami sekeluarga pergi zoo,
anak saya yang ketika berumur 6 tahun
merengek …”abah nak naik harimau …. Abah
nak naik harimau …. “ Puas saya cuba yakinkan
bahawa harimau tu bukan jinak dan boleh
makan orang. Rupa-rupanya memang dia belum
kenal hakikat harimau itu.

Begitulah juga kita dengan Allah. Jika kita tidak
kenal Allah atau tak berapa kenal – kita akan
membuat pelbagai tanggapan yang salah dan
menyeleweng. Tanggapan itu lebih berasaskan
andaian dan bukan ilmu.

Ada yang menganggap dan mengakui Tuhan yang
menjadikan alam semesta ini. Selepas itu Tuhan
biarkan kita ini untuk menentukan nasib kita
sendiri. Rupa-rupanya pandangan ini juga
didokongi oleh Socrates. Maka dalam hidup ini
dia buat apa yang dia suka.

Ada yang begitu marah pada Tuhan – kerana
banyaknya bencana alam. Tuhan ni “bossy”
katanya. Mentang-mentang Tuhan – boleh
buat apa yang dikehendakiNya.

Mari kita kaji tanggapan yang kedua ini.
Tanggapan ini jelas menunjukkan sesaorang
itu tidak mengenali Allah, Tuhan yang Maha
Pengasih dan Lagi Maha Penyayang. Mengikut
Syed Sabiq – otak dan pemikiran kita ini akan
benar-benar teruja apabila kita gunakannya
untuk mengenali Allah. Untuk mengenali Allah
kita kaji Nama-Nama, Sifat-sifat Allah dan
seterusnya – kaji kejadianNya, tetapi jangan
kaji ZatNya – kelak anda akan sesat.

Hasil dari kedangkalan ilmu, manusia itu
hanya kenal Allah sebagai Maha Pengasih.
Manusia tidak menyedari Allah itu Maha Adil
– setiap tindakanNya bukan berasaskan nafsu
macam kita – tetapi berasaskan pada Ilmu
(Allah itu AL-‘Alim) dan Kebijaksanaan
(Al-Hakim). Cuba lihat ayat 61 surah An-Nahl
di bawah ini:

“Jikalau Allah menghukum manusia karena
kezalimannya, niscaya tidak akan ditinggalkan
Nya di muka bumi sesuatupun dari makhluk
yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka
sampai kepada waktu yang ditentukan. Maka
apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan)
bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundur
kannya barang sesaatpun dan tidak (pula)
mendahulukannya.”

Kalau Allah nak menghukum kita kerana kezaliman
kita – bayangkan apa yang akan terjadi. Namun
Allah itu mengangguhkannya. Cuba lihat kemungkaran
yang ada di Malaysia contohnya – banyaknya perlakuan
zina, maksiat dan sebagainya. Kajian PM Dr Lekhraj
Rampal UPM - BH 31 Julai 2005 75% daripada remaja
yang berumur 22 tahun aktif sex (daripada 18,805
responden). 42.4% mengaku mempunyai pengalaman
seks (berumur 14-18 thn). Mengikut statistik,
pendaftaran kelahiran anak luar nikah dari tahun
2000 hingga 2008 adalah lebih dari 257,000 -
iaiatu 2,500 kes setiap bulan atau 83.3 kes setiap
hari atau satu kes setiap 17 minit 17 saat (sumber
Jabatan Pendaftaran Negara)

Kalau Allah nak siksa kita – habis dan ranap Malaysia
ini. Namun Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Kita selaku hambaNya – harus bersyukur
banyak-banyak kerana masih boleh membaca artikel
ini dan bertaubat kepada Allah. Semestinya kita
bersyukur kerana Allah masih beri kita peluang
untuk membaiki keadaan. Allah masih beri peluang
kita menghirup udara yang bersih. Allah masih beri
kita peluang untuk melihat alam yang serba indah
ini.

