Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Tuesday, October 25, 2011

KEAJAIBAN TENAGA CINTA

Kalaulah kemenangan yang di impikan oleh Rasulullah
SAW sebatas kemenangan politik semata-mata maka
baginda tidak memerlukan waktu yang panjang kerana
sejak dari awal baginda memiliki garis keturunan yang
berpeluang untuk beroleh kekuasaan.

Tidak ada cercaan, tidak ada derita dan tidak perlu
berdarah-darah kerana kedudukan baginda di tengah-
tengah kaumnya memberi peluang yang besar bagi
baginda untuk berkuasa.

Baginda sedar betul apakah ertinya berkuasa. Jika
kendali kekuasaan adalah hawa nafsu dan kedurjanaan,
maka kekuasaan seperti itu akan menenggelamkan
nilai-nilai peradaban dan melumatkan seluruh bangunan
kehidupan.

Mungkinkah kebahagiaan akan mampu diukir di atas
puing-puing kehancuran dan rosak binasanya nilai
moral?
Baginda menaruh harapan besar dari kekuasaan dan
menginginkan perubahan yang besar, namun apa ertinya
kekuasaan jika tidak ada perubahan?
Baginda sedar bahwa baginda adalah pendakwah sebelum
pemimpin. Bagindapun sedar bahwa tentangan kepada
seorang pendakwah jauh lebih besar dari seorang pemimpin.

Membangun cita-cita besar memerlukan :
- Dukungan individu.
- Kecukupan dana.
- Persediaan kemudahan.

Tuntutan daya dukung semakin besar apabila cita-cita
semakin besar. Terasa berat untuk menegakkan cita-cita
apabila sokongan tidak ada dalam genggaman.
Jika hanya bergantung kepada daya dukung material
semata-mata, maka tidak ada harapan bagi kemenangan.

Namun sejarah sering mempertontonkan kepada kita bahwa
sesuatu kerja boleh menjadi fantastik yang mungkin dianggap
tidak waras apabila ianya bermodalkan kekuatan cinta.
Seberat apapun kerja tidak akan terlontar perkataan tidak
boleh serta tidak ada keluh kesah apalagi putus asa bagi para
pencinta.

Cinta telah menjadikannya bertenaga dan kerja besar menjadi
rasional.
Bukankah seorang ibu rela menggadai nyawa demi lahirnya si
buah hati kerana dorongan cinta?
Bahkan ada seorang ibu yang rela bersemuka dengan seekor
harimau demi menyelamatkan darah dagingnya dari terkaman
haiwan liar ini.
Andainya fanatik cinta kepada makhluk mampu mendatangkan
keajaiban, apatah lagi cinta kepada Al Khaliq sesungguhnya
lebih dahsyat dan mengkagumkan.

“Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah
tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya
sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang
yang beriman Amat sangat cintanya kepada Allah”.

Cinta Rasulullah SAW pada Ar-Rahman dan kekuatan
baginda pada kebenaran serta kasih sayang baginda pada
masalah umat menjadi modal besar sebuah kejayaan.
Baginda rela membayar cintanya dengan pengorbanan
sehingga kakinya yang bengkak tidak terasa, saat indah
bercinta dengan Ar-Rahman di tengah keheningan malam.

Pujuk rayu dan tarikan-tarikan kekuasaan sehingga
kepada ancaman dan bahaya tidak dipedulikan demi
cintanya pada kebenaran.
Anak saudara mana yang tidak cinta kepada bapa
saudaranya yang telah mendidik dan membesarkannya,
namun ketika cinta yang diberikan perlu menggantikan
cintanya pada dakwah dan perjuangan, maka kalimah
penolakanlah yang terlontar :
“Demi Allah wahai bapa saudaraku andaikan Quraish
meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di
tangan kiriku agar aku meninggalkan dakwah ini, sungguh
aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah memenangkanku
atau aku binasa kerananya”.

