Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Saturday, October 16, 2010

SAYANGI DAN BERSYUKURLAH DENGAN
KEHADIRAN SEORANG YANG BERGELAR
SUAMI !!!

SUATU PERJALANAN

“Tanggungjawab suami selain memberi nafkah
dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak
dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih
faham, jangan cepat menuding jari. Duduk
berbincang dan cari kata sepakat. Tiada
bumi tak ditimpa hujan.”

Teringat pesan ayah di suatu petang...
“Ayah dulu bila arwah mak mula bising
bersuara, ayah tak balas dengan kata-
kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi
ke Behrang cari mee goreng mamak.
Bila sampai saja di rumah, ayah hulur
pada arwah Mak, muka yang tadi masam
terus tersenyum riang. Suami kena tahu
kesukaan isteri, supaya mudah memujuk
hati,” ayah menambah berkongsi
pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri
bukan boleh dicapai sehari dua. Ia
merupakan satu perjalanan sepanjang
usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan
pastinya tidak sama, di awal, pertengahan
dan di hujungnya. Justeru, sikap saling
memberi dan menerima sangat perlu di
pupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri
untuk saling melengkapi. Menerima
kekurangan untuk saling menginsafi,
suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan
kebaikan suami kerana benci dengan
sikapnya yang tidak menyenangkan hati.
Silap menjadi dosa andai keistimewaan
suami orang yang sering dibicara.
Keburukan suami dijaja, atas alasan minta
nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya
kalau semua orang bercerita. Rasulullah
SAW pernah mengingatkan melalui
sabdanya yang bermaksud:

“Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih
banyak di neraka” Seorang wanita lalu bangun
bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang
demikian? Adakah sebab kami ini kufur?”
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan
begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang
tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu
ke dalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.”


Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah
kata. Suami yang tak tahu menahu, terus
buat biasa. Muka isteri semakin kelat,
hilang serinya. Menahan ego diri, ingin
dipujuk dengan kata cinta, namun tidak
berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-
tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah
siapa agaknya, bila masing-masing
memendam rasa. Kasih mula bertukar
marah. Marah marak menyala benci.

YANG LEBIH, YANG KURANG

“Awak beruntung ye, dapat suami yang
memahami. Tak seperti saya. Hari-hari
menjeruk rasa,” luah seorang teman yang
baru beroleh cahaya mata.
“Suami saya juga ada kurangnya. Tapi
kelebihannya lebih banyak untuk saya
perkatakan. Saya pun isteri yang ada
salah dan silap,” jawab saya supaya
dia buka mata.
“ Ada suami yang tak pandai urusan rumah
tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah
suasana. Ada suami yang jarang
menghadiahkan bunga, tapi selalu
membelanja anak dan isteri dengan makanan
istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak
reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah
bertoleransi bila diminta bantu sini dan
sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil
kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah
beroleh suami seperti dia.” pujuk saya lagi.
Moga-moga dia berubah hati.
Kembali ‘memandang tinggi’ kehadiran
seorang suami.

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula
suami isteri, buang yang keruh, ambil
yang jernih. Baru teguh peribadi.”
Wahai teman bergelar isteri, mari kita
muhasabah diri. Mohon keampunan dari
Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali.
Banyakkan istighfar dan juga sedekah,
kerana janji Allah setiap kebaikan
menghapus kejahatan.

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari
lelaki bernama suami. Jangan bertangguh
dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada
serinya lagi. Pandang wajahnya, lihat
matanya. Bisikkan di sanubari, “Terima
kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri
ini.”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..


No comments:

Post a Comment