Sedarilah, Allah boleh menarik nikmat yang ada
pada kita satu demi satu.

Ringkasnya, kenalnya kita pada Allah akan
menyelamatkan kita dari mengeluarkan kata-kata
celupar yang akan mengundang kemurkaan Allah
swt. – akan menyelamatkan kita dari mempunyai
tanggapan salah kepada Allah swt. Sesungguhnya
jika kita kenal Allah – hidup ini akan lebih bermakna
dan bahagia.

Wassalam

Dr Hishamuddin Alham

Saturday, September 18, 2010

Aku, Lim dan Islam

by Abdullah Dari Jeram Pasu

Aku punya seorang rakan baik dari zaman
kanak-kanak. Lim Wei Choon. Sana-sama
bersekolah rendah hingga ke peringkat
menengah . Selepas SPM. Aku masuk ke
Tingkatan 6, manakala Lim dihantar
keluarganya melanjutkan pelajaran ke
Amerika Syarikat. Kenangan sewaktu
kanak-kanak hingga ke zaman remaja
terlalu banyak yang dikongsi bersama.
Setiap kali hariraya menjelang, Lim pasti
berkunjung ke rumah ku untuk menikmati
dodol arwah ayahku yang amat digemarinya.

kadangkala, jika ada kenduri kendara dirumahku,
pasti Lim akan turut serta. Aku jarang ke rumahnya
kecuali umtuk beberapa sambutan seperti harijadi
dan juga Tahun Baru Cina. Aku takut dengan
anjing peliharaan keluarga Lim. Dengan Lim juga
aku belajar matematik manakala subjek Bahasa
Malaysia sering menjadi rujukannya padaku.

Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi
jeram, ponteng sekolah untuk melihat pertandingan
'breakdance', semuanya kami kongsi bersama-sama.
Apa yang ingin kunyatakan ialah, warna kulit dan
perbezaan ugama tidak pernah menjadi penghalang
persahabatan kami.

20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika
setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja
disana. Itu yang kuketahui dari kakaknya. Hubungan
ku dengan Lim terputus setelah dia melanjutkan
pelajaran. maklumlah, dizaman kami dulu tiada
internet, email atau telefon bimbit, yang ada cuma
sesekali menghantar poskad bertanya khabar.
Untuk menulis surat kepada lelaki amat malas
kami rasakan.

Suatu pagi. Aku bertembung dengan kakak Lim
di pasar , kakaknya memberitahu Lim akan pulang
ke tanahair. Dan aku amat terkejut dengan berita
yang kudengar dari kakaknya. " He's name is no more
Lim Wei Choon. He's now Ahmad Zulfakar Lim since
5 years ago. ..Subhanallah! Syukur Alhamdulillah,
rakan baikku telah menemui hidayah dari Allah S.W.T.
Memang aku tak sabar untuk berjumpa dengannya
lebih-lebih lagi setelah menjadi saudara seagama
denganku.

Hari yang kutunggu-tunggu telah tiba, dan petang itu
aku berkesempatan bertemu dengan Lim dirumahnya.
Ada satu keraian istimewa sempena menyambut
kepulangannya. Ketika aku tiba, tetamu sudah semakin
berkurangan.

....Itulah kalimat pertama dari mulutnya, wajahnya
sudah jauh berubah, air mukanya amat redup dan
tenang. Aku menjawab salam dan berpelukan
dengannya dan kami menangis umpama kekasih
yang sudah terlalu lama terpisah.

'Ini dia olang memang sudah manyak lama kawan,
dari kecik ini dua olang" Ibu Lim menjelaskan pada
beberapa orang tetamu yang melihat peristiwa kami
berpelukan dan menangis itu. Tetapi aku bukan
menangis kerana apa, tetapi kerana amat sebak dan
terharu dan sangat bersyukur melihat keislaman
rakanku.