Dengan cinta, baginda menyeru semua orang agar terbebas
dari siksa yang menyakitkan, kerabat dekat atau jauh,
kenal ataupun tidak kenal tanpa ada yang terabai.
Harta, tenaga, waktu dan pembiayaan baginda habiskan
semata-mata untuk menebus rasa cinta.
Tidak kenal waktu, tidak kenal jarak, tidak kenal panas
terik baginda melangkah menyeru semua umat manusia
dengan bahasa cinta.

Gelombang cintanya telah memanjangkan ayunan
langkahnya menyusuri seluruh negeri mencari setiap
insan yang bersedia untuk membalas cintanya.
Namun setiap orang curiga, memfitnah, mengancam
hingga kepada menyiksa di mana mereka meragukan
cinta tulus dari seorang pendakwah.

Baginda sentiasa membalas setiap cercaan dan derita
dengan pemakluman dan doa, tiada sumpah seranah
buat kejahilan umat, apalagi dipanjatkan doa akan
turunnya azab yang mem-binasakan.

Cintanya kepada umat membuatkan :
Baginda kurang memberi perhatian terhadap keperluan
dirinya sendiri.
Baginda rela tidak makan asalkan umatnya makan.
Baginda rela mengalahkan segala kepentingannya demi
kemaslahatan umat.
Baginda sering menangis menadah tangan bermohon
kepada Ar-Rahman agar umatnya berjalan di atas
kebenaran dan terhindar dari azab yang menyakitkan
“Allahumma Ummati…”, Ya Allah Ummatku, kemudian baginda menangis.

Cinta baginda memang cinta sejati bahkan baginda tidak
hanya mengungkapkan cintanya di kala miskin dan
membenci di kala berkuasa.
Bukankah pembukaan Makkah merupakan puncak
kemenangan dan itulah saatnya untuk melampiaskan
dendam, namun di tengah kuasa dan kejayaan itu,
senandung cinta tidak pernah luntur dari lisan baginda.

Ketakutan pendukung kebatilan hilang seketika demi
mendengar ucapan pembebasan baginda sebagai
ungkapan cinta nan tulus dari seorang pendakwah
dan ‘murabbi‘ :

“Pergilah kamu, kamu semua bebas”.

Hati yang keras tiba-tiba hancur luluh.
Mata yang kering seketika berlinang dengan air mata.
Kebencian yang terpendam dalam seketika keluar
berganti cinta kasih.

Maka, sejurus itu, cinta telah berbalas dengan cinta,
‘Allahu Akbar’ ! manusia berduyun-duyun datang
pasrah dengan penuh keridhaan masuk ke dalam
barisan Ar-Rahman.
Cinta tersebut telah diwarisi kepada para sahabat,
tabi’in dan generasi penerus mereka para pendakwah
dan ‘murabbi’. Berbekalkan Al Qur’an dan semangat
cinta, mereka pecut kuda-kuda mereka menuruti
langkah mengungkapkan rasa cinta dan berkongsi
bahagia dengan semua umat manusia.

Tidak terlontar perkataan letih, tiada kelesuan juga
tiada perasaan kebosanan bahkan bahagia kian hari
kian memuncak.
Tidak ada satupun halangan yang boleh menghambat
langkahnya untuk mengungkap cintanya.

Ketiadaan dana, kenderaan dan kemudahan bukan
alasan bagi mereka. Semangat mereka telah menyiapkan
wasilah melebihi wasilah material. Meskipun keadaan
alam kadang-kadang menyekat langkah mereka, namun
semangat mereka tidak pernah padam.

Lihatlah ungkapan semangat Uqbah bin Nafi’ ketika
langkahnya terhalang di tepi lautan Atlantik, beliau
mengatakan :
“Ya Allah ku persaksikan dihadapanmu, kalaulah bukan
kerana lautan ini, akan ku buka seluruh negeri dan akan
ku Islamkan mereka semuanya” .
Mereka menolak cinta mereka dibatasi oleh wilayah dan
jumlah bahkan mereka ingin menjadi pendakwah dan
‘murabbi’ di seluruh dunia.

