Surah Muhammad ayat 7 :
"Wahai orang- orang yg beriman,
jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan
menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu."

Saturday, August 6, 2011

Di kongsikan - Kisah Mak Lang

Subuh pagi tadi saya menerima SMS daripada
Cikgu Din bagitau kata Mak Lang dah meninggal
petang semalam. Dia pun baru dapat tau dari
saudara dia di kampong.

Watak Mak Lang adalah sesuatu yang special
buat rakan-rakan di NGO Wargakilang khusus-
nya mereka yang mengikuti konvoi Jln-Jln Masuk
Kampung di musim Ramadhan yang lepas. Waktu
itu ada lebih kurang 30 buah kereta kalau tak
silap, masuk kampung bagi sumbangan ramadhan
melalui beberapa kawasan Parlimen di negeri Kedah.

Destinasi akhir kami hari itu ialah di rumah Mak Lang.

Mak Lang yang tinggal di Kubur Panjang dlm kawasan
parlimen Pendang ini agak seorang istimewa buat
kami. Beliau adalah seorang Ibu Tua yang tabah,
tinggal di pinggir hutan bersama dua orang anak
lelakinya yang agak berusia, seorang ada masalah
mental dan seorang lagi agak lurus bendul.

Cikgu Din, jiran setaman saya yang rekemen kami
pi rumah Mak Lang.

Sebab utamanya, kata Cikgu Din Mak Lang ini walau
pun tua, sedikit uzur dan miskin, tapi rajin mai
masjid. Hobi utama Mak Lang ialah membaca Al-
Quran. Walaupun rumah kayu yang dikongsi dengan
lembu-lembu ternakannya itu tak ada letrik, tapi
tiap-tiap malam Mak Lang tak pernah miss baca
Al-Quran - pakai lilin dan pelita ayam!


Lalu, misi akhir kami dalam Jln-Jln Masuk Kg
Ramadhan yang lepas, selepas menziarahi dan
menghulur sumbangan kpd berpuluh buah keluarga
sepanjang laluan kami itu ialah nak pasang lampu
letrik di rumah Mak Lang, tarik letrik dari rumah
bersebelahan.

Seronok tak kira Mak Lang bila tengok kami mai
ramai-ramai itu, sehinggakan menitis air mata dia.

Dan, kami pun tumpang seronok juga tengok Mak
Lang seronok. Kami harap bantuan yang tak seberapa
itu akan mampu menceriakan Mak Lang menyambut
syawal yang bakal menjelma tak beberapa hari lagi tu.

Sebelum balik, kami ramai-ramai ambik gambaq
depan rumah Mak Lang.

Puas hati sungguh Jln-Jln Masuk kampong kali itu,
dlm report saya kepada sebuah Badan yg mengamanah
kan saya membawa sumbangan barangan kpd Mak Lang
itu saya paparkan gambar kwn-kwn sedang memasang
lampu letrik, saya tulis kat situ "Deliver Lights to the
Poor" [membawa cahaya kpd orang miskin] –
dalam makna dia tu.

Tak sangka itu adalah Ramadhan terakhir Mak Lang,
Ramadhan pertama dan terakhir bersama lampu letrik
dan dapur gas yang kami pasang. Belum pun beberapa
hari di Ramadhan ini, Mak Lang sudah pergi menyambut
panggilan Illahi.

Rakan-rakan yang bergambar dengan mak lang tentunya
punya kenangan yang tersendiri bersama Mak Lang.
Bila saya amati gambar-gambar ini, seolah-olah mcm
lambaian peluk cium terakhir dari Mak Lang buat kami
semua.

Tadi, bila saya send email kpd rakan-rakan memaklum
kan pemergian Mak Lang ini, seorang sahabat jadi agak
terkejut. Bukan terkejut sebab Mak Lang tiba-tiba sudah
tiada, tapi dia jadi terpana kerana beliau dan isteri punya
satu kisah tersendiri bersama Mak Lang yang tak pernah
dicerita kpd sapa-sapa sebelum ini.