Lim mengajak aku duduk dibuaian dihalaman
rumahnya untuk berbual-bual. beliau masih fasih
berbahasa melayu walau sudah lama berada
diperantauan.

Talha, kau kawan baik aku kan? betul tak?...

Memanglah..Kenapa kau tanya macam tu?

kalau kau kawan baik aku, Kenapa kau biarkan
aku diseksa?

Sorry Lim. Aku tak faham..diseksa? What do
you mean?

Cuba kau fikir, kita ni kawan dari kecil. Aku ingat
lagi, rumah kau tu, is my second house. Tapi,
mengapalah kau tak pernah ceritakan pada aku
tentang Islam? Mengapa aku kena pergi ke US baru
aku dapat belajar tentang Islam? Mengapa bukan
di Malaysia, negara Islam ni? Dan mengapa aku di
Islam kan oleh seorang bekas paderi kristian?

Aku terdiam, kelu tak mampu menjawab. Dan Lim
terus berkata-kata.

Kalau betullah kau kawan baik aku, Kenapa kau
cuma nak baik dengan aku di dunia saja? kau suka
tengok kawan baik kau ni diseksa didalam api neraka?

Kau tahu, kalaulah aku ni tak sempat masuk islam
hingga aku mati. Aku akan dakwa semua orang
melayu Islam dalam kampung kita ni sebab tak
sampaikan dakwah dan risalah Islam pada aku,
keluarga aku dan non muslim yang lain.

Kau sedar tak, kau dah diberikan nikmat besar oleh
Allah denagn melahirkan kau didalam keluarga
Islam. tapi, nikmat itu bukan untuk kau nikmati
seorang diri, atau untuk keluarga kau sendiri, kau
dilahirkan dalam Islam adalah kerana ditugaskan
untuk sampaikan Islam pada orang-orang yang
dilahirkan dalam keluarga bukan Islam macam aku.

Aku masih tunduk dan terkata apa-apa kerana
sangat malu.

Berdakwah adalah tugas muslim yang paling utama,
sebagai pewaris Nabi, penyambung Risalah. Tetapi
apa yang aku lihat, orang melayu ni tiadak ada roh
jihad, tak ada keinginan untuk berdakwah, macamana
Allah nak tolong bangsa melayu kalau bangsa tu
sendiri tak tolong ugama Allah?

Aku bukan nak banggakan diri aku, cuma aku kesal..
sepatutnya nikmat ini kau kena gunakan dengan
betul dan tepat, kerana selagi kau belum pernah
berdakwah, jangan kau fikir kau sudah bersyukur
pada Allah. Dan satu lagi, jangan dengan mudah
kau cop orang-orang bukan Islam itu sebagai kafir
kerana kafir itu bererti ingkar. Kalau kau dah
sampaikan seruan dengan betul, kemudian mereka
ingkar dan berpaling, barulah kau boleh panggil kafir.

Aku menjadi amat malu, kerana segala apa yang
dikatakan oleh Lim adalah benar! dan aku tak
pernah pun terfikir selama ini. Aku hanya sibuk
untuk memperbaiki amalan diri sehingga lupa pada
tugasku yang sebenar. Baru aku faham, andainya
tugas berdakwah ini telak dilaksanakan, Allah akan
memberikan lagi pertolongan, bantuan dan kekuatan
serta mempermudahkan segala urusan dunia dan
akhirat sesorang itu.

Petang itu aku pulang dengan satu semangat baru.
Aku ingin berdakwah! Lim yang baru memeluk Islam
selama 5 tahun itu pun telah mengislamkan lebih
20 orang termasuk adiknya. Mengapa aku yang hampir
40 tahun Islam ini (benarkah aku islam tulen) tidak
pernah hatta walau seorang pun orang bukan Islam
yang pernah kusampaikan dengan serius tentang
kebenaran Islam?

Semoga Allah mengampuni diriku yang tidak faham
apa itu erti nikmat dilahirkan sebagai Islam.