Begitulah ‘muassis’ (perintis) dakwah ini, Imam Hasan
Al-Banna membahasakan cintanya :
“Kerana itu kita berusaha agar dakwah sampai ke setiap
rumah muslim, suaranya didengar di setiap tempat, dan
fikrah kita tersebar serta menembusi perkampungan,
desa, bandar, pusat bandar dan bandar besar … Kita
tidak pernah letih dan tidak akan mengabaikan satu
wasilah sekalipun”.

Lihatlah bagaimana semangat juang mereka telah
menghantarkan mereka ke negeri yang tidak pernah
mereka kenali sebelumnya.
Meskipun mereka tidak pernah ikut ‘daurah murabbi’,
namun rasa kemuliaan diri mereka sebagai pendakwah
dan ‘murabbi’ telah membuatkan mereka percaya kepada
diri mereka.

Membina umat yang bekerja membuatkan mereka
merasa bahagia dan oleh kerananya mereka tidak
perlu kepada ‘taklimat’ dan ‘motivasi.’ Mereka tidak
perlu kepada arahan kerana kesedaran mereka telah
mengarahkan diri mereka untuk menjadi ‘murabbi’.

Mereka sering mengungkap senandung cinta mereka :
“Aku berkeyakinan bahwa jiwa terbaik adalah
jiwa-jiwa mulia yang merasakan kebahagiaan saat
membahagiakan dan membimbing orang lain”.

Hari ini, esok dan akan datang, sepanjang zaman umat
manusia masih memerlukan sentuhan cinta seorang
pendakwah dan ‘murabbi’.

Pandanglah umat dengan hati yang jernih, lihat dan
saksikan mereka, kini mereka menanti dan berharap
dakapan cinta dari seorang pendakwah.
Mereka memerlukan cahaya, mereka memerlukan air
ketenteraman yang akan membahagiakan, mereka
ingin bebas dari kenistaan jahiliyah dan mereka
menangis menanti datangnya hidayah namun mereka
tidak memiliki daya.

Adakah seorang pendakwah itu bakhil dengan hidayah
padahal dia datang kepadanya dengan percuma, hidayah
bukanlah monopoli perseorangan akan tetapi milik
semua orang.
Mereka adalah sebahagian dari tubuh kita, mereka
saudara kita. Jumlah mereka bukan satu bukan dua
akan tetapi jutaan, patut kah kita membiarkan mereka?

Wahai pewaris risalah suci!!,
Patutkah cinta para Nabi padam di tangan kita yang
menamakan diri kita sebagai pendakwah?
Patutkah kita cinta kepada mereka di saat kita tidak
berpunya dan tidak lagi mencintai mereka kerana kini
kita sibuk dengan harta dan kuasa?

Ya Allah, kurniakanlah rasa cinta kami kepada umat ini
sehingga mereka mampu menyahut seruanMu dan
bangkit memenuhi panggilanMu. Jadikanlah kami
pendakwah dan murabbi yang membina manusia
dengan cinta kerana dengan dorongan cinta sejati
itulah kami mengharapkan hati-hati manusia dapat
dipaut untuk menuju jalanMu yang lurus dan
menyelamatkan mereka dari azab yang mengerikan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAN AHMAD

Thursday, September 8, 2011

MANUSIA SELEPAS RAMADHAN

Malam-malam kita tidak lagi seperti sebulan
yang lepas, yang syahdu di bawah lantunan
kalam Ilahi dari para imam-imam tarawih.

Penghujung malam kita pun tidak seperti se-
belumnya lagi, yang larut dalam tahajjud panjang,
lalu menggamit keberkatan sahur, sambil berzikir
dan beristighfar di sela-sela sisa waktunya.

