Kahwin dengan gadis lumpuh, buta, pekak dan bisu!!!
Ramai di antara kita mungkin pernah mendengar cerita ini. Ada yang percaya, ada yang tidak. Ada yang berpendapat ia hanya rekaan semata-mata.
Namun terdapat banyak riwayat yang menunjukkan ia benar-benar berlaku dan bukan rekaan.
Pada suatu hari, seorang pemuda bernama Thabit bin Ibrahim berjalan-jalan di kebun buah-buahan di Kufah. Dia melintasi sebuah kebun epal dan terjumpa sebiji epal yang gugur ditiup angin. Dia mengambil epal tersebut dan terus memakannya. Belum sempat menghabiskannya, tiba-tiba dia teringat bahawa epal itu bukan kepunyaannya, bagaimana dia boleh memakannya?
Dengan tergesa-gesa dia memasuki kebun itu dan bertemu dengan seorang lelaki yang sedang menguruskannya. Dia meminta maaf kerana telah memakan epal dari kebun itu tanpa izinnya. Lelaki itu berkata bahawa dia bukan pemiliknya tetapi hanyalah seorang pekerja sahaja.
Thabit bertanya di manakah tuannya?
Lelaki itu menjawab rumah pemilik kebun ini sejauh perjalanan satu hari satu malam!
Didorong oleh sifat taqwa dan waraknya dia sanggup berjalan dengan bersusah payah satu hari satu malam untuk meminta maaf dengan tuan kebun kerana telah memakan separuh biji epal tanpa izinnya.
Setibanya di rumah pemilik kebun, dia segera berkata: maafkan saya kerana telah memakan separuh biji epal tanpa keizinan tuan. Inilah separuh baki yang belum saya makan!
Pemilik kebun yakin bahawa tidak ada orang yang sanggup buat begini kecuali seorang yang benar-benar soleh.
Maka dia berkata dengan tegas: saya akan maafkan kamu, tetapi dengan satu syarat!
Thabit bertanya: apakah syarat tuan?
Pemilik kebun menjawab: saya ada seorang anak gadis yang buta, bisu, pekak serta lumpuh. Saya mahu kamu menikahinya!
Thabit berfikit seketika. Kemudian menyetujuinya asalkan dia mendapat kemaafan kerana telah memakan epalnya. Pada fikirannya perkahwinan ini mungkin satu ujian untuk dia mendapat pahala daripada Allah ‘Azza wa Jalla.
Aqad nikahpun dilangsungkan.
Setelah sempurna aqad dan sahlah dia sebagai suami, ditunjukkan kepadanya kamar isteri yang belum dikenali kecuali seorang yang cacat.
Dia memberi salam: assalamu’alaikum…
Tiba-tiba wanita itu bangkit berdiri sambil menjawab salamnya: wa’alaikumus-salam…
Thabit terpinga-pinga kehairanan…
Dia bertanya apa maksud kata-kata ayahnya yang menyifatkannya sebagai buta, pekak, bisu dan lumpuh?
Isterinya menjawab: ayahku berkata benar. Saya buta daripada memandang perkara yang haram, pekak daripada mendengar perkara yang dimurkai Allah, bisu daripada bercakap perkara yang dilarang dan lumpuh kerana kaki ini tidak pernah membawa saya ke tempat maksiat.
Thabit menceritakan: aku renung wajahnya, sesungguhnya dia sangat cantik laksana bulan pernama!
Perkahwinan ini dilimpahi dengan keberkatan. Daripadanya lahir seorang anak yang diberkati. Kemasyhuran serta ilmunya memenuhi bumi. Anak itu ialah Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thabit (80H/699M – 150H/767M) rahimahullah, pengasas salah satu Mazhab Fiqh yang terkenal.
No comments:
Post a Comment