Thursday, September 16, 2010

SEBUAH KISAH HIKAYAT - HELAH SI PENJUAL AIS KRIM

Tersebut lah kisah, di suatu hari sekumpulan
penjual ais krim bertebaran ditengah kota.
"Ais krim, ais krim!" Teriak mereka.
"Macam-macam ais krim ada! Ais krim,
ais krim", teriak mereka lagi.

Ada sebahagian dari kumpulan mereka
mengedarkan flyers, 'kelebihan ais krim keladi',
ada pula flyers 'kelebihan aiskrim misai kucing'.
Ada pula yang sedang menggantung bunting
'penyatuan aiskrim durian dan ais krim cap eskimo'.

Manakala ada beberapa orang dari mereka
bertindak sebagai penceramah, ala-ala MLM,
mula bercerita tentang kelebihan ais krim yang
mampu membangunkan ekonomi masyarakat
kota... "Nabi mengutamakan pemakanan yang
sihat!!!" ujar penceramah-penceramah ini sambil
hal itu cuba dirujuk kepada kelebihan makan
aiskrim ini. "Nabi pun makan ketika lapar berhenti
sebelum kenyang!", ujar mereka lagi sambil cuba
mengaitkan hal itu dengan ais krim yang
sememangnya bersifat tidak mengenyangkan.

Di sebalik keghairahan ini kedapatan anak-anak
muda yang menggabungkan diri & turut sama
menjual ais krim-ais krim ini dengan penuh
istiqamah. Kebiasaannya, yang muda-muda
inilah yang memegang panji dan tunggak flyers,
yakni tugasnya mengedarkan flyers tentang ais
krim. Jika mereka mendengar ceramah dari
pihak atasan penjual ais krim tentang
kelebihan-kelebihan makan ais krim, maka ini
dianggap anak muda tunggak flyers ini sebagai
satu 'pencerahan'...

"Abu Khaldat telah menyatakan, bahawa Yang
diPertua Majlis Pemimpin mestilah dipegang
dari kalangan suku Qubaish, yakni suku yang
menjadi teras masyarakat kota". Ujar mereka
lagi, "Justeru, kita perlu memperteguhkan
ekonomi masyarakat kota! Kuatnya perniagaan
aiskrim ini, maka kuatlah masyarakat kota".
"Yaaa... Mari bangunkan ekonomi. Beli lah
aiskrim. Makan aiskrim! Beraiskrimlah kota ku"
jawab sebahagian dari mereka bertaqlid
menyambung sahaja kalimat yang dibawa
kelompok penjual aiskrim ini. Terutama
anak-anak muda yang naif dan masih mentah
mengenal erti kehidupan.

Sebahagian masyarakat yang mendengar
tercengang-cengang, tergaru-garu kepala...
Apa kena mengena saranan Abu Khaldat
tentang Yang diPertua Majlis Pemimpin dari
kalangan Qubaish, dengan ais krim, ekonomi ini.
Masyarakat kota semakin pening dengan
keghairahan penjual ais krim ini.

Syahdan, dihujung kota, seorang Doktor, yang
cukup arif dengan sejarah budaya makan ais
krim ini menulis risalah, siri "Pelajarilah asal
usul Mu: Jangan terperangkap dengan budaya
makan ais krim". Hal ini cukup merimaskan
pihak atasan penjual ais krim ini. Pihak atasan
penjual ais krim ini juga mereka-reka cerita
tentang Doktor dan persatuannya yang tak ada
kena mengena. Jauh sekali menjawab isu yang
dibawa.

Tambah merimaskan lagi, sebahagian anak muda
(yang dikenali dengan panggilan manja 'tunggak
flyers' tadi), sering menerima macam-macam
persoalan dari sekumpulan anak-anak muda
yang lain yang banyak membaca info-info kesihatan.
Hal ini tidak menyenangkan pihak penjual ais krim,
kerana, mereka tidak suka orang-orang yang banyak
soal dan kritis. Mereka lebih gemar orang yang
menelan sahaja ais krim yang diberikan tanpa
banyak tanya dan persoalan.