Saat waktu Subuh tiba, saf-saf di masjid terlihat
lebih padat dibandingkan waktu Subuh di luar
Ramadhan. Selepas solat, sebahagian makmum
lebih memilih untuk duduk berzikir menanti
waktu syuruq, mereka berlumba-lumba mengejar
pahala haji dan umrah yang disempurnakan
dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat.

Solat kita pun tidak segagah di bulan Ramadhan
lagi di mana kita lebih bersemangat memburu lima
waktu berjamaah di masjid. Mengejar untuk meng-
khatamkan Al Qur’an berulang kali, berlama-lama
di masjid untuk satu, dua atau bahkan tiga juz Al
Qur’an setiap hari.

Suasana petang hari kita tidak lagi disibukkan
dengan zikir petang dan doa. Sebelum ini kita
larut dalam detik mustajab menjelang masuknya
waktu Maghrib, menikmati dua ganjaran kebahagiaan;
bahagia kerana berbuka dan bahagia kerana puasa
kita menjadi ‘wasilah bertemu’ dengan Allah swt.

Setelah semua keindahan suasana itu berlalu, lantas
bagaimana dengan hari ini, selepas Ramadhan?
Bukankah Rabb yang menjanjikan ganjaran berlipat
kali ganda selama Ramadhan juga adalah Rabb yang
sama ketika di luar Ramadhan?

Ada kata-kata yang menarik yang menyedarkan kita
akan perkara ini :
"Kun rabbâniyyan, wa lâ takun ramadhâniyyan"
(Jadilah hamba Rabbani bukan hamba di bulan
Ramadhan)
Jangan menjadi manusia Ramadhan, yang kuat
ibadahnya kerana berada di bulan Ramadhan sahaja,
kerana setelah bulan itu berlalu, ia tidak akan me-
ngalami perubahan hidup untuk menjadi lebih bertaqwa.

Namun jadilah manusia selepas Ramadhan yang :
- Memiliki nilai keperibadian diri.
- Merasai perhambaan kepada Allah yang tidak
kenal henti.
- Bertakwa tanpa batas.
- Menepati sasaran yang diharapkan dari penggem-
belengan yang dilakukan selama sebulan.
- Nilai ibadahnya terus meningkat sekali pun ia telah
berada di luar bulan Ramadhan.

Para sahabat menyiapkan diri mereka selama enam
bulan untuk menyambut kehadiran tamu agung ber-
nama Ramadhan.

Pastinya mereka bermati-matian untuk beribadah
sepenuh masa selama sebulan penuh itu seumpama
bertemu dengan seorang yang dirindui di mana kita
ingin berlama-lamaan bersama dengannya, menjamu,
memberinya layanan sebaik mungkin dan sudah tentu-
nya kita akan merasakan kesedihan yang amat sangat
ketika perlu berpisah dengannya.

Perkara yang sama dirasakan oleh para sahabat Nabi
di penghujung Ramadhan di mana mereka tidak
gembira dengan baju baru, kueh-mueh dan makanan
sempena Aidil Fitri sepertimana masyarakat secara
umumnya menyambut, tapi mereka justeru bersedih
kerana tamu agung itu sudah pergi meninggalkan mereka.
Mâ ba’da Ramadhân? (Apakah agenda selepas Ramadhan)?

Inilah masa-masa yang paling mencemaskan bagi para
sahabat Nabi. Mereka takut akan amalan yang tertolak
di mana puasa, qiyam yang panjang, tilawah yang
berulang kali khatam, infak harta, pengorbanan jiwa
raga dari satu medan perang ke perang lainnya, serta
segunung amalan ibadah lainnya yang mereka lakukan
selama Ramadhan, semuanya itu telah menjadi sebuah
kekhuatiran terbesar bagi diri mereka.

Mereka lebih banyak bermuhasabah dalam sebuah
tanda tanya :
“Apakah amal ibadahku di bulan Ramadhan sebelum
ini diterima oleh Allah swt.?”