Kata sahabat kami ini, hari tu bila beliau dapat tau Mak
Lang ini kaki masjid, alim dan rajin baca quran, duduk
di pinggir hutan dengan keadaan daif macam tu, beliau
dah dapat rasa yang Mak Lang ini bukan manusia biasa
macam kita, mesti ada sesuatu yang special pasal Mak
Lang ini.

Sebab itu, hari itu beliau dan isteri yang paling last
balik. Bila 30 buah kereta itu dah bertolak balik, depa
tak balik lagi.

Beliau suami isteri ini pi jumpa Mak Lang, pi cerita
masalah depa, dah bertahun dah kahwin tapi masih
tak dapat-dapat anak. Dia minta jasabaik Mak Lang,
sempena bulan Ramadhan yang barakah itu, minta
Mak Lang tolong doakan kebahagiaan buat depa suami
isteri, dan kalau boleh mintalah tolong bagi depa dapat
zuriat, yang depa lama dah tok tunggu itu.

Semalam Mak Lang meninggal, hari ini sahabat kami ini
terus jadi termangu sebab masin mulut Mak Lang dan
barakah bulan Ramadhan bangkali, sehari dua ni kawan
kami ini tak berani nak pi mana-mana sebab bila-bila
masa saja isterinya yang sedang sarat MENGANDUNG ini
akan melahirkan anak – zuriat depa yang pertama!

Saya pun tak pasti sebab apa saya tuliskan cerita ini,
mungkin sebagai tazkirah untuk kita semua barangkali –
JANGAN PANDANG REMEH DOA ORG-ORG TUA dan
JANGAN PANDANG RENDAH KEBERKATAN DOA DI
BULAN RAMADHAN yang mulia.

Al-Fatihah buat Mak Lang.

Moga rohnya bahagia dan dipenuhi dengan rahmat yang
mencurah-curah di alam sana.

Mungkin kisah Mak Lang ini juga boleh dijadikan iktibar
untuk kita semua; apakah kita boleh pasti yang Ramadhan
ini adalah bukan Ramadhan terakhir buat kita?

Sama-sama kita muhasabahkan diri masing-masing.

Selamat Berpuasa.

Friday, August 5, 2011


TAZKIRAH RAMADHAN

SOLAH TERAWIH DENGAN IMAN DAN
MENGHARAPKAN KEREDHAAN ILAHI

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan
Ramadan ialah solah sunat terawih yang kita hadiri
pada malamnya. Solah ini sangat besar pahalanya
seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari
Abu Hurairah r.a. katanya:



“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solah
pada malam bulan Ramadan, tetapi tidak mewajibkannya.
Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam
bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredhaan
Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.”

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi
perangsang kepada kita untuk solah terawih. Baginda
menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari
dosa-dosa yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,

Kita semua ada berbuat dosa.... maka marilah kita
merebut peluang untuk mendapatkan keampunan
bagi dosa-dosa kita.

Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat
yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat
pengampunan dosa yang telah lalu, ialah kita bangun
bersolah dengan “ keimanan dan mengharap redha
Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman,
keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah.
Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan mutu
terawih kita.

Satu perkara yang sering menjadi bahan perselisihan
mengenai terawih ialah bilangan rakaatnya.
Perbincangan ini tidak akan berkesudahan kerana
masing-masing mempunyai kekuatan hujahnya masing-
masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang
dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud
ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan pendapat
yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, janganlah
kita menyalahkan atau merendahkan orang yang
melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang
kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau
meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat.

Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia
dan akan membalas sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita
bersolah terawih. Janganlah kerana tidak bersetuju
dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu
solah terawih. Kedua, bagaimana mutu terawih
tersebut; tidak kira sama ada ianya 20 atau 8 rakaat.
Peliharalah niat kita sentiasa.