Berbalik kepada cerita anak muda yang banyak
membaca info kesihatan ini, mereka tidak
berhenti-henti bertanya & bertanya persoalan-
persoalan tentang ais krim. Begitu juga halnya
dengan Doktor penulis siri "Pelajarilah asal usul Mu:
Jangan terperangkap dengan budaya makan ais krim",
tidak berhenti-henti mengeluarkan siri risalah tersebut.

Akhirnya, apa yang boleh mereka kata adalah,
"Kami tidak menyeru kepada budaya makan
aiskrim yang boleh merosakkan gigi dan
menyebabkan kencing manis, Akan tetapi kami
menyeru kepada 100% budaya keusahawanan yang
boleh memartabatkan ekonomi masyarakat kota ini...".
Ujar mereka lagi, "Aiskrim-aiskrim ini hanya wasilah!
Jika kuatnya perniagaan ini, maka kuat lah masyarakat
kota ini!".

Itu lah namanya helah penjual aiskrim...

Tuesday, September 7, 2010

TAZKIRATUL MAUT......

Assalamu’alaikum warahmatullah…..

Alhamdulillah Allah masih memanjangkan
usia kita untuk terus menempuhi akhir
Ramadhan 1431H. Namun ada juga antara
kita yang tak sempat bersama hingga ke
akhir... Namun, ajal maut di tangan Tuhan...
kita berdoa khususnya di bulan yang mulia
ini agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita
yang telah lalu, meredhakan kita ke JannahNya
dan menjauhkan kita dari seksaan api nerakaNya.

Saidina Ali r.a. pernah berkata, "Bahawa manusia
itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia
terjaga dari tidurnya". Demikianlah orang yang
tidak ingat mati, akan sentiasa lalai seperti orang
yang tertidur lena. Dia akan terkejut ketika
kematian datang secara mendadak. Tetapi kalau
orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau
tazkiratul maut, maka kematian bagi mereka
ibarat jambatan menuju pertemuan dengan Allah
yang sering disebut dan diingatnya. Begitulah yang
dirasai oleh Nabi Ibrahim Khalilullah, kekasih
Allah. Baginda amat gembira menghadapi kematian.

Saya juga memperingatkan diri sendiri dan keluarga
tentang pesanan Rasulullah apabila ditanya
"siapakah yang lebih utama di kalangan orang
yang beriman?". Jawab Rasulullah s.a.w., "Orang
yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah
mereka yang berakhlak mulia". Apabila ditanya
lagi, "siapakah orang yang paling cerdik di kalangan
orang yang beriman?". Jawab Nabi s.a.w., "Orang
yang paling cerdik ialah mereka yang banyak
mengingati mati, dan banyak membuat persiapan
untuk menghadapi mati". Pesanan ini diriwayatkan
oleh Abdullah bin Umar r.a.

Justeru, kita tidak boleh berlengah-lengah,
bertangguh-tangguh dalam mengejar pahala,
memohon keampunan, memburu peluang berjihad
di jalanNya...sebagai bekalan menghadapi maut.
Janganlah terlena dibuai duniawi dan hanya terkejut
dari tidur di saat kematian. Setiap detik harus
digunakan untuk memastikan kita menegakkan
agama Allah dalam diri, keluarga, masyarakat,
negara dan dunia....selagi nyawa dikandung badan!

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk
menyeru kita terus memburu malam Al-Qadar,
mengeluarkan zakat dan sedekah, mencari
peluang berkhidmat dan berbakti kepada umat
serta meneruskannya dalam bulan-bulan selepas
Ramadhan. Saya dan keluarga mengucapkan
Salam Eidil Fitri, Minnal Aidin Wal Faaizin,
Kullu 'Aam Wa Antum Bi Khair, Taqaballahu
minna wa minkum, taqabbal ya kariem....
Salam ukhuwwah dan maaf zahir batin……


Friday, September 3, 2010

10 Malam Terakhir sudah menjengah.

Yang menjadikan 10 malam terakhir Ramadhan
kali ini amat dikejari adalah kewujudan Lailatul
Qadr. Satu malam yang istimewanya melebihi
1000 bulan. Ia bukannya sama dengan seribu
bulan. Tetapi jauh lebih baik lagi.