Para sahabat merawat Ramadhan dalam hati mereka
dengan rasa ‘khauf’ (takut) dan ‘raja’ (pengharapan).

Mereka sekuat tenaga berusaha untuk istiqamah dalam
amalan ibadah mereka. Jika mereka lengah sedikit,
maka ini memberikan tanda bahwa amal ibadah mereka
selama Ramadhan telah sia-sia kerana di antara ciri-
ciri diterimanya amal ibadah seseorang dalam bulan
Ramadhan adalah :

Keringanannya dalam mengerjakan kebaikan dan
ibadah.
Jauhnya mereka dari melakukan kemaksiatan kepada
Allah swt.
Enam bulan selepas Ramadhan, mereka masih bersedih
memikirkan kepergian Ramadhan. Mereka memohon
dengan sungguh-sungguh agar amalan ibadah selama
sebulan penuh itu diterima oleh Allah swt sedangkan
di separuh tahun sisanya, mereka kembali bergembira,
bersiap diri menyambut kehadiran Ramadhan yang akan
datang iaitu tetamu agung yang sentiasa mereka rindui.

Begitulah putaran roda kehidupan para solehin ter-
dahulu di mana rentang waktu dari Ramadhan ke
Ramadhan berikutnya diisi dengan ’taqarrub ilallâh’
seakan-akan menutup semua celah untuk ‘futur’
(merasa lemah) dalam beribadah.

Rindu mereka adalah rindu keimanan. Begitu pula
kesedihan mereka adalah kesedihan kerana iman
sehingga hari-hari berjalan dengan penuh kekhusyukan,
hati mereka tenang, diisi dengan mengingati Allah dalam
apa keadaan sekalipun.

Ini adalah kerana Allah swt telah memberi jaminan :
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati
menjadi tenteram.” (QS Ar Ra’du : 28)
Mereka memiliki keperibadiaan yang layak untuk
diteladani.

Lalu bagaimana dengan kita?
Sudahkah ibadah kita melebihi mereka sehingga lebih
merasa hebat dan yakin kalau amalan Ramadhan kita
diterima?
Sedarlah bahwa ibadah kita pastinya masih jauh dari
kesungguhan para sahabat itu sehingga rasa ‘khauf’
dan ‘raja’ yang kita miliki sepatutnya lebih besar
berbanding mereka.

Sesungguhnya ini bukanlah suatu perkara yang
bersifat ‘fiksyen’. Kita baru sahaja meninggalkan
stesen ‘ruhi’ di mana kita sudah memenuhkan
kembali tenaga diri kita. Bateri yang ‘fully charged’
yang kita miliki seharusnya mampu untuk bertahan
bagi sebelas bulan berikutnya.

Ramadhan memang sudah pergi kerana datang dan
pergi sudah merupakan sebahagian dari sunnatullah
dalam kehidupan ini.
Memang dalam sebelas bulan ke hadapan, tidak ada
puasa wajib seperti di bulan Ramadhan lagi, tapi
sekarang kita masih memiliki amalan puasa yang lain,
puasa sunnah 6 hari Syawal misalnya,yang keutamaan-
nya telah dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah
hadis :
“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu
menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan
Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama
satu tahun.” (HR Muslim)

Masih ada puasa lainnya seperti puasa sunnah Isnin
dan Khamis, puasa ‘Arafah, puasa ‘Asyura, puasa Nabi
Daud dan sebagianya. Qiyamullail juga masih boleh kita
lakukan. Solat sunnah ini menempati tingkatan kedua
selepas solat fardhu sebagaimana yang disabdakan
oleh Rasulullah saw :
“Solat yang paling utama sesudah solat wajib adalah
qiyamullail.” (Muttafaqun ‘alaih)
Baginda juga menyebutnya sebagai ‘tradisi dari orang-
orang soleh’.

Amal ibadah yang menjadi amalan rutin kita selama
sebulan Ramadhan diharapkan memang sudah menjadi
sebuah kebiasaan sehingga ketika Ramadhan telah
berakhir, kita tidak mengalami kesulitan untuk me-
mulainya kembali.