Pokoknya, solah terawih yang mempunyai mutu
“iman dan mengharap redha Allah” bukan dibuat
sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan
perancangan yang sedar, pemilihan yang betul dan
perlaksanaan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang
yang diredhai-Nya.

Wassalam.
Sebenarnya, hidup kita tak lama......

Bersegeralah buat ibadat sebelum berjumpa 7 perkara:

1. Jangan tunggu masa fakir (fakir itu dekat kpd kufur).

2. Jangan tunggu jadi org kaya yg melampaui batas

3. Jangan tunggu sakit yg terlantar (dah tak mampu)

4. Jangan tunggu tua bangka (dah banyakk lupa)

5. Jangan tunggu maut yg telah tersedia

6. Jangan tunggu dajjal yg jahat

7. Jangan tunggu kedatangan qiamat

Wednesday, August 3, 2011

BAGI MEREKA YANG MENYAMBUT HARI LAHIR PADA BULAN
RAMADHAN YANG MULIA INI.....

TAZKIRAH RAMADHAN




SAHUR YANG PENUH BERKAT

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang
ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur.
Bersabda Nabi (saw):

“Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggal-
kan, walau seorang di antaramu hanya meneguk
air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan me-
ngucapkan selawat kepada orang-orang yang
bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur
tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin
Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah
orang-orang yang paling bersegera berbukanya
dan paling lambat bersahurnya” (Hadis Riwayat
Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar
dari sahur dan melewatkannya.

Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa.
Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur
memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat
dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk
kita melayakkan diri menerima ucapan selawat
daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para
malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang
perlu direbut oleh setiap insan.

Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu
sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat
ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung
malam menjelang subuh; satu saat yang amat
mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangun-
nya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua
rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah
kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur
menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat
solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang
amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu
Mas’ud al-Ansari:

“Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh
di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu
subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya
ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap
dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga
beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu
hari telah mulai terang.” (Hadis Riwayat Abu
Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat
sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada
dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Ahmad,
Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya
sekadar untuk makan menambah tenaga bagi
menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan
jika seseorang merasakan dirinya telah kuat.
Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah
satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita
peluang mendapat selawat dari Allah dan para
malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan
dapat pula bersolat sunat yang begitu besar
ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk
istiqamah di atas sunnah Nabi-Nya

Wassalam.

Tuesday, August 2, 2011


TAZKIRAH RAMADHAN

PUASA MERINTIS JALAN TAQWA




Allah SWT telah berfirman, maksudnya :-

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas
kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-
orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
(Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini merupakan ungkapan yang menitahkan fardhu
puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan
kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari
ibadah puasa kita “agar kamu bertaqwa”.

Darjah taqwa adalah darjah tertinggi yang boleh dicapai
oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan
syurga oleh Allah:

“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disedia-
kan syurga-syurga yang penuh keni'matan di sisi
Tuhannya.” (Surah al-Qalam:34)

“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari
Tuhan-mu dan mendapat syurga yang bidangnnya
seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-
orang yang bertaqwa.”
(Surah ali-Imran: 133)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah
yang Allah turunkan di dalam al-Quran:

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan
di dalamnya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Surah al-Baqarah: 1-2)

Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat
kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan
Allah di dunia lagi. Firman Allah bermaksud:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia
akan membukakan baginya jalan keluar dan memberi-
nya rezeki dari arah yang tidak disangka-­sangka.”
(Surah at-Talaq: 2-3)

Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling
mulia di sisi Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu
di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa dari kalangan
kamu” (Surah al-Hujurat: 13)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang
melayakkan seseorang menjadi orang paling mulia,
dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan
serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi.

Pasti untuk memperolehinya agak sukar.

Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran
istimewa dari Allah SWT.

Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa,
pasti kita akan mencapai darjat taqwa. Marilah sama-
sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar
puasa kita Ramadan ini mampu melonjakkan kita ke
darjat taqwa. Amin.

Wassalam.