Allah SWT sendiri mengisytiharkan sedemikian
dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam
malam Al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu
Malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik
dari sebulan bulan. Pada malam itu turunlah
para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin
Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah
malam itu sehingga terbitnya fajar” ayat 1-5.

Ini menyebabkan ramai yang teruja dengan Lailatul
Qadr. Hendak ibadahnya dikira seakan-akan dia
beribadah lebih dari 1000 bulan. Hendakkan dirinya
terampun dan sebagainya.

Tetapi, bila dilihat-lihat kembali, seakan wujud satu
lawak di dalam hal Lailatul Qadr orang kita.

Lailatul Qadr kamu, Lailatul Qadr aku:

“Semalam Lailatul Qadr la”

“Eh, mana ada. Seingat aku dua hari lepas la”

“Ya Allah, sungguh, aku nampak tanda-tandanya”

“Mustahil lah. Dua hari lepas tu aku nampak
tanda-tandanya, jelas sangat”

Mungkin ini antara perbualan yang anda akan
dengari sekiranya anda kaki mendengar perbualan
orang. Saya apabila mendengar perbualan ini dari
rakan-rakan saya, saya hanya tersengih sahaja.

Boleh pula seorang kata lailatul qadr malam ini dan
seorang lagi kata dua hari lepas. Mengapa ya?

Jawapannya mudah, seorang bangun qiamullail
malam tadi, manakala seorang lagi bangun
qiamullail dua hari lepas. Sedangkan pada dua
hari lepas, yang berqiamullail hari ini tidak bangun,
manakala pada hari ini, yang berqiamullail dua
hari lepas tidak bangun.

Maka jadilah lailatul qadr kamu, dan lailatul
qadr aku.

Masing-masing nak mengaku dirinya mendapat
lailatul qadr, pada hari dia bangun.

Mencari, bukan menunggu

Rasulullah SAW dalam mengejar Lailatul Qadr
telah menyatakan dengan jelas di dalam sabda
baginda:

“Carilah Malam Al-Qadr itu pada malam ganjil
ketika 10 malam terakhir” Hadith Sohih riwayat
Bukhari.

Rasulullah SAW dengan terang dan jelas
menyatakan: “Carilah”

Tiada perkataan ‘menanti’ atau ‘menunggu’ atau
mana-mana yang sekaum dengannya.

Dan mencari ini adalah bukan dengan ‘menunggu’
petanda pelik-pelik seperti pokok sujud, langit
terang, dan sebagainya. Mencari di sini adalah
dengan kita bersungguh-sungguh mengisi 10
malam terakhir itu dengan ibadah kepada
Allah SWT.

Hikmah disembunyikan Lailatul Qadr

Apakah hikmahnya Allah SWT menyembunyikan
malam yang hebat penuh barakah ini? Yang
Rasulullah SAW sabdakan sebagai:

“Barangsiapa yang mendirikan malam Al-Qadr
dengan penuh keimanan dan berkira-kira,
nescaya akan diampunkan buatnya segala
dosanya” Hadith riwayat Bukhari.

Hikmahnya adalah tersembunyi di dalam ayat
berikut:

“Adalah untuk melihat, di manakah antara kamu
yang terbaik amalannya” Surah Al-Mulk ayat 2.

Lailatul Qadr bukanlah untuk mereka yang
bermalas-malasan dan bermain-main dalam
beribadah kepada Allah SWT. Bukan untuk
mereka yang seakan-akan menanti durian
runtuh sambil bergoyang kaki, menanti
keampunan Allah dengan sambil lewa.
Bukan dan bukan.