Ketika masih terasa hangat aura Ramadhan kita, mari
kita sama-sama hidupkan kembali amal rutin baik kita
itu. Menjadikan amalan-amalannya sebagai sebuah
kebiasaan sekali pun sedikit di mana yang penting kita
memiliki amalan pengharap dan rutin dalam melaksana-
kannya kerana barangsiapa yang memiliki amalan rutin
yang baik, ia tidak akan selamanya mengalami kerugian
sekalipun terkena uzur di mana pahala akan tetap
mengalir untuknya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari bahwa Rasululullah saw telah bersabda :
“Apabila seseorang menderita sakit atau sedang
berpergian maka dicatat pahala untuknya amal
yang biasa ia kerjakan di saat ia sihat dan tidak
berpergian.” (HR Bukhari)

Semoga kita tidak menjadi manusia Ramadhan
yang optimum ibadahnya selama sebulan sahaja
manakala kosong di sebelas bulan berikutnya.
Sebaliknya jadilah kita manusia ‘Rabbâni’, yang
sentiasa mengingati Allah bila dan dalam keadaan
bagaimana sekalipun sepertimana ciri-ciri ‘ulul
albâb’ yang termaktub dalam Al Qur'an :
“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil
berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring.”
(QS Ali Imran : 191)

Ya Allah, anugerahkan kepada kami rasa takut
kepadaMu yang membatasi antara kami dengan
perbuatan maksiat kepadamu dan berikan
ketaatan kepadaMu yang menghantarkan kami
ke syurgaMu dan anugerahkan pula keyakinan
yang akan menyebabkan ringan bagi kami segala
musibah di dunia ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad

Saturday, August 6, 2011

Di kongsikan - Kisah Mak Lang

Subuh pagi tadi saya menerima SMS daripada
Cikgu Din bagitau kata Mak Lang dah meninggal
petang semalam. Dia pun baru dapat tau dari
saudara dia di kampong.

Watak Mak Lang adalah sesuatu yang special
buat rakan-rakan di NGO Wargakilang khusus-
nya mereka yang mengikuti konvoi Jln-Jln Masuk
Kampung di musim Ramadhan yang lepas. Waktu
itu ada lebih kurang 30 buah kereta kalau tak
silap, masuk kampung bagi sumbangan ramadhan
melalui beberapa kawasan Parlimen di negeri Kedah.

Destinasi akhir kami hari itu ialah di rumah Mak Lang.

Mak Lang yang tinggal di Kubur Panjang dlm kawasan
parlimen Pendang ini agak seorang istimewa buat
kami. Beliau adalah seorang Ibu Tua yang tabah,
tinggal di pinggir hutan bersama dua orang anak
lelakinya yang agak berusia, seorang ada masalah
mental dan seorang lagi agak lurus bendul.

Cikgu Din, jiran setaman saya yang rekemen kami
pi rumah Mak Lang.

Sebab utamanya, kata Cikgu Din Mak Lang ini walau
pun tua, sedikit uzur dan miskin, tapi rajin mai
masjid. Hobi utama Mak Lang ialah membaca Al-
Quran. Walaupun rumah kayu yang dikongsi dengan
lembu-lembu ternakannya itu tak ada letrik, tapi
tiap-tiap malam Mak Lang tak pernah miss baca
Al-Quran - pakai lilin dan pelita ayam!


Lalu, misi akhir kami dalam Jln-Jln Masuk Kg
Ramadhan yang lepas, selepas menziarahi dan
menghulur sumbangan kpd berpuluh buah keluarga
sepanjang laluan kami itu ialah nak pasang lampu
letrik di rumah Mak Lang, tarik letrik dari rumah
bersebelahan.

Seronok tak kira Mak Lang bila tengok kami mai
ramai-ramai itu, sehinggakan menitis air mata dia.

Dan, kami pun tumpang seronok juga tengok Mak
Lang seronok. Kami harap bantuan yang tak seberapa
itu akan mampu menceriakan Mak Lang menyambut
syawal yang bakal menjelma tak beberapa hari lagi tu.

Sebelum balik, kami ramai-ramai ambik gambaq
depan rumah Mak Lang.

Puas hati sungguh Jln-Jln Masuk kampong kali itu,
dlm report saya kepada sebuah Badan yg mengamanah
kan saya membawa sumbangan barangan kpd Mak Lang
itu saya paparkan gambar kwn-kwn sedang memasang
lampu letrik, saya tulis kat situ "Deliver Lights to the
Poor" [membawa cahaya kpd orang miskin] –
dalam makna dia tu.

Tak sangka itu adalah Ramadhan terakhir Mak Lang,
Ramadhan pertama dan terakhir bersama lampu letrik
dan dapur gas yang kami pasang. Belum pun beberapa
hari di Ramadhan ini, Mak Lang sudah pergi menyambut
panggilan Illahi.

Rakan-rakan yang bergambar dengan mak lang tentunya
punya kenangan yang tersendiri bersama Mak Lang.
Bila saya amati gambar-gambar ini, seolah-olah mcm
lambaian peluk cium terakhir dari Mak Lang buat kami
semua.

Tadi, bila saya send email kpd rakan-rakan memaklum
kan pemergian Mak Lang ini, seorang sahabat jadi agak
terkejut. Bukan terkejut sebab Mak Lang tiba-tiba sudah
tiada, tapi dia jadi terpana kerana beliau dan isteri punya
satu kisah tersendiri bersama Mak Lang yang tak pernah
dicerita kpd sapa-sapa sebelum ini.

Kata sahabat kami ini, hari tu bila beliau dapat tau Mak
Lang ini kaki masjid, alim dan rajin baca quran, duduk
di pinggir hutan dengan keadaan daif macam tu, beliau
dah dapat rasa yang Mak Lang ini bukan manusia biasa
macam kita, mesti ada sesuatu yang special pasal Mak
Lang ini.

Sebab itu, hari itu beliau dan isteri yang paling last
balik. Bila 30 buah kereta itu dah bertolak balik, depa
tak balik lagi.

Beliau suami isteri ini pi jumpa Mak Lang, pi cerita
masalah depa, dah bertahun dah kahwin tapi masih
tak dapat-dapat anak. Dia minta jasabaik Mak Lang,
sempena bulan Ramadhan yang barakah itu, minta
Mak Lang tolong doakan kebahagiaan buat depa suami
isteri, dan kalau boleh mintalah tolong bagi depa dapat
zuriat, yang depa lama dah tok tunggu itu.

Semalam Mak Lang meninggal, hari ini sahabat kami ini
terus jadi termangu sebab masin mulut Mak Lang dan
barakah bulan Ramadhan bangkali, sehari dua ni kawan
kami ini tak berani nak pi mana-mana sebab bila-bila
masa saja isterinya yang sedang sarat MENGANDUNG ini
akan melahirkan anak – zuriat depa yang pertama!

Saya pun tak pasti sebab apa saya tuliskan cerita ini,
mungkin sebagai tazkirah untuk kita semua barangkali –
JANGAN PANDANG REMEH DOA ORG-ORG TUA dan
JANGAN PANDANG RENDAH KEBERKATAN DOA DI
BULAN RAMADHAN yang mulia.

Al-Fatihah buat Mak Lang.

Moga rohnya bahagia dan dipenuhi dengan rahmat yang
mencurah-curah di alam sana.

Mungkin kisah Mak Lang ini juga boleh dijadikan iktibar
untuk kita semua; apakah kita boleh pasti yang Ramadhan
ini adalah bukan Ramadhan terakhir buat kita?

Sama-sama kita muhasabahkan diri masing-masing.

Selamat Berpuasa.

Friday, August 5, 2011


TAZKIRAH RAMADHAN

SOLAH TERAWIH DENGAN IMAN DAN
MENGHARAPKAN KEREDHAAN ILAHI

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan
Ramadan ialah solah sunat terawih yang kita hadiri
pada malamnya. Solah ini sangat besar pahalanya
seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari
Abu Hurairah r.a. katanya:



“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solah
pada malam bulan Ramadan, tetapi tidak mewajibkannya.
Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam
bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredhaan
Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.”

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi
perangsang kepada kita untuk solah terawih. Baginda
menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari
dosa-dosa yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,

Kita semua ada berbuat dosa.... maka marilah kita
merebut peluang untuk mendapatkan keampunan
bagi dosa-dosa kita.

Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat
yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat
pengampunan dosa yang telah lalu, ialah kita bangun
bersolah dengan “ keimanan dan mengharap redha
Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman,
keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah.
Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan mutu
terawih kita.

Satu perkara yang sering menjadi bahan perselisihan
mengenai terawih ialah bilangan rakaatnya.
Perbincangan ini tidak akan berkesudahan kerana
masing-masing mempunyai kekuatan hujahnya masing-
masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang
dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud
ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan pendapat
yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, janganlah
kita menyalahkan atau merendahkan orang yang
melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang
kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau
meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat.

Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia
dan akan membalas sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita
bersolah terawih. Janganlah kerana tidak bersetuju
dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu
solah terawih. Kedua, bagaimana mutu terawih
tersebut; tidak kira sama ada ianya 20 atau 8 rakaat.
Peliharalah niat kita sentiasa.

Pokoknya, solah terawih yang mempunyai mutu
“iman dan mengharap redha Allah” bukan dibuat
sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan
perancangan yang sedar, pemilihan yang betul dan
perlaksanaan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang
yang diredhai-Nya.

Wassalam.
Sebenarnya, hidup kita tak lama......

Bersegeralah buat ibadat sebelum berjumpa 7 perkara:

1. Jangan tunggu masa fakir (fakir itu dekat kpd kufur).

2. Jangan tunggu jadi org kaya yg melampaui batas

3. Jangan tunggu sakit yg terlantar (dah tak mampu)

4. Jangan tunggu tua bangka (dah banyakk lupa)

5. Jangan tunggu maut yg telah tersedia

6. Jangan tunggu dajjal yg jahat

7. Jangan tunggu kedatangan qiamat

Wednesday, August 3, 2011

BAGI MEREKA YANG MENYAMBUT HARI LAHIR PADA BULAN
RAMADHAN YANG MULIA INI.....

TAZKIRAH RAMADHAN




SAHUR YANG PENUH BERKAT

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang
ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur.
Bersabda Nabi (saw):

“Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggal-
kan, walau seorang di antaramu hanya meneguk
air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan me-
ngucapkan selawat kepada orang-orang yang
bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur
tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin
Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah
orang-orang yang paling bersegera berbukanya
dan paling lambat bersahurnya” (Hadis Riwayat
Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar
dari sahur dan melewatkannya.

Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa.
Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur
memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat
dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk
kita melayakkan diri menerima ucapan selawat
daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para
malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang
perlu direbut oleh setiap insan.

Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu
sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat
ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung
malam menjelang subuh; satu saat yang amat
mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangun-
nya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua
rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah
kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur
menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat
solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang
amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu
Mas’ud al-Ansari:

“Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh
di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu
subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya
ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap
dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga
beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu
hari telah mulai terang.” (Hadis Riwayat Abu
Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat
sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada
dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Ahmad,
Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya
sekadar untuk makan menambah tenaga bagi
menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan
jika seseorang merasakan dirinya telah kuat.
Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah
satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita
peluang mendapat selawat dari Allah dan para
malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan
dapat pula bersolat sunat yang begitu besar
ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk
istiqamah di atas sunnah Nabi-Nya

Wassalam.