Lailatul Qadr adalah rezeki daripada Allah
SWT yang diberikan hanya kepada mereka
yang berusaha.

Anda bayangkan, bagi mereka yang mendirikan
kesepuluh-sepuluh malam terakhir, apakah ada
kemungkinan mereka akan terlepas Lailatul Qadr?

Semestinya tidak.

Tetapi untuk yang lip lap lip lap?

Banyak lompong untuk Lailatul Qadr bolos
dari sisi mereka.

Ternyata, Lailatul Qadr hanya untuk hamba
Allah yang benar-benar bersungguh berusaha.

Jangan bermimpi hendak mendapatkan syurga
dengan bermain-main

Dan perkara ini jelas menunjukkan kepada kita
betapa perkara besar seperti keampunan Allah,
rahmatNya, syurgaNya, malam yang lebih baik
dari 1000 bulan, bukanlah perkara yang kita
boleh dapat dengan bernasib baik seakan-akan
bermain loteri.

Tiada orang akan mendapat syurga dengan
bermain-main.

Semua mendapatkannya dengan kesungguhan.

Begitulah mahalnya Al-Qadr.

Tidakkah kita memahami?

Dan untuk mereka yang telah berusaha
bersungguh-sungguh

“Ala, kalau sungguh-sungguh daripada awal,
tapi mungkin nanti malam lailatul qadr tu
tertidur ke, kan sia-sia juga”

Mungkin sebahagian kita bagi alasan begitu pula.

Tak mengapa. Terlepas pun tak mengapa kalau
kita dah sungguh-sungguh dari awal. Pada saya,
orang yang bersungguh-sungguh dari awal,
dia nampak kenapa dia beribadah, kenapa dia
bersungguh-sungguh. Dia menyembah Allah,
mengharap redha Allah. Bukannya dia
menyembah lailatul qadr, mengharap redha
malam itu kepadanya.

Dan jangan kita pandang enteng rahmat Allah
SWT kepada orang yang berusaha mendekati-Nya
dengan bersungguh-sungguh. Saya tak pernah rasa,
bahawa Allah SWT akan mesia-siakan
hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh itu.
Orang yang bersungguh-sungguh ini, pastinya Allah
akan berikan yang terbaik untuk-Nya.

Kalau tak dapat lailatul qadr, tapi dapat redha Allah,
dapat pengampunan Allah, bukankah itu sudah
dikira kemenangan?

Kalau dapat lailatul qadr, tapi kemudian tetap jadi
manusia ingkar, tak ikut peraturan yang Allah
tetapkan, maka apakah yang besarnya? Pahala
lebih dari 1000 bulan itu, kemungkinan akan susut
dengan sikap suka mengumpat, dengan dosa-dosa,
dengan menganiaya orang lain dan sebagainya.
Dapat lailatul qadr, lepas tak bangun dah qiam
pada malam-malam lain. Adakah itu kemenangan?

Sedangkan, kita semua faham bahawa bukanlah
lailatul qadr itu yang memberikan pahala. Allah
jugalah yang memberikan pahala kepada kita.

Penutup: Ramadhan masih belum berakhir

Ramadhan masih belum berakhir. 10 malam
terakhir masih belum tamat.

Hidupnya kita lagi pada hari ini tanda Allah
masih memberikan peluang kepada kita.

Maka sepatutnya kita tunjukkan kesyukuran
kita dengan serius mempertingkatkan amalan.

Apakah kita tidak beriman dengan ayatNya?

“Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan
tambahkan(nikmat pemberianKu)” Surah
Ibrahim ayat 7.

Jadi bergeraklah wahai hamba Allah.

Bergerak merembat segala peluang yang Dia
wujudkan untuk kamu hambaNya.

Selagi waktu dan nyawa masih ada pada kita.

Allahua